Isnin, 23 Februari 2009

Pengarah Bomba Wilayah didakwa terima RM925,000

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pengarah Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Mohammad Hamdan Wahid hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM925,000 dari seorang kontraktor pada 2003 untuk menerima cadangan pembinaan pejabat bomba di Sarawak.

Mohammad Hamdan, 46, ketika itu adalah Penolong Ketua Pengarah Bahagian Perancangan, Penyelidikan, dan Pembangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya didakwa menerima rasuah daripada Zainudin Su'ut di tempat letak kenderaan Kondominium North Point, One Ampang Avanue, Jalan Ampang Utama 2/2, Hulu Langat, Ampang, di antara pukul 4 petang hingga 6 petang, 1 Ogos 2003.

Menurut kertas pertuduhan, wang tersebut adalah sebagai dorongan bagi membantu mendapatkan sokongan dari Jabatan Bomba kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi cadangan pembangunan dan pembinaan bangunan pejabatdan bengkel untuk jabatan itu di atas Lot 2312 & 2313, Salak Land District, Samariang, Petra Jaya, Kuching, Sarawak secara rundingan terus, reka dan bina kepada syarikat Erakristal Sdn Bhd.

Mohammad Hamdan didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Saiful Hazmi Mohd Saad mencadangkan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta pasport Mohammad Hamdan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguam Mohd Firuz Jaffril yang mewakili Mohammad Hamdan memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah terhadap anak guamnya kerana mempunyai keluarga.

"Kesemua harta benda tertuduh, isteri, serta seluruh keluarganya telah pun disita sejak September 2008, oleh itu saya pohon agar jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin," kata Mohd Firuz lagi.

Hakim Noradidah Ahmad kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 27 Mei ini.

1 ulasan:

Unknown berkata...

biasala....kepimpinan melalui tauladan...pompuan dalam bomba pun sama..nama dia bermula dengan Z....