Jumaat, 27 Februari 2009

Polis cari wanita dalam DVD seks Dr Chua

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pihak polis ingin menyoal siasat wanita yang dirakam melakukan seks oral dengan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pilis sedang mencari wanita terbabit berikutan dua laporan yang dibuat di Ampang dan Petaling Jaya, baru-baru ini.

"Kita sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 377A kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan jasmani luar di luar tabii mengikut laporan yang mendakwa berlakunya seks oral dalam rakaman DVD itu.

"Kita harap dia akan tampil dan membantu siasatan supaya kita dapat selesaikan kes ini," katanya.

Dr Chua yang mengaku beliau merupakan individu yang dirakam dalam klip video seks itu telah meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2 Januari tahun lalu berikutan pendedahan dan penyebaran DVD tersebut.

Beliau bagaimanapun kembali semula ke arena politik dan berjaya menjawat jawatan Timbalan Presiden MCA.

Difahamkan wanita yang dirakam bersama beliau dalam dalam video tersebut kini barada di negara jiran dan polis kini sedang menyoal siasat saksi-saksi yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Musa berkata, selain Seksyen 377A, polis turut menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan pengedaran klip video itu.

Katanya, pihak polis ingin mengetahui pihak di sebalik pengedaran DVD yang mula timbul pada penghujung tahun 2007.

Pada 11 Februari lalu, seorang lelaki berusia 51 tahun dari Kelana Jaya menemui salinan DVD itu dalam sekeping sampul surat di dalam peti surat rumahnya.

Lelaki itu terkejut setelah mendapati kandungan perlakuan lucah dalam DVD tersebut dan membuat laporan di balai polis Kelana Jaya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat semalam melahirkan rasa kecewa kerana timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terus menerus menyalahkan beliau berhubung pembabitannya dalam skandal seks.

"Tahun lepas, dia menyalahkan bekas presiden (Datuk Seri Ong Ka Ting) dan sekarang dia menyalahkan saya," katanya.

Sebaliknya, Dr Chua juga terus menerus menafikan apabila skandal itu dibangkitkan dalam mesyuarat parti.

"Dia (Dr Chua) kata itu media punya kerja. Kalau tak buat, segala-galanya tidak akan timbul," katanya yang juga Menteri Pengangkutan kepada para pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru Cina kementeriannya di Putrajaya.

Ong berkata demikian ketika ditanya sama ada siasatan ke atas Dr Chua berhubung aksi seks itu bermotifkan politik.

Dr Chua, bekas menteri kesihatan, meletakkan semua jawatan politik apabila isu itu pertama kali timbul pada Januari tahun lepas dan sekarang dia disiasat polis kerana didakwa terbabit dalam seks oral selepas polis menerima salinan seks DVD itu.

Dr Chua kembali berpolitik selepas memenangi jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti itu Oktober tahun lepas.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Dr Chua sekarang, beliau berkata:

"Saya berpendapat ia bukan soal hubungan peribadi. Lagipun bila kita menguruskan parti, yang penting pasukan. Pasukan kita dan semangat berpasukan."

Ong percaya masalah itu tidak akan menimbulkan keretakan di dalam parti itu kerana beliau gembira dengan hubungan kerja bersama anggota pasukan yang lain.

Bagaimanapun, katanya, apabila anggota pasukan lain memberikan kerjasama yang baik kepada beliau, mereka akan dilabel sebagai "orang presiden" oleh sesetengah pihak dalam parti.

Tiada ulasan: