Sabtu, 25 April 2009

DAP buat laporan polis terhadap Speaker DUN Melaka

BERITA HARIAN ONLINE


MELAKA: DAP hari ini membuat laporan polis terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad kerana mengaku pernah melihat gambar separuh bogel Exco Selangor, Elizabeth Wong ketika mempengerusikan Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN, di Seri Negeri, Selasa lalu.

Aduan itu dibuat Ketua Pembangkang DUN, Goh Leong San di Balai Polis Melaka Tengah, jam 10.30 pagi tadi.

Beliau ditemani dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti itu, Lim Jak Wong (Bachang) dan Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh).

Goh yang juga Pengerusi DAP negeri dan Adun Kesidang berkata, pengakuan Othman itu dibuat jam 11.40 pagi iaitu sejurus selepas persidangan disambung semula dan ketika Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sedang membangkitkan isu berkenaan.

Dalam laporannya beliau berkata, Speaker mengaku melihat gambar separuh bogel Elizabeth dan juga sudah memadamkan gambar itu.

"Pengakuan terbuka dalam Persidangan DUN itu menunjukkan beliau pernah memiliki gambar separuh bogel itu dan mempunyai sumber yang membekalkan gambar berkenaan," katanya.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi petang tadi mengesahkan menerima aduan berkenaan dan siasatan akan dijalankan.

Tiada ulasan: