Khamis, 30 April 2009

Tidak Perlu Tergesa-gesa Mengadakan Persidangan DUN – Nizar

Editor Buetin


PUTRAJAYA – Menteri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata tidak perlu tergesa-gesa mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak kerana terdapat banyak fakta-fakta yang masih dipertikaikan di mahkamah.

Mohammad Nizar berkata demikian kepada pemberita di luar Mahkamah Persekutuan hari ini setelah memutuskan pertikaian antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengenai siapa Menteri Besar yang sah akan didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau turut berkata, keputusan hari ini adalah petanda yang krisis politik Perak akan dapat mencapai penyelesaian muktamad.

Sebelum itu, panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara memutuskan wujud pertikaian fakta dalam dua afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar dan Penasihat Undang-undangan Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Prosiding untuk meneliti afidavit Ahmad Kamal akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada Isnin.

Bernama melaporkan, ini merupakan kali kedua kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi.

Kali pertama ialah pada 23 Mac apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan isu membabitkan tafsiran Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak perlu didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi dan hanya boleh dirujuk semula ke Mahkamah Persekutuan melalui rayuan.

Alauddin, Hakim Besar Malaya Datuk Ariffin Zakaria dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusuf dan Datuk James Foong hari ini dijadual mendengar permohonan Zambry, yang difailkan pada 21 April, untuk memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah.

Dengan panel lima hakim itu yang bersidang, permohonan Mohammad Nizar bagi panel sembilan hakim untuk mendengar kes itu telah ditolak.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah membantah permohonan Zambry atas alasan wujud pertikaian fakta berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual didengar di Mahkamah Tinggi minggu depan.

Katanya percanggahan itu adalah antara apa yang diikrarkan oleh Ahmad Kamal dalam afidavitnya dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam pertemuan antara Mohammad Nizar dan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, 2009.

"Saya menegaskan bahawa semasa saya menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan, saya tidak pernah menyatakan dan tidak memaklumkan, dan tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan bahawa terdapatnya kehilangan kepercayaan terhadap saya sebagai Menteri Besar oleh majoriti ahli-ahli DUN. Saya juga tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri selaras dengan Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

"Merujuk kepada afidavit penasihat undang-undang, saya menyatakan bahawa versi Datuk Ahmad Kamal berkenaan apa yang telah berlaku adalah salah dan tidak tepat," kata Sulaiman ketika membacakan afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar.

Beliau juga berhujah Ahmad Kamal telah mewakili Zambry apabila kes itu disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof pada 18 Feb. "Datuk Kamal telah mewakili Zambry dan ini jelas menunjukkan yang beliau tidak bersikap berkecuali," kata Sulaiman.

Katanya atas prinsip "res judicata" (perkara yang sudah diputuskan), permohonan itu tidak sepatutnya didengar oleh Mahkamah Persekutuan kerana permohonan yang sama terhadap isu yang sama telah ditentukan oleh mahkamah yang sama pada 23 Mac.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry dalam hujahan balasnya berkata terdapat keterangan dokumen berdasarkan dua pucuk surat yang ditulis oleh Mohammad Nizar kepada Sultan Perak pada 4 dan 5 Feb untuk menunjukkan tidak terdapat pertikaian fakta seperti dakwaan responden.

Beliau juga berkata prinsip res judicata tidak boleh diguna pakai kerana isu Perkara 63 tidak timbul pada perbicaraan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Mac.

Turut hadir pada prosiding itu ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah, peguam Mohd Reza Hassan selaku peguam pemerhati bagi Barisan Nasional dan Penolong Penasihat Undang-undang Negeri Perak Zulqarnain Hassan.

1 ulasan:

Malaysian berkata...

Kalau dulu Najib kata pilihanraya kecil itu bazir duit maka janganlah bertanding!

ataupun Mahathir berjaya mempengaruhi keputusan Najib?

tunggu saje keputusannya...



Regards,

GoMalaysian.Blogspot.Com
http://gomalaysian.blogspot.com/