Isnin, 27 April 2009

Tiada sistem kuota dalam PAS - Timbalan Presiden

M Faqih


BACHOK - Orang Melayu di negara ini perlu beralih kepercayaan kepada PAS untuk memimpin perubahan bersama Pakatan Rakyat memandangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin ditolak rakyat.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perkembangan yang berlaku hari ini sangat positif untuk membolehkan orang Melayu beralih sokongan.

"Kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau membuatkan Umno dan BN berada di dalam keadaan tidak selesa sekarang.

"Inilah yang menjadi igauan kepada Umno sekarang sehingga mereka menjadi serba salah hendak menyertai atau tidak pilihan raya kecil di Dun Penanti.

"Semuanya itu sudah cukup bagi menggambarkan mereka kini berada di tapak yang lemah," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung PAS Bachok di sini, semalam.

Pada mesyuarat tersebut yang diadakan di Kompleks Pendidikan Islam Dato' Omar Mohamad kekal menerajui PAS Bachok, timbalannya, Ustaz Hassan Mohamood dan naib, Abdul Aziz Abdul Kadir.

Manakala anggota Parlimen Bachok, Ustaz Nasharuddin Mat Isa turut terpilih sebagai anggota jawatankuasa PAS kawasan terbabit. Beliau juga Timbalan Presiden PAS.

Di Machang, tiada perubahan kepada kepimpinan kawasan itu pada mesyuarat agung yang juga diadakan semalam. Dato' Hassan Muhamad kekal sebagai Yang Dipertua, timbalan, Haji Zakaria Yaakub dan naib, Haji Zulkifli Mamat.

Bagaimanapun di Gua Musang ada sedikit perubahan di mana Adun Galas, Chek Hashim Sulaima dipilih sebagai Yang Dipertua, timbalannya, Dr Zulkifli Mohamad dan naib, Hussin Embong.

Ustaz Abdul Hadi berkata, biar pun berlaku perubahan dalam kepemimpinan Umno baru-baru ini namun dasar parti itu tidak berubah.

Ditanya mengenai kerajaan perpaduan yang dicetusnya sebelum ini kata beliau pendekatan itu dicetus ketika perbincangan dalaman yang diadakan tahun lepas.

"Pendekatan muzakarah semuanya itu dibincang pada pertemuan tersebut. Perlu diketahui dibincang di peringkat tertinggi parti. Ia dibincang dahulu sebelum disebut kepada umum.

"Pada dasarnya semua pihak bersetuju. Perkara itu juga turut dibincangkan di peringkat Pakatan Rakyat tetapi sekarang Tun Abdulah Ahmad Badawi sudah tidak ada lagi di situ, maka lain pula ceritanya," katanya.

Menurutnya cadangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan pada awalnya dicetus pada masa Abdullah mengetuai kerajaan.

"Kita kemukakan cadangan terbabit kerana kita melihat suasana masa itu ia sesuai. Jadi buat masa ini kita lihat dahulu bagaimana perjalanan kerajaan," tambahnya.

Malah katanya ada juga blogers yang menyokong cadangan unity government.

Begitu juga kata beliau ahli-ahli PAS tidak ada masalah untuk menyokong setiap keputusan dibuat pimpinan.

"Setiap keputusan mengenai sesuatu perkara yang besar perlu dibawa terlebih dahulu kepada muktamar dan tidak buat spotan," katanya.

Ditanya kewujudan kumpulan pro mukazarah dan pro pakatan menjelang muktamar tahunan Jun depan kata Ustaz Abdul Hadi tidak ada dalam PAS perkara tersebut.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS berkata, terpulang kepada setiap kawasan untuk mencalonkan sesiapa sahaja bagi menduduki jawatan utama PAS Pusat kerana amalan demokrasi yang dipraktikkan.

"Ahli berhak mencalonkan sesiapa, malah kalau kita lihat dalam proses pencalonan bukan timbalan presiden sahaja ada cadangan dicabar, malah presiden pun kedengaran mahu dicabar.

"Adakah ini menggambarkan presiden gagal melaksanakan tugasnya. Bagaimanapun mereka berhak untuk mencalon sesiapa sahaja dan terserah kepada ahli dalam muktamar," ujarnya.

Menurutnya juga beliau hanya menjalankan tugas sebagaimana diputuskan dalam muktamar di Ipoh tahun lalu bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan dalam masa yang sama mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik.

Kata beliau sesuatu yang besar perlu diputuskan dalam muktamar dan tidak berlaku seorang sahaja apabila melibatkan dasar parti.

"Kita telah membuat keputusan sebulat suara untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan dalam masa yang sama mengadakan perbincangan dalam dan luar negara.

"Saya pun baru balik dari Australia dan selepas ini akan pergi lagi sebelum menjelang muktamar. Kita mengadakan perbincangan dan membuka ruang dengan semua pihak," katanya.

Nasharuddin juga berkata, percalonan dalam PAS tidak melibatkan sistem kuota seperti diamalkan Umno.

"Kalau sudah ada cadangan dan sokongan seseorang itu boleh bertanding," tambahnya. - mj _

Tiada ulasan: