Jumaat, 27 Mac 2009

Muhyiddin Timbalan Presiden, 3 muka baru Naib Presiden Umno

Oleh G. MANIMARAN, ARIFUDDIN ISHAK, ZANARIAH ABD. MUTALIB dan NURUL AIN MOHD HUSSAIN
[DIKEMAS KINI 11:50 malam]


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden dan Naib Presiden Umno malam tadi menyaksikan muka baru manakala kerusi Majlis Tertinggi (MT) juga melibatkan kehadiran wajah-wajah baru.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, 61, dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno dengan memperoleh 1,575 undi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menewaskan rakan sejawatannya dalam Kabinet, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menerima 916 undi.

Kemenangan Muhyiddin yang telah diramalkan sejak awal termasuk kajian pendapat umum Merdeka Center dua minggu lalu, diperolehi dalam keadaan seorang lagi calon dilucutkan hak bertanding.

Calon itu ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Tetap Umno pada pukul 10.30 malam tadi.

Ini kali pertama Muhyiddin tanding jawatan Timbalan Presiden.

Kerusi itu kosong ekoran keputusan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bertanding jawatan Presiden.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein masing-masing memenangi tiga jawatan Naib Presiden.

Ketiga-tiga mereka merupakan muka baru Naib Presiden Umno.

Zahid memperoleh 1,592 undi, Shafie (1,445) manakala Hishammuddin pula 1,515 undi.

Dalam pada itu, dua menteri dan seorang timbalan menteri Kabinet iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Datuk Noraini Ahmad gagal dalam usaha merebut kerusi MT kali ini.

Menteri Besar yang gagal ialah Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Dr Md Isa Sabu (Perlis), Datuk Seri Abdul Ghani Othman (Johor) dan Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan).

Jika diambil kira kedudukan Mohd Ali, lima ketua kerajaan negeri hilang jawatan kerusi MT.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed memperoleh undi terbanyak bagi kerusi MT.

Beliau menerima 2,259 undi.

Seramai 25 calon yang menang kerusi MT ialah:

- Datuk Mustapa Mohamed

- Datuk Ahmad Husni Mohd Hanadzlah

- Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (penyandang)

- Datuk Dr Awang Adek Hussain (penyandang)

- Datuk Seri Idris Jusoh (penyandang)

- datuk Abdul Azeez Abdul Rahim

- Datuk Tajuddin Abdul Rahman

- Datuk Lajim Ukim

- Dr Mohd Puad Zarkashi

- Datuk Seri Zulhasnan Rafique (penyandang)

- Datuk Ahmad Shabery Cheek

- Datuk Noh Omar (penyandang)

- Datuk Bung Mokhtar Radin

- Datuk Seri Musa Aman (penyandang)

- Datuk Saifuddin Abdullah

- Datuk Hamzah Zainudin (penyandang)

- Datuk Mohd Zin Mohamed (penyandang)

- Senator Datuk Azian Osman

- Datuk Shaziman Abu Mansor

- Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis (penyandang)

- Senator Datuk Dr Norraesah Mohamad (penyandand)

- Datuk Zainal Abidin Osman

- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

- Datuk Seri Mahadzir Khalid (penyandang)

Tiada ulasan: