Khamis, 26 Februari 2009

Kalabakan kecam BN menipu

Anis Nazri


KUALA LUMPUR - Ekoran terpinggir dari arus kemajuan, Dato' Seri Abdul Ghapur Saleh (BN-Kalabakan) sekali lagi mengecam kerajaan BN kerana gagal menyalurkan peruntukan seperti yang dijanjikan di Sabah bagi tujuan pembangunan negeri itu.

Ketika bangkit membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong, di Dewan Rakyat, 23 Feb lalu, Ghapur mengecam BN yang disifatkannya sebagai 'tipu helah BN' apabila kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM 1 bilion kepada Sabah, namun tidak sampai di Sabah.

Katanya, biarpun Pengarah Pembangunan Sabah dilantik di kalangan rakyat Sabah sendiri, namun 'tali' masih dipegang di Kuala Lumpur sehingga menyukarkan segala bentuk bantuan disalurkan ke negeri bawah bayu itu.

Dengan menyifatkan semua itu sebagai tipu helah BN, beliau meminta satu kajian semula dibuat bagi memastikan segala peruntukan yang dikhaskan bagi pembangunan Sabah dilakukan bagi kebaikan rakyat Sabah.

"Dilaporkan sebanyak RM 1 bilion diperuntukan untuk Sabah. Namun di mana ia? Jika Terengganu diberi wang ehsan sebanyak RM400 juta, Sabah juga mahu. RMK-9 tidak ada, RMK-10 nanti langsung tidak ada," tegas beliau.

Ketika ini, Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Kuala Terengganu) bangkit menyatakan bahawa kerajaan tidak ikhlas kerana wang royalti yang diterima Terengganu 'hangus' dan dirompak, tanpa diterima rakyat Terengganu.

Ketika itu, Ghapur berkata beliau tidak tahu menahu mengenai wang royalti Terengganu, tetapi mahu Sabah mendapat hak yang sepatutnya.

Selain mengecam BN yang dilihatnya tidak serius membantu rakyat Sabah, beliau turut mengecam menteri-menteri yang menurutnya tiada di parlimen untuk mendengar segala keluhan yang dikemukakan wakil rakyat.

"Menteri tidak tahu jaga apa. Tidak pernah datang lawat Sabah. Tidak tahu apa yang diperlukan rakyat Sabah. Menteri perlu buat kerja, jika hendak datang parlimen dengar keluhan rakyat, susahlah," tegas beliau.

Ketika itu, Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin mencelah dengan mengingatkan Ghapur bahawa kemungkinan menteri mempunyai kerja lain yang lebih penting ekoran kegagalan mereka di dewan.

Kenyataan tersebut disanggah Ghapur dengan menyatakan tidak mungkin semua menteri mempunyai kerja serentak, sehingga kesemuanya tidak dapat hadir ke parlimen.

"Ini bukan sangkaan jahat. Mungkin mereka ada kerja, tapi takkan semua sibuk serentak. Kalau begitu, semua orang mahu jadi menteri," kecam beliau. _

Tiada ulasan: