Sabtu, 28 Mac 2009

Ali Rustam tetap popular...

Jimadie Shah Othman


Walaupun tidak dapat bertanding untuk jawatan timbalan presiden dalam pemilihan Umno kali ini, namun Datuk Seri Mohd Ali Rustam jelas merupakan seorang pemimpin yang masih popular di kalangan ahli Umno.

Beliau turut dijemput membuat ucapan penggulungan di perhimpunan agung Umno pagi ini.

Sebaik sahaja beliau mengakhir ucapannya, semua perwakilan bangun memberi tanda hormat dan tepukan gemuruh kepada beliau.

Malah, naib presiden yang baru, Datuk Ahmad Zahid Hamidi - dalam ucapan penggulungannya - turut meminta para perwakilan bangun sekali lagi sebagai tanda hormat kepada ketua menteri Melaka itu.

Mohd Ali yang dianggap sebagai calon popular bagi jawatan timbalan presiden, dilarang bertanding oleh Lembaga Disiplin Umno selepas ejen-ejennya didapati terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

Sebelum ini dalam ucapannya, ketua menteri Melaka itu berkata beliau menerima keputusan parti terhadap dirinya itu dengan hati terbuka dan berlapang dada.

Beliau turut meminta calon-calon yang yang senasib dengannya atau yang kalah dalam pertandingan kali ini supaya memberi tumpuan untuk meneguhkan parti seperti kata pepatah Melayu 'biduk lalu kiambang bertaut'.

"Janganlah kecewa... yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua...dunia belum kiamat dan esok belum pasti," katanya disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Beri laluan

Beliau juga menegaskan bahawa memang menjadi resam, yang pergi tetap pergi dan yang hilang akan berganti.

Mohd Ali mengingatkan perwakilan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga pernah kalah.

"...tetapi Pak Lah tidak tidak pernah keluar parti. Umno tidak akan hilang selagi ahlinya tetap setia," tegas Mohd Ali

Beliau juga memuji sikap Abdullah kerana memberi laluan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden Umno dan perdana menteri yang baru.

Katanya, sikap seperti itu jarang berlaku di seluruh dunia dan berdoa agar Abdullah membantu Najib sepanjang masa.

Mohd Ali berikrar akan terus memberi sumbangan padu dan tidak berbelah kepada Najib.

Tidak mudah jadi pemimpin

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin dan yakin beliau dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti yang diharapkan.

Mohd Ali juga turut mengucap tahniah kepada semua naib presiden baru dan ketua-ketua sayap umno yang baru.

Bercakap mengenai kepimpinan dalam Umno, beliau berkata: "Jadi pemimpin tidak semudah yang kita fikirkan. Ada ketikanya kita rasa sangat bahagia, dan ada ketikanya kita rasa sangat terseksa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul...dalam air badan berpeluh".

Beliau mengakhir ucapannya dengan laungan 'Hidup Umno' dan Hidup Melayu' dengan disambut gemuruh oleh para perwakilan.

Tiada ulasan: