Rabu, 29 April 2009

PAS Terus Kukuh Dengan Gabungan Ulama’ dan Profesional.

Editor Buletin


KUALA TERENGGANU – Rahsia kekuatan PAS adalah kerana ia melibatkan gabungan dan kerjasama sedia ada antara golongan ulama serta profesional.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Ustaz Harun Taib menafikan wujudnya puak-puak dalam PAS dan menegaskan ia adalah kritikan dari luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan dalam PAS.

“Bukan orang Pas menimbulkan isu ini, sebenarnya tidak pernah berlaku dalam Pas tetapi hanya akhbar yang timbulkan.

“Golongan ulama dan profesional sama-sama menyokong perjuangan Mursyidul Am Pas yang diterajui Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” katanya kepada pihak media, disini, semalam.

Beliau berkata kerjasama erat berkenaan adalah ‘ramuan’ utama menjadikan PAS kekal dan kuat sehingga kini.

Beliau yang juga bekas Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat berkata, sokongan ahli kepada kedua-dua pemimpin utama atau kepada mana-mana indidvidu tidak sesekali mewujudkan pengaruh yang berbeza-beza, kerana semua ahli PAS mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama.

Justeru, katanya, PAS berbeza daripada UMNO kerana PAS adalah ‘terbuka’ dan tidak menetapkan golongan mana berhak menerajui kepimpinan tertinggi sama ada profesional, ulama atau sesiapa sahaja.

Namun katanya, ulama yang lebih berilmu, lebih mengetahui tentang Islam yang menjadi dasar PAS, selain peranan golongan profesional mengukuhkan perjuangan parti.

“Antara individu terbabit dalam kategori profesional adalah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Datu’ Paduka Husam Musa.

“Selain itu, (di negeri Terengganu) Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan Timbalan Pesuruhjaya Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong adalah golongan profesional, justeru, jalinan PAS lebih mantap kerana dua-dua (ulama dan profesional) sama saluran,” katanya

Tiada ulasan: