Rabu, 25 Februari 2009

Kes liwat: Mahkamah tolak bantahan awal Anwar

Oleh ZANARIAH ABDUL MUTALIB
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak bantahan awal Anwar Ibrahim terhadap rayuan pasukan pendakwaan untuk kes liwatnya didengar di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu pada sidang mahkamah pagi tadi, Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden kekal mengetuai pasukan pendakwaan kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran keputusan pihak pembela untuk menarik balik permohonan menggugurkan beliau.

Ketua pasukan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah berkata, Mohd Yusof telah menghantar afidavit yang membuat perakuan bahawa beliau tidak mempunyai kertas siasatan insiden mata lebam bekas Timbalan Perdana Menteri itu walaupun beliau menganggotai Suruhanjaya Diraja menyiasat insiden tersebut.

"Beliau (Yusof) mengaku bahawa beliau tidak mengetahui berhubung kertas siasatan tersebut walaupun berada dalam Suruhanjaya Diraja tersebut.

"Justeru, kami dengan segera menulis surat kepada pihak Pendaftar untuk menjelaskan tentang kes tersebut dan menarik semula permohonan itu," katanya.

Mohamad Zabidin hari ini memutuskan untuk menerima hujah daripada pihak pembelaan tanpa sebarang bantahan.

Mahkamah mula bersidang pada pukul 10.10 pagi tadi.

Bagaimanapun, Anwar tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Pada 6 Februari lalu, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh telah mengemukakan notis bantahan di Mahkamah Tinggi, supaya Yusof yang mengetuai pasukan pendakwaan menarik diri daripada semua prosiding membabitkan kes liwatnya.

Anwar melalui peguamnya, Sulaiman Abdullah membuat permohonan itu untuk mengenepikan kelayakan Mohamed Yusof dengan alasan beliau adalah pegawai dari Pejabat Peguam Negara yang terbabit dalam Suruhanjaya Siasatan berhubung insiden mata lebam Anwar pada 1998.

Sesi mahkamah hari ini, seterusnya mendengar hujah daripada pihak pendakwaraya dan penguam bela berhubung permohonan pendakwa raya untuk semakan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan kes liwat, Anwar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah ditangguhkan pada pukul 12:30 tengah hari tadi akan disambung semula 2:30 petang ini.

Anwar, 61, didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap Mohd Saiful, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun lalu.

Tiada ulasan: