Ahad, 31 Mei 2009

PPP - satu parti, dua presiden

Tarani Palani


Krisis kepimpinan Parti Progresif Penduduk (PPP) semakin parah apabila M Kayveas dan T Murugiah masing-masing disahkan sebagai sebagai presiden parti itu hari ini.

Di ibupejabat PPP di Kampung Atap, Kayveas diisytiharkan kekal sebagai presiden parti itu tanpa bertanding.

Beliau diisytiharkan menang pada hari terakhir pencalonan untuk jawatan tertinggi parti itu, menjelang pemilihan parti itu pada 7 Jun depan.

Dan pada masa yang di Sentul, Murugiah mempengerusikan mesyuarat pertama majlis tertinggi di mana beliau disahkan sebagai presiden baru PPP.

Mesyuarat pertama itu dihadiri oleh 35 anggota MT yang dipilih dalam mesyuarat tergempar parti yang diadakan Ahad lalu.

Perebutan jawatan presiden itu berlaku selepas Murugiah dan enam lagi pemimpin PPP yang menyokongnnya, dipecat dari parti itu seminggu lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Kayveas berkata pencalonan untuk pertandingan jawatan parti telah difailkan hari ini dan pemilihan akan diadakan pada 7 Jun.

Terdapat sembilan pencalonan bagi merebut tiga jawatan naib presiden manakala 29 pencalonan diterima untuk mengisi 25 kerusi jawatankuasa pusat.

Manakala Murugiah yang juga timbalan menteri di jabatan perdana menteri pula mendakwa, beliau memimpin parti itu ekoran kira-kira 50,000 ahli baru menyokong kepimpinannya.

"Saya menerima banyak panggilan telefon daripada ahli-ahl baru serta ahli sebelum ini yang mahu kembali menyertai parti itu.

"Di Johor sahaja, terdapat 15,000 ahli baru. Saya memang sukar mendapat sokongan di Johor tetapi 14 daripada 19 cawangan telah menyatakan sokongan kepada saya sebagai presiden parti," katanya.

Apabila diminta menjelaskan mengenai cawangan-cawangan berkenaan, Murugiah bagaimanapun berkata, ianya belum lagi diwujudkan tetapi ia akan dilakukan "segera, berkuatkuasa hari ini".

Murugiah juga mengumumkan bahawa yuran keahlian sebanyak RM3 dan yuran kemasukan bagi 100,000 ahli akan dikecualikan.

Katanya, beliau juga akan berusaha menarik sokongan pengundi muda untuk mengembalikan keyakinan terhadap BN supaya ia dapat menang besar dalam pilihanraya umum akan datang.

Tiada ulasan: