Selasa, 31 Mac 2009

ADUN ditahan edar DVD sidang bawah pokok

SINAR HARIAN


IPOH – Polis menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Ong Boon Piaw berhubung produksi cakera video digital (DVD) ‘Rampasan Kuasa Barisan Nasional (BN) di Perak’ lewat malam kelmarin.

Beliau dituduh mengedarkan pita rakaman mengenai pokok demokrasi itu selepas majlis perasmian DVD berkenaan, dibawa ke Balai Polis Pekan Baru untuk disoal siasat.

Boon Piaw ketika ditemui selepas prosiding soal siasat berkata, beliau memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk membantu siasatan.

"Saya yang diiringi Datuk Ngeh Koo Ham hadir di balai polis untuk disoal siasat dan memberikan kerjasama kepada polis," katanya kepada media di sini, semalam.

Difahamkan, kandungan DVD dokumentari memaparkan rakaman pahit getir kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang terpaksa bersidang di bawah pokok apabila hak menggunakan Dewan Undangan Negeri (DUN) dinafikan.

Menurutnya, jika beliau didapati bersalah boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 hingga RM30,000 atau dipenjarakan selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Saya dikehendaki hadir di balai polis itu pada 13 April ini untuk siasatan lanjut. Saya ditahan polis kira-kira jam 10.40 malam dan keluar daripada balai sekitar jam 1 pagi," katanya.

Tiada ulasan: