Jumaat, 27 Februari 2009

Pemuda Umno cabar Karpal kemuka bukti dalam tempoh 24 jam

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno hari ini memberi tempoh 24 jam untuk Pengerusi DAP Karpal Singh mengemukakan bukti yang mendakwa Pemuda Umno bertanggungjawab atas kiriman peluru terhadapnya baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata tuduhan yang dilemparkan Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu merupakan satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang Ahli Parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran. Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, ketika membahaskan usul menjunjung kasih bagi titah ucapan Yang diPertuan Agong, wakil rakyat Bukit Gelugor itu mendakwa Pemuda Umno yang mengirimkan dua butir peluru yang ditemui dalam satu sampul surat di kediamannya di Pulau Pinang barubaru ini.

Dalam sidang media itu, Khairy turut menyifatkan Karpal yang juga seorang peguam veteran sebagai seorang yang angkuh serta berlagak seolah-olah tahu segala undang-undang.

"Sebab itu Pemuda Umno hari ini mendesak kerajaan untuk bertindak cepat, manusia macam Karpal ini memang angkuh, memang ingat dia selalu betul dan dia tahu segalagalanya.

"Saya takut kalau kerajaan tidak ambil tindakan mengikut undang-undang kita tak dapat bendung kemarahan rakyat, kemarahan sebilangan besar daripada rakyat masyarakat Melayu terutamanya, dan seluruh ahli pergerakan Pemuda Umno Malaysia," tegasnya.

Ditanya adakah pemuda Umno ingin meminta Karpal memohon maaaf secara terbuka, Khairy menjelaskan bahawa Pemuda Umno tidak akan membuang masa untuk meminta permohonan maaf Karpal.

"Manusia seperti beliau tidak mengerti makna taubat dan pengakuan salah. Pemuda UMNO cuma mencabar beliau membawa bukti kukuh dan sekiranya beliau gagal, semua rakyat boleh menyimpulkan bahawa Karpal Singh adalah penipu yang ketandusan modal," katanya.

"Kami mahu mengingatkan Karpal bahawa bukan Pemuda Umno yang mainmain. Sebenarnya Karpal yang mainmain dengan sentimen rakyat dan bermain dengan api. Sekiranya beliau tidak bertaubat dan berhenti, kemarahan yang masih membara ini akan menjadi lebih dahsyat,"ujarnya.

Katanya, Pemuda Umno tidak akan berhenti untuk menentang Karpal, di mana sahaja demi kesejahteraan rakyat, prinsip Rukun Negara dan institusi raja berperlembagaan.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau mengecam sikap celupar Karpal yang menggunakan kata-kata kesat terhadap pergerakan itu.

"Beliau bukan sahaja telah melanggar peruntukan 36(4) Peraturan Mesyuarat yang tidak membenarkan katakata kesat digunakan sewaktu perbahasan di dalam Dewan, malah ianya berunsur fitnah dan pembohongan apabila menuduh Pergerakan Pemuda Umno sebagai membuat ancaman jenayah dengan menghantar dua butir peluru kepadanya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata Karpal dengan sengaja cuba mengalih perhatian rakyat berhubung penderhakaan beliau kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan mendesak Karpal untuk mengakui kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menyanjung Sistem Raja Berperlembagaan.

"Kegagalan berbuat demikian membuktikan bahawa Karpal mengkhianati Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Justeru saya menggesa pihak berkuasa agar segera menahan dan mendakwa Karpal di bawah Akta Hasutan 1948 jika beliau terus enggan berganjak daripada sikap penderhakaan ini," katanya.

Beliau berkata kenyataan bahawa "Singh is King" menunjukkan bahawa beliau sudah terlalu takbur sehingga menganggap dirinya seorang Raja mengatasi kedaulatan Raja-Raja Melayu yang sudah bertakhta sejak turun-temurun.

"Karpal nyata tidak langsung menghormati mahupun mengendahkan tatasusila mesyuarat dan kesopanan Dewan Rakyat.

"Meskipun akhirnya Karpal menarik balik kenyataan yang telah dibuat, saya menggesa beliau digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk suatu tempoh yang dianggap wajar sebagai sempadan yang mesti diawasi oleh ahliahli Yang Berhormat di dalam Dewan Rakyat," katanya.

Tiada ulasan: