Ahad, 26 April 2009

Lagi gesaan Raymond Tan letak jawatan Kabinet

BERNAMA

KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi (MT) Parti Liberal Demokrat (LDP) hari ini menyokong sebulat suara gesaan agar Datuk Raymond Tan yang tidak mewakili mana-mana parti, meletak jawatan kabinet negeri memandangkan kedudukan politik beliau kini, demi kepentingan Barisan Nasional (BN).

Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong berkata, parti ini tidak ada agenda tetapi hanya untuk memastikan campuran BN menang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kita semua faham bahawa asas keberkesanan kerajaan ialah keyakinan awam, dan keyakinan itu berbahaya apabila mutu etika terganggu atau nampaknya diganggu.

"Datuk Raymond Tan tidak buat apa-apa yang paling dihormati seperti empat orang bekas rakannya dalam Parti Maju Sabah (SAPP) dan dengan bertangguh-tangguh, mula menyebabkan orang awam hilang keyakinan terhadap kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di sini hari ini.

Awal minggu ini, timbalan presiden LDP Datuk Chin Su Phin membuat gesaan agar Tan yang juga timbalan ketua menteri meletak jawatan berikutan kedudukan beliau yang tidak mewakili parti setelah meninggalkan SAPP apabila parti ini keluar daripada BN.

Ramai pemimpin BN membantah kenyataan Chin dan naib presiden LDP Datuk Peter Pang Eng Yin sebelum ini menyatakan bahawa beliau percaya pandangan Chin adalah pandangan sendiri dan bukan parti.

Bagaimanapun Liew berkata Pang bersetuju dengan pendirian yang diambil oleh MT itu semasa mesyuaratnya hari ini kerana mereka bekerja sebagai satu pasukan.

Pang dilihat meninggalkan mesyuarat lebih awal dan ketika ditanya mengenainya, Liew berkata: "Beliau terpaksa pulang ke Sandakan, beliau tidak meninggalkan mesyuarat kerana ada yang tidak dipersetujui."

Katanya beliau belum bercakap dengan mana-mana pemimpin parti komponen mengenai isu tertentu ini dan tindakan akan datang ialah "melihat bagaimana keadaan seterusnya".

Ditanya jika beliau mengemukakan perkara ini kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, beliau berkata: "Ini satu kemungkinan."

Mengenai LDP akan membawa Tan masuk ke parti ini jika beliau memohon, Liew berkata: "saya tidak terfikir lagi, jadi soalan itu kini tidak memerlukan jawapan."

Liew berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengingatkan semua bahawa era "kerajaan tahu semua" telah berakhir, dan ini ditujukan kepada semua kerjaan negeri.

"Dengan itu adalah penting untuk kerajaan mendengar pandangan orang ramai daripada hanya segelintir yang mungkin tidak memberikan gambaran yang sebenar," kata beliau.

Katanya negara ini telah melalui lima pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum ke-12, Mac tahun lepas dan perhatian mestilah ditumpukan pada keputusan pilihan raya.

Bagaimanapun ketika ini di Sabah, keputusan undian atau pandangan umum sahaja yang dikira.

Mengenai peranan LDP dalam campuran BN, beliau berkata ia adalah parti politik paling awal diterima masuk ke BN sejak 1992 dan telah berjuang untuk BN sepanjang masa, dengan terakhir memenangi empat kerusi yang diperuntukkan untuk ditandingi pada pilihan raya lepas.

"Saya tidak ingin meminta untuk lebih daripada apa yang kita perlu ada tidak juga kurang daripada apa yang ada. Apa yang kita lakukan, kita mestilah dipandu dengan kesedaran kita.

"Kita dalam LDP akan terus memainkan peranan berkesan dalam BN... kita mahu terus mendengar suara orang ramai, terus mendengar pandangan mereka dan terus membantu orang ramai menangani masalah mereka tanpa bimbang dan memihak," tambah beliau.

Tiada ulasan: