Rabu, 29 April 2009

Perlembagaan PKR dipinda, hadkan tempoh pegang jawatan

MSTAR ONLINE


GEORGE TOWN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memuktamadkan proses meminda perlembagaan parti itu, antara lain mahu mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan presiden iaitu antara dua dan tiga penggal sahaja.

Parti itu dijangka membenarkan kira-kira 30,000 ahlinya memilih pemimpin di peringkat pusat serta menambah jumlah naib presiden daripada lima kepada tujuh.

Cadangan pindaan yang diperhalusi sejak awal tahun ini telah diluluskan oleh jawatankuasa khas mengkaji pindaan perlembagaan PKR.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan yang dikemukakan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat kongres tahun ini.

"Kita sedang membuat pelarasan kecil kerana kita mengakui keahlian PKR telah bertambah kepada 30,000.

"Kita mesti mempunyai keseimbangan dengan menggabungkan pemimpin-pemimpin lama dan baru dalam parti," katanya semalam.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pindaan perlembagaan parti dilakukan untuk memperlihatkan parti itu menyokong prinsip demokratik yang kukuh selain mencegah sebarang bentuk rasuah daripada menjalar ke dalam parti itu.

"Sebahagian daripada peruntukan perlembagaan kita ada sedikit persamaan dengan Umno, di mana para perwakilan di peringkat cawagan dan bahagian akan memilih pemimpin-pemimpin di nasional.

"Sekarang, kita telah membuat keputusan untuk mengubahnya dengan membenarkan semua ahli parti turut serta memilih pemimpin peringkat pusat," katanya.

Sejajar dengan usaha meminda perlembagaan, kata beliau, PKR juga merancang untuk mengadakan pemilihan parti tahun ini berbanding jadual asal tahun depan.

Tiada ulasan: