Isnin, 30 Mac 2009

Wanita Umno kesan 5,000 pemilih hilang

Oleh G.MANIMARAN


TAIPING: Pergerakan Wanita Umno telah mengesan kehilangan kira-kira 5,000 pemilih dari bahagian Parlimen Bukit Gantang.

Sehubungan itu, sayap tersebut mahu Ibu Pejabat Umno mengesan kedudukan ahli-ahli berkenaan bagi menambah sokongan untuk BN menjelang 7 April ini.

Menurut bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, jentera pergerakan tersebut yang telah mula bergerak sejak awal bulan lalu, tidak dapat berhubung dengan pemilih-pemilih berkenaan sehingga kini.

"Kami telah melakukan segala yang perlu tetapi tidak dapat mengesan mereka.

"Kami berharap Ibu Pejabat berupaya mengesan mereka dengan menggunakan pendaftaran parti," katanya.

"Pemilih-pemilih ini penting bagi kita bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN)," kata beliau selepas melawat Bilik Gerakan Induk Wanita Umno di Simpang di sini.

Malah beliau yang merupakan Pengarah Operasi sehingga ditewaskan oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil minggu lalu berkata, jentera pilihan raya Wanita juga telah mengesan 4,000 pemilih yang berada di luar kawasan.

Beliau telah digantikan oleh Naib Ketua Wanita, Datuk Kamila Ibrahim.

Rafidah berkata pengurusan jentera pilihan raya di Bukit Gantang dan Bukit Selambau akan diteruskan oleh Shahrizat selaku pengarah.

"Pesanan saya, jika mereka teruskan kerja yang telah dirancang, tidak akan timbul masalah dan kempen berjalan lancar.

"Tanpa Wanita meraih undi dari rumah ke rumah, kita tidak akan dapat menjangkau pengundi di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata, pengurusan yang baru perlu menyediakan laporan harian kepada pucuk pimpinan jawatankuasa pengurusan Umno setiap hari bagi memastikan maklumat balas pengundi khususnya kaum Wanita mengenai isu tempatan seperti pembangunan dan infrasruktur dikenal pasti.

"Harapan saya, petugas jentera pilihan raya Wanita BN yang baru ini (di bawah Shahrizat) cepat mengambil alih kerja dan mengagihkan urusan kerana kita tidak ada masa untuk nak belajar dan memahami kerja yang patut dibuat," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum daripada PAS akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 8 Mac, 2008, Roslan memenangi kerusi berkenaan setelah menewaskan calon BN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas M.Mohganan dengan majoriti 1,566 undi. Kali ini,

PAS meletakkan Timbalan Pesuruhjaya parti itu di Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Tiada ulasan: