Selasa, 28 April 2009

PAS tidak bertanding di Penanti: Mustapa Ali

KLPOS.COM /Mstar


PAS akan memberi laluan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada pilihan raya kecil yang bakal diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Datuk Mustafa Ali, parti itu menghormati hak Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meletakkan calon mereka untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

"Kita (PAS) tidak bercadang untuk bertanding di Penanti walaupun itu kubu kuat PAS. Kita hormati hak mereka (PKR).

"Setahu saya setakat ini PAS juga tidak ada perbicangan mengenainya (bertanding di Penanti),"katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau turut menafikan khabar angin yang mengatakan parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi DUN Penanti.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali mengizinkan sekiranya ada cadangan untuk meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil kawasan berkenaan.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari PKR pada 16 April lalu dengan alasan untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

Fairus sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjelaskan bahawa mereka tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut Mustafa berkata, PAS akan tetap memberi sokongan kepada PKR sebagai satu pasukan.

"Macam juga kawan, kita akan beri sokongan jika kawan kita bertanding. Ini mereka (PKR) dalam Pakatan sudah pasti kita sokong,"katanya.

Ditanya sama ada PAS yakin PKR mampu mempertahankan kerusi DUN Penanti, Mustafa berkata: "Sudah pasti, kami yakin PKR mampu menang. Jika dilihat kepada 'track record' pilihan raya sebelum ini kita menang dengan majoriti yang besar. Saya lihat kita tidak ada masalah yang besar kali ini."

Tambahnya, PAS akan menggerakkan jentera parti itu sebaik sahaja tarikh pilihan raya kecil DUN Penanti diumumkan oleh SPR.

"Kekuatan jentera masih belum diputuskan tapi kita akan membantu PKR. Jika di DUN kekuatannya berbeza dengan kawasan Parlimen," katanya.

Tiada ulasan: