Selasa, 31 Mac 2009

Kumutha Rahman memang sentiasa mengejutkan !

Wartawan Buletin


Bukit Gantang - Anak gadis berbangsa India yang mengejutkan dunia politik tanahair pada pilihanraya umum yang ke 12 Mac, 2008, turut bersama dalam kempen pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang.

Semalam, Kumutha A/P Rahman telah berucap dalam Majlis Hi-Tea anjuran UPU Pengkalan Aur di Taman Indah, Simpang, disini.

Beliau merupakan calon PAS yang pertama dari kaum India dan juga calon perempuan pertama dari kaum India yang bertanding atas tiket PAS.

Kumutha bukanlah calang-calang wanita kerana beliau adalah seorang peguam yang memiliki ijazah undang-undang United Kingdom.

Dalam ucapannya semalam beliau memberitahu sebab apa beliau tertarik dengan PAS dan menjadi ahli Kelab Penyokong PAS.

Katanya tidak ada dalam perlembagaan PAS orang-orang bukan Islam mesti masuk Islam untuk menyokong dan mengundi PAS.

Beliau sekaligus menyelar UMNO, katanya, UMNO ‘tak faham bahasa’.

"dalam buku (perlembagaan PAS) tu satu perkataan pun tidak mengatakan yang (orang) India atau Cina kena (convert) masuk Islam,

"tapi UMNO yang tak faham bahasa, dia (UMNO) cakap yang bukan-bukan, (kata pemimpin UMNO) kalau orang Cina dan orang India pilih PAS, kena masuk Islam, memang tak ada"katanya dalam majlis Hi-Tea semalam

Menurutnya itulah fitnah yang diberitahu oleh UMNO kepada rakyat Johor, terutamanya kepada orang-orang bukan Islam.

Beliau berkata pemerintahan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz, seorang ulama' memang baik dan bagus.

Beliau berkata demikian setelah melawat negeri Kelantan dan melihat perbezaan dasar kerajaan Kelantan terhadap ugama Hindu.

"bagi kaum India, kuil itu satu tempat yang suci untuk bersembahyang, tapi Sammy Velly boleh robohkan,

"kalau tanya kepadanya (sammy), dia jawab Khir Toyo yang robohkan,"katanya yang mengkritik Presiden MIC itu sebagai orang yang tidak berugama.

Beliau menambah, katanya, Kelantan berbeza dengan negeri lain dan menjadi satu negeri sahaja di Malaysia yang mempunyai Kuil berhawa dingin.

Beliau turut menyarankan ahli-ahli UMNO dinegeri lain supaya mengadakan lawatan ke negeri Kelantan supaya dapat melihat sendiri sebuah kerajaan yang ditadbir oleh PAS.

Beliau juga berkata perpaduan sebenar dikalangan masyarakat Malaysia dewasa ini adalah apa yang ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat dimana semua bangsa dapat bersama dalam satu majlis seperti Majlis Hi-Tea yang diadakan semalam.

Kumutha yang bertanding di Dun Tiram atas tiket PAS, menentang calon BN, Maulizan Bujang.

Beliau memperolehi 8827 undi berbanding Maulizan, 17,006 undi.

Bagaimana pun Kumutha berjaya mencatatkan peningkatan lebih 3000 undi berbanding undi diperolehi calon PAS, Roslani Sharif, pada PRU 2004.

Tiada ulasan: