Sabtu, 28 Februari 2009

Mahu DBKL komited bangunkan Kampung Baru, tidak abai penduduk

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali mengharapkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam seminar pembangunan Kampung Baru dan kampung-kampung tradisional di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian sewaktu membawa usul menjunjung kasih titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Jelasnya, cadangan untuk mengadakan seminar tersebut kerana tidak ada satu pelan ataupun satu perancangan yang jelas, bagaimanakah bentuk pembangunan ke atas Kampung Baru dan juga kampung-kampung tradisional Melayu di sekitar Kuala Lumpur sebagaimana yang dinyatakan dalam Draf Kuala Lumpur 2020.

"Secara umumnya penduduk Kuala Lumpur terutama pemilik-pemiliktanah dan aset di Kuala Lumpur tidak menolak pembangunan. Bagaimanapun mereka mahukan pembangunan yang tidak meminggirkan mereka.

"Mereka mahu memastikan agar pemilikan mereka akan kekal dan juga mereka mahu pastikan bahawa mereka terus tinggal di Kuala Lumpur setelah berpuluh-puluh tahun mendiaminya. Juga mereka mahukan pembangunan fizikal yang akan dijalankan di Kuala Lumpur,"katanya.

Jelas Lo'lo' lagi, untuk menjadi 'world class city' mestilah seiring dengan pembangunan kemanusiaan atau pembangunan insan itu sendiri.

"Seminar ini saya kira akan diisi oleh pakar-pakar dan juga mereka yang mempunyai 'interest' yang tinggi untuk memastikan pengekalan Kampung Baru dan juga kampung tradisional sebagai landmark ataupun mercu tanda di Kuala Lumpur ini.

"Tujuan seminar ini adalah untuk mencari penyelesaian kepada banyak persoalan-persoalan yang timbul seperti yang saya katakan tadi. Umpamanya semasa pembangunan kampung-kampung ini di manakah penduduk-penduduk ini akan ditempatkan?

"Bagaimanakah mata pencarian mereka yang mungkin terjejas dengan pemindahan sementara mereka.Jadi saya mengharapkan agar DBKL akan memberi kerjasama sepenuhnya,"katanya yang mengalu-alukan agar seminar tersebut dapat dijalankan atas anjuran bersama dengan DBKL. - azm _

Tiada ulasan: