Selasa, 24 Februari 2009

DVD seks muncul semula, Soi Lek disiasat

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menjadi perhatian semula dalam isu skandal seks, dengan hari ini beliau diambil keterangan oleh polis berikutan aduan seorang peniaga yang menerima cakera video digital (DVD) aksi seks dalam peti suratnya.

Chua, bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau telah mengunjungi Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya hari ini untuk mengecam sebuah pita ekoran laporan yang dibuat oleh penduduk Petaling Jaya baru-baru ini.

"Saya memberitahu polis bahawa ia merupakan pita yang sama yang saya kenal pasti Januari tahun lalu," kata beliau dalam blognya hari ini.

Bekas Ahli Parlimen itu juga berkata, beliau merasakan ia merupakan satu usaha pihak-pihak tertentu menyebarkan semula pita seumpama bagi mencemarkan namanya.

"Saya memberikan kerjasama penuh kepada polis," kata beliau yang meletakkan semua jawatan kerajaan dan parti ekoran munculnya pita berkenaan awal tahun lepas.

Pada Oktober lalu beliau kembali aktif dalam politik sekaligus memenangi jawatan Timbalan Presiden MCA.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Hasnan Hassan berkata, peniaga berkenaan, lelaki berumur 50 tahun membuat laporan itu pada 10 Februari lalu selepas menerima sampul surat itu di rumahnya di Kelana Jaya.

"Dalam sampul surat itu, peniaga mendapati satu VCD berserta dua keping surat dan pengadu setelah menonton VCD itu mendapati ia adegan seks antara seorang lelaki dan seorang perempuan," katanya.

Beliau berkata kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 377 (a)Kanun Keseksaan.

Polis juga menjalankan siasatan mengikut Sekyen 292 (a) akta yang sama atas kesalahan mengedarkan bahan lucah, katanya.

Isu Chua muncul semula ketika polis masih menyiasat penyebaran foto dan video separuh bogel Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Tiada ulasan: