Khamis, 26 Februari 2009

Peruntukan PRK Permatang Pauh, Kuala Terengganu lebih RM989,000.00

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR -Perbelanjaan dan peruntukan pilihan raya kecil Permatang Pauh melebihi RM409 ribu dan pilihan raya kecil Kuala Terengganu melebihi RM580 ribu daripada yang dinyatakan pihak kerajaan.

Azan Ismail (KeADILan-Indera Mahkota) menyatakan berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh National Institute Electro Integrity perbelanjaan di kedua-dua kawasan itu melebihi daripada angka yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz.

Azan berkata demikian sewaktu bangkit mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

"Rakan-rakan saya daripada bahagian dan cawangan di Kuala Terengganu di kalangan rakan-rakan Umno memberitahu pembahagian wang RM 300 ringgit kepada 2011 orang telah dikeluarkan. Manakala RM 250 dikeluarkan untuk golongan muda seramai 1265 orang.

"Untuk pengundi cina sempena tahun baru cina seramai 720 orang dengan kadar RM 300 seorang serta kepada pengamal media di pusat media Barisan Nasional pada 16 Januari yang lalu berjumlah RM 300 kepada 32 orang. Jumlah ini melebihi RM 200 ribu yang disyaratkan,"katanya.

Jelas Azan, Seksyen 23 dan 27 Akta Kesalahan Pilihan raya mesnyaratkan kepada calon dan parti yang bertanding mesti mengemukakan laporan penyata perbelanjaan untuk sesuatu pilihan raya.

Sementara itu Nazri dalam jawapannya menyatakan kerajaan hanya mengawal perbelanjaan yang dibuat oleh calon pilihan raya tidak melebihi RM200,000 dan sebarang perbelanjaan yang dibuat oleh rakan-rakan calon tidak boleh diambil kira sebagai perbelanjaan calon.

Jelas Nazri sekiranya ada perbelanjaan yang dilakukan oleh rakan-rakan calon dalam pilihan raya, ia tidak boleh diambil kira sebagai sebahagian daripada perbelanjaan calon.

Dalam pada itu, Azan juga mengemukakan pertanyaan adakah SPR dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) bertekad untuk melaksanakan atau menguat kuasa atau Seksyen 27 memandangkan mempunyai dua pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau.

"Kalau sekiranya perkara ini dianggap kurang penting adakah cadangan pihak kerajaan untuk membatalkan terus sekatan ini dan biarlah semua parti yang bertanding tidak ada sekatan dan boleh berbelanja sebanyak yang mampu,"katanya.

Bagaimanapun Nazri tidak menjawab soalan tambahan yang dikemukakannya itu. _

Tiada ulasan: