Selasa, 28 April 2009

Penternak babi diarah lapor perubahan kesihatan ternakan

MALAYSIA KINI


Kesemua penternak di 797 ladang babi di seluruh negara wajib melaporkan segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar jika ternakan mereka mengalami sebarang perubahan kesihatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata laporan juga boleh dibuat kepada Pusat Kawalan Penyakit Haiwan jika penternak mengesan babi ternakan mereka mengalami batuk, berhinggus, bersin atau tidak mahu makan.

"Laporan boleh dibuat kepada JPV terdekat atau Pusat Kawalan Penyakit Haiwan melalui nombor telefon 03-887002041 atau SMS ke nombor 32255," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata selain melaporkan perubahan kesihatan ternakan, penternak juga wajib melaporkan jika mendapati pekerja mereka mempunyai simptom batuk, demam dan sakit badan.

Noh berkata pasukan tindakan pantas diletakkan dalam keadaan siap sedia dan akan digerakkan ke setiap negeri apabila keadaan memerlukan dan JPV pula diarah memantau ladang babi berskala besar dan kecil.

Beliau berkata kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menangani wabak itu dan kaedah yang digunakan bagi menangani wabak itu
adalah sama seperti yang digunakan ketika menangani wabak selesema burung.

Noh berkata orang ramai bagaimanapun tidak perlu bimbang kerana belum ada kes yang dikesan di negara ini dan tiada haiwan atau produk haiwan yang diimport dari Mexico.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang akan mengadakan pemeriksaan dan pengambilan sampel di 200 ladang ternakan babi di negeri ini untuk memastikan ternakan itu bebas daripada jangkitan selesema babi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Negeri Law Choo Kiang berkata pemeriksaan akan dilakukan secepat mungkin bagi memastikan tidak berlaku selesema babi di negeri ini.

Bercakap kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri, beliau berkata penternak juga diminta mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan ternakan mereka sihat.

Katanya penternak juga perlu memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sekiranya terdapat tanda-tanda ternakan mereka terkena penyakit selesema babi dan mengasingkan ternakan itu dengan segera.

"Terdapat kira-kira 300,000 ekor babi di negeri ini dan penternak diingatkan supaya memberikan kerjasama dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Bagaimanapun, tiada babi atau manusia yang dikesan dijangkiti penyakit selesema babi di negeri ini, katanya.

Tiada ulasan: