Khamis, 28 Mei 2009

KTMB naikkan surcaj 15 Jun

Oleh ZUHAYATI YAZID dan RAFIDAH KAMARUDDIN


KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mengenakan surcaj RM2 hingga RM3 kepada setiap penumpang berkuat kuasa pertengahan bulan depan.

Pengarah Urusan KTMB, Datuk Abd. Radzak Abd. Malek berkata, kenaikan itu terpaksa dilakukan berikutan langkah syarikat itu untuk penambahbaikan perkhidmatan.

''Kenaikan surcaj itu tidak melibatkan semua perkhidmatan di KTMB, ia hanya untuk Tren Ekspres Antarabandar ke seluruh negara.

''Semua ini bagi tujuan kos operasi dan juga tujuan penambahbaikan perkhidmatan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Anugerah Operator Rel Terbaik oleh Asian Freight and Supply Chain Award (AFSCA) 2009 kepada KTMB di sini semalam.

Abd. Radzak berkata, langkah menaikkan kadar tambang itu terpaksa diambil bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat dan bukan bertujuan mendapatkan keuntungan semata-mata.

''Kenaikan itu sikit saja dan tidak mendatangkan banyak keuntungan kepada KTMB, kita mengenakan surcaj tambahan tersebut kerana kos operasi syarikat semakin meningkat,'' jelasnya.

Abd. Radzak berkata, kadar surcaj tersebut akan dikenakan bagi tiket yang dikeluarkan pada 15 Jun atau selepasnya.

Katanya, kadar surcaj hanya akan dikenakan kepada penumpang yang mengambil tiket untuk koc kelas kedua dan pertama tempat tidur sahaja.

Bagaimanapun, katanya, tiket tempat duduk akan dikecualikan daripada kadar bayaran surcaj.

''Bagi penumpang yang mengambil tiket koc kelas kedua dan pertama, katil di bawah akan dikenakan RM3 manakala penumpang di katil atas pula RM2,'' jelasnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, KTMB kini dalam proses menyiapkan landasan kereta api berkembar elektrik yang melibatkan Ipoh ke Padang Besar dan Seremban ke Gemas.

''Projek ini akan meningkatkan kualiti serta kecekapan pengangkutan awam bagi perjalanan menghubungkan Kuala Lumpur ke Gemas dan Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis melalui hentian-hentian,'' ujarnya.

Beliau menegaskan, projek yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2012 akan dapat mendekatkan hubungan antara bandar lain dan Kuala Lumpur, sekali gus membawa kemajuan di kawasan di seluruh negeri.

Tiada ulasan: