Jumaat, 27 Mac 2009

Empat PBT Selangor diiktiraf terbaik negara

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Sebanyak empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diiktiraf antara 10 PBT terbaik seluruh negara berdasarkan keputusan penilaian menerusi Sistem Star Rating 2008 PBT (SSR-PBT) oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaaan Tempatan.

Empat PBT terbabit adalah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, lima PBT lain di negeri ini pula menerima pengiktirafan tiga bintang dalam SSR-PBT adalah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

"PBT yang mendapat pengiktirafan tiga hingga lima bintang membuktikan PBT terbabit telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat namun dukacita dimaklumkan sebanyak tiga PBT di negeri ini tergolong dalam PBT bertaraf dua bintang yang dikategorikan sebagai memberi perkhidmatan kurang memuaskan.

"PBT terbabit adalah Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB)," katanya.

Menurut Ronnie, satu kempen dikenal sebagai Kawan Zon Bersih akan dilancarkan bagi memantapkan fungsi dan perkhidmatan kesemua 12 PBT di seluruh negeri ini.

"Kempen ini antara alternatif terbaru PBT meningkatkan perkhidmatan mereka dengan mencari satu kawasan paling kotor di PBT masing-masing untuk dibangunkan menjadi kawasan paling bersih dalam tempoh setahun.

"Setiap zon yang dipilih akan diletakkan papan tanda hijau sebagai pemberitahuan kepada orang awam bahawa mereka berada di zon bersih," katanya.

Ronnie berkata, 12 kawasan yang dicadangkan adalah Taman Sri Muda untuk MBSA, Seksyen 52 (MBPJ), Jalan Berangan, Pelabuhan Klang dan Taman Gembira (MPK), Pandan Indah (MPAJ) dan Sri Kembangan, Batu 3 dan USJ 16 untuk MPSJ.

"Kawasan lain yang turut dicadangkan adalah Bandar Baru Selayang di bawah MPS, Bandar Baru Bangi (MPKj), Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi dan Sungai Pelek (MPSp), Taman Bayu dan Pasir Penambang (MDKS), Terminal Bas Bukit Sentosa dan Bandar Utama Batang Kali di bawah pentadbiran MDHS.

"Bagi MDKL, kawasan yang dicadangkan adalah Kampung Baru, Sungai Jarum dan Pasar Sungai Jarum manakala Pasar Awam Sekinchan di MDSB," katanya.

Tiada ulasan: