Sabtu, 28 Februari 2009

Usaha terbaru cabar presiden MCA?

Kuek Ser Kuang Keng


Hubungan tegang antara Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dengan Timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sekali lagi menarik perhatian umum - kali ini mengenai spekulasi bahawa Chua merancang untuk menghidup semula Team A dalam parti itu.

Desas-desus mengenai usaha Chua menghidupkan semula Team A yang diterajui oleh bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik sewaktu parti itu dilanda krisis pada 2000, dilihat sebagai langkah pertama dalam usaha menyingkirkan Tee Keat daripada jawatan presiden parti.

Untuk menjayakan rancangannya itu, mereka dikatakan sedang menunggu Tee Keat melakukan satu kesilapan serius, dan kemudian mendesak mesyuarat luar biasa (EGM) diadakan bagi menyingkirkan beliau.

Ketika pertembungan berlaku antara Team A dan Team B dahulu, Chua, Datuk Donald Lim dan Datuk Ong Ka Chuan menyokong Team A. Gabungan mereka berakhir Oktober lalu apabila ketiga-tiganya bertanding sesama sendiri bagi merebut jawatan timbalan presiden yang dimenangi oleh Chua.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk menghidupkan semula Team A. Menurut sumber-sumber kumpulan pro-Chua, Lim dan Ka Chuan tidak bersetuju untuk bersama Chua menentang Tee Keat.

Dalam pemilihan parti Oktober lalu, Lim kalah teruk apabila hanya mendapat 10 peratus daripada keseluruhan undi. Ini menimbulkan persoalan mengenai tahap sokongan ahli umbi terhadapnya.

Satu-satunya jalan bagi Lim bagi mendapat sokongan semula ialah dengan berjuang bersama-sama dengan Chua.

Tidak banyak pilihan

"Lim tidak mempunyai banyak pilihan, kerana adalah jelas bahawa Tee Keat hanya menggunakannya," kata sumber-sumber kumpulan pro-Chua.

Berbanding dengan Lim, Ka Chuan pula mempunyai lebih banyak pilihan kerana beliau memegang jawatan menteri, dan ini memberinya satu sebab kepada beliau untuk tidak menyokong Chua sekarang. Tentunya beliau mahu mengekalkan jawatan menteri.

Satu lagi sumber MCA memberitahu Malaysiakini bahawa kemungkinan Chua dan Ka Chuan bekerjasama, akan bergantung kepada sama ada Chua dapat memaafkan bekas presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting - adik Ka Chuan - yang dipersalahkan oleh penyokong Chua terhadap penyebaran skandal video seks.

"Jika Chua mahu bekerjasama dengan Ong bersaudara, maka beliau harus melupakan isu tersebut - sesuatu yang bukan mudah untuk dilakukannya," kata sumber itu lagi.

Banyak akhbar harian Cina melaporkan bahawa kumpulan yang "Anti-Ong Tee Keat" telah mula mengumpul tandatangan perwakilan sebagai persediaan untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada presiden parti. Fokusnya ialah bilakah masa terbaik untuk mengadakan EGM itu.

Menurut sumber tersebut, cabaran terbesar bagi pasukan "Anti-Ong" ialah mereka tidak ada sebab untuk mengadakan EGM kerana Tee Keat belum melakukan sebarang kesilapan besar.

Dan pendirian presiden MCA itu untuk tidak menyokong timbalannya berhubung skandal video seks itu juga bukanlah satu sebab untuk berbuat demikian, katanya.

'Tunggu Ong buat silap besar'

"Satu-satunya perkara yang mereka boleh buat sekarang ialah menunggu Tee Keat melakukan kesilapan yang 'serius' dan menggunakannya sebagai satu alasan untuk mengadakan EGM," kata sumber itu.

Seterusnya, sumber itu berkata, tumpuan sekarang ialah menunggu selepas Timbalan Perdan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan perdana menteri April depan dan rombakan kabinet selepas itu.

Jika Tee Keat tidak melantik Chua atau pemimpin MCA dari kalangan ahli Parlimen sebagai menteri, maka kumpulan 'Anti-Ong' boleh mengadakan EGM atas alasan Tee Keat tidak menghormati keputusan perwakilan.

Kumpulan pro-Chua juga mengesahkan bahawa tindakan 'Anti-Ong' akan ditentukan oleh rombakan kabinet nanti. Beliau juga menyatakan bahawa mereka sudah mula mengumpul tandatangan perwakilan.

"Kita akan selesai berbuat demikian sebelum rombakan kabinet," tambahnya.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi aliran. Sumber-sumber dalaman MCA berkata, ugutan kumpulan pro-Chua untuk mengadakan EGM itu bertujuan untuk menekan Tee Keat supaya melantik Chua ke jawatan menteri.

Tee Keat juga sedar bahawa bukan mudah bagi penentangnya untuk mendesak EGM diadakan, kerana kesemua jawatan penting parti dipegang oleh orang kuatnya dan oleh itu, tidaklah sukar untuk menolak desakan tersebut.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Ya.. semoga apa yang di cita-citakan rakyat malaysia terwujud.
Salam kenal dari ku di seberang yang baru mengibarkan peluang
bisni usaha
di internet. infonya klik ini