Selasa, 28 April 2009

Tiada Lagi Tembok Pemisah PAS dengan Bukan Islam

WanKay


KUALA NERUS – PAS bukan sahaja berjaya menyatukan kumpulan-kumpulan Islam bahkan memecahkan tembok yang memisahkan antara parti itu dengan orang bukan Islam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata kumpulan-kumpulan Islam lain kini bersama-sama dengan PAS bagi mendirikan syariat Islam meski pun berbeza pandangan dan pendekatan.

“Walau pun mereka (kumpulan Islam) itu mempunyai pandangan yang berlainan dengan kita (PAS), pendekatan yang berbeza dengan kita (PAS) tetapi dalam masalah politik mereka bersama dengan PAS untuk mendirikan Islam,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea anjuran Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus, di Restoran As-Syakirin, Gong Badak, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau berkata dalam masa yang sama PAS berjaya memecahkan tembok yang memisahkan PAS dengan orang-orang yang bukan Islam.

Katanya selama ini UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberikan gambaran buruk tentang PAS kepada orang bukan Islam.

Oleh itu, katanya penerimaan orang bukan Islam terhadap PAS telah dibuktikan dalam kerjasama beberapa siri pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

“Pertama, orang yang bukan Islam menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai PAS sehingga kita (PAS) menubuhkan Kelab Penyokong PAS.

“Mereka (orang bukan Islam) yang menjadi ahli Kelab Penyokong PAS ini menyatakan mereka menerima pemerintahan Islam,” jelasnya.

Meski pun, katanya ada pihak yang mendakwa mereka (orang bukan Islam) menyertai PAS kerana tidak puas hati, kerana marah dan sebagainya.

Menurutnya, Islam mengajar agar umat Islam bersikap terbuka dan menerima kehadiran golongan bukan Islam dengan apa cara sekali pun secara jujur.

“Walau pun ada yang menyatakan mereka (orang bukan Islam) masuk (bersama) PAS kerana tidak puas hati, mereka masuk PAS kerana marah dan mereka masuk kerana macam-macam.

“Nabi kita (Muhamad SAW) mengajar supaya kita (Islam) menerima kedatangan orang bukan Islam bersama dengan kita (Islam) walau apa sekali pun sekurang-kurangnya kita (PAS) dapat menyampaikan Islam secara langsung,” ujarnya di hadapan lebih 200 orang pesertanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan kesungguhan orang bukan Islam di kalangan kaum Tionghua dan India menyokong PAS dalam pilihan raya kecil.

“Kita (PAS) melihat sendiri dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu dan kemudian di Bukit Gantang.

“Kita (PAS) melihat orang-orang bukan Islam telah menunjukkan kesungguhan menyokong kita (PAS) kerana mereka (bukan Islam) melihat kejayaan yang dicapai dalam masa kita (PAS) memerintah Kelantan, dalam masa yang pendek kita (PAS) memerintah Terengganu.

“Kita (PAS) memimpin Kedah dan Perak sementara waktu dan penonjolan yang kita (PAS) buat itu memberi keyakinan kepada mereka (Cina dan India) untuk menyokong PAS,” ujarnya.

Menurutnya, tembok yang memisahkan antara orang bukan Islam dengan PAS telah pecah dan PAS menjadi harapan baru kepada rakyat di negara ini.

Tiada ulasan: