Selasa, 24 Februari 2009

Siasatan penyelewengan, dua pegawai kanan PNSB diberi cuti

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Bagi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor serta pengendalian anak-anak syarikatnya, dua pegawai Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah diminta bercuti selama sebulan bagi membolehkan siasatan dalaman terperinci dijalankan.

Siasatan tersebut berhubung dakwaan kelemahan dan kesalahan urusan simpanan rekod perakaunan anak syarikat kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Pengerusi PNSB telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan kesalahan dalam penyimpanan rekod tersebut.

Dua pegawai yang terlibat ialah Ketua Eksekutifnya, Datin Khairiyah Abu Hassan dan Pengurus Kewangan, Nora Azmin Radzuan.

Menurut Khalid, antara rekod yang disyaki terlibat adalah penyerahan dokumen kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan urus niaga pembelian serta penjualan hartanah di Makkah.

Justeru, ahli Lembaga Pengarah PNSB telah mengarahkan Ketua Eksekutif PNSB dan Pengurus Kewangan diberi cuti bergaji selama 30 hari supaya kaji selidik dan kemaskini rekod perakunan dapat dilakukan, katanya.

Beliau menegaskan, keputusan itu menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam soal memantau selia, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Ini membabitkan semua agensi, badan berkanun, pihak-pihak berkuasa dan pertubuhan berkaitan dengan atau di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri selaras dengan dasar 'Merakyatkan Ekonomi Selangor', tegasnya. - lanh _

Tiada ulasan: