Isnin, 30 Mac 2009

MIC tidak relevan lagi untuk kaum India

Mohd Sabri Said


Berdepan dengan 14 calon dalam pilihan raya kecil Dun Bukit Selambau tidak menggerunkan untuk calon Pakatan Rakyat, daripada KeADILan, S. Manikumar walaupun dianggap baru dalam arena politik negara.

Malah beliau dengan tenang seolah seperti ahli politik veteran dapat menjawap dengan tenang segala persoalan wartawan selepas pencalonan pagi tadi. Ikuti wawancara wartawan Harakah, Mohd Sabri Said terhadap calon Pakatan Rakyat di Dun Bukit Selambau ini.

Harakah: Apa perasaan saudara bilamana diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat mewakili Parti Keadilan Rakyat (KeADILan)?

Manikumar: Saya rasa sangat gembira kerana Penasihat Parti KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim memberi mandat sepenuhnya untuk saya memperjuangkan hak-hak bangsa Malaysia keseluruhanya dan saya rasa terhutang budi pada beliau dan saya akan cuba membawa impirasi parti kita untuk memperjuangkan manefesto Pakatan Rakyat yang sedia ada.

Apakah langkah pertama sekiranya ditakdirkan anda memenangi pilihanraya kecil ini?

Sebagai langkah pertama saya akan wujudkan visi untuk jangkamasa panjang di mana dalam visi itu saya akan sematkan beberapa misi mungkin lima atau enam misi untuk dibawa ke pucuk pimpinan di Kedah untuk diamati bilakah boleh dilaksanakan satu persatu mengikut keadaan atau fasa demi fasa secara positif.

Kebanyakan kaum India di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Selambau masih ketinggalan dari pembangunan sebenar. Jadi apakah yang saudara akan bangkitkan membela mereka?

Memang tidak dinafikan di mana sahaja masyarakat India masih ketinggalan jauh berbanding kaum lain di Malaysia tidak ketinggalan juga di Dun Bukit Selambau. Itulah yang saya nak memperjuangkan sekiranya dipilih sebagai calon di situ.

Selama ini MIC di bawah payung Barisan Nasional (BN) nyata tidak mampu lakukan secara terbaik untuk mengubah nasib golongan India sebaliknya lebih memperkayakan diri sendiri.

Contohya Rang Undang-Undang Sekolah Tamil begitu Rang Undang-Undang tubuh kuil semua benda ini masih tidak ada lagi satu dasar serta polisi yang kukuh dalam kerajaan.

Dalam Belanjawan negara sendiri tiada apa-apa yang diberikan kepada orang India cuma sekadar satu persen sahaja dalam ekuiti negara kita.

Walaupun itu dikatakan hasil tindakan Kerajaan Pusat namun ia memberi impak kepada Kerajaan Negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri termasuk Kedah.

Kerajaan BN tidak laksanakan beberapa pendekatan walaupun memerintah melebihi 50 tahun berbanding Pakatan Rakyat berjaya menonjolkan beberapa peluang secara berpadu sepanjang setahun memerintah.

Maka, saya yakin Pakatan Rakyat boleh menonjol dalam hal ini berbanding pengaruh MIC atau BN selama ini.

Bagi pandangan saudara adakah MIC masih releven masa kini?

MIC saya rasa tidak lagi releven untuk kaum India kerana ia sudah jauh menyimpang daripada kehendak asal.

MIC seolah bertuankan Umno sahaja. Apa kata Umno mereka akan angguk walaupun ia melibatkan pembaharuan yang dikehendaki.

Berhadapan dengan situasi 13 calon bebas apakah yang saudara akan lakukan?


Rakyat sudah tahu buat pilihan sendiri yang mana betul atau sebaliknya. Masuklah banyak mana sekali pun calon bebas, mereka akan buktikan untuk kepentingan rakyat Malaysia.

Apa nasihat pada pengundi di Bukit Selambau?

Apa yang boleh saya mengutarakan bahawa perjuangan yang diterokai adalah perjuangan keseluruhan tidak kira Melayu, Cina dan India di mana yang paling penting pengukuhan sesama kita.

Mungkin Bukit Selambau menjadi titik permulaan untuk tujuan masyarakat bangsa sepenuhnya. - mks. _

Tiada ulasan: