Rabu, 25 Februari 2009

SPR: 4 Mac putuskan pilihan raya kecil Batang Ai

Oleh G.MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menerima notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, Sarawak pagi ini akan memutuskan tarikh pilihan raya kecil kawasan itu 4 Mac ini.

Difahamkan pilihan raya kecil itu akan diadakan selepas dua pilihan raya kecil serentak di Bukit Gantang dan Bukit Selambau awal April.

Mesyuarat itu akan diadakan di Kuching berbanding empat pertemuan sebelum ini yang berlangsung di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

"Oleh kerana ia melibatkan bahagian di Sarawak dan oleh kerana SPR juga bercadang mengunjungi pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, maka mesyuarat akan diadakan di Kuching bagi menetapkan tarikh pilihan raya," kata Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi sebentar tadi.

Wan Ahmad juga mengulangi kemungkinan pilihan raya kecil Batang Ai tidak akan diadakan serentak dengan Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

"Kerusi Batang Ai melibatkan kawasan pedalaman dan ia terletak di Sarawak manakala Bukit Gantang dan Bukit Selambau di Semenanjung."Jadi, banyak persiapan perlu diadakan... jadi tidak mungkin diadakan serentak," katanya.Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil Batang Ai diadakan selepas 7 April, Wan Omar berkata, "secara peribadi saya merasakan kita tidak perlu tergesa-gesa kerana masih ada masa (tempoh 60 hari).

"Bagaimanapun katanya, aspek itu akan ditentukan secara mendalam oleh panel SPR minggu depan.Pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau akan berlangsung 7 April manakala penamaan calon pula 29 Mac.

Pilihan raya kecil DUN Batang Ai perlu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot daripada Barisan Nasional (BN) semalam.

Terdahulu, Pengarah SPR Sarawak, Takun Sunggah memberitahu Bernama bahawa notis yang ditandatangani oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar itu dihantar melalui faks terus ke SPR di Putrajaya.

Unting, yang merupakan Menteri Muda Pertanian dan Menteri Muda Sukan Sarawak, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Normah di sini pada 1.25 pagi semalam akibat serangan angin ahmar yang dialaminya pada 22 Mei lepas.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, beliau menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dengan majoriti 806 undi.

Tiada ulasan: