Khamis, 30 April 2009

SPR perlu berubah daripada membuat peraturan mengejut

Adnan Ibrahim


Umur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkau 52 tahun dan genap pada 4 September ini. Seawal usianya tidak banyak karenah yang ditimbulkan bagi menyakiti pembangkang.

Banyak tulisan yang dibaca jarang mempertikaikan kewibawaan SPR mengendalikan pilihan raya pada masa lampau.

Tidak ditemui juga dalam tulisan penulis Haji Subky Abdul Latif mengkritik keburukan SPR masa lalu kecuali memuji badan tersebut bertindak sebagai orang tengah dalam mengendalikan pilihan raya di Malaysia yang serba kekurangan dan bersesuaian keadaannya pada masa itu.

Mungkin juga ketika itu pembangkang tidak kuat. Namun pernah berlaku insiden politik di Pantai Barat Semenanjung, berikutan kemenangan besar parti Gerakan di Pulau Pinang dan Selangor. Namun SPR tetap bersih seharum namanya.

Ketika berlaku perpecahan dalaman Umno pada 1987 sehingga wujud dua parti iaitu Umno Baru dan Parti Semangat 46 serta Kelantan tumbang kepada PAS. Pada pilihan raya umum 1999 pula mengubah keangkuhan Umno dan Terengganu jatuh kepada PAS serta banyak kerusi Parlimen dimenangi pembangkang. Bagaimanapun SPR masih selamat lagi daripada kritikan buruk.

Namun pada pilihan raya umum 2004 di mana arus rakyat kepada pembangkang sebaliknya dicemari oleh peranan SPR mewujudkan pengundi yang sudah tidak wujud. Daftar pemilih SPR yang boleh dipertikai kerana wujud pengundi hantu dan pengundi berganda.

SPR berperanan dibelakang dalam mengembalikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya tersebut. Dalam hal ini pembangkang tidak berdiam dan mengadakan demontrasi besar-besaran menuntut campur tangan Yang di-Pertuan Agong supaya sesuai namanya SPR dikembalikan kepada landasan yang betul sebagai pihak tengah.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengabung parti politik pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demontrasi dan perarakan ke Istana Negara dari Masjid Negara pada 10 November 2007. Lebih 100 ribu orang berhimpun menyuarakan bantahan terhadap SPR yang tidak adil.

Terdapat empat perkara utama yang dituntut Bersih iaitu, pertama penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan.

Kedua, penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda.

Ketiga, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara.

Dan keempat, akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihan raya.

Malangnya, setakat ini, pihak SPR cuma bersetuju dengan satu permintaan iaitu penggunaan dakwat kekal.

Bagaimanapun dakwat kekal menjadi penipuan politik SPR secara tidak langsung menutup penyelewengan pengundian berganda. Bagi mengagalkan rancangan yang mula dipersetujui SPR itu maka dibuat tuduhan mengatakan terdapat dakwat yang dibawa masuk melalui Thailand untuk digunakan mengugut pengundi.

Sedangkan selepas pilihan raya umum 2008 polis memberitahu tidak ada laporan mengenai dakwaan tersebut. Jelas berupa penipuan terhadap pakatan rakyat.

Dengan alasan tersebut maka dakwat kekal pun tidak jadi digunakan sampai sekarang. SPR yang rancang mahu buat dia juga yang rancang tidak jadi.

Mainan politik SPR dan BN yang sudah masak cukup dikenali Pakatan Rakyat. Apa yang dituntut Pakatan Rakyat tidak ditunai sebaliknya dalam melakukan perubahan yang diinginkan BN ternyata SPR cepat bertindak.

Kalau SPR mengambil masa panjang untuk mengkaji tuntutan Bersih tetapi kenapa SPR boleh bertindak segera dalam perkara yang menguntungkan BN?

Apakah ini dinamakan keadilan? Sepatutnya SPR mengambil masa yang panjang dan melibatkan pihak ramai dalam memutuskan 'pondok panas' sama ada ditutup atau diteruskan.

Ini kerana rakyat mahukan keputusan yang diambil oleh SPR biarlah berwibawa bukannya ikut telunjuk BN atau bekerja untuk menguntungkan BN. - mns_

Tiada ulasan: