Selasa, 24 Februari 2009

Dun Kelantan kutuk kekejaman Yahudi

Salmah Mat Hussain & Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU - Dewan Negeri Kelantan yang bersidang hari ini mengambil ketetapan mengutuk tindakan kejam rejim Yahudi di bumi Palestin yang menyebabkan lebih 1,300 penduduk menjadi korban.

Usul mengenai perkara itu dibentang Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Menteri Besar kekejaman bangsa Yahudi tidak boleh dimaafkan kerana ia telah merampas hak bangsa lain dan tindakan yang dilakukan rejim itu melampaui nilai-nilai kemanusiaan.

Katanya kekejaman Yahudi tidak boleh dibendung lagi sekiranya umat Islam tidak bersatu.

Beliau berkata Gaza merupakan tempat lahirnya ulama seperti Imam Syafie dan seharusnya umat Islam mempertahankannya.

"Mengenai cadangan supaya wakil rakyat membuat sumbangan dengan sebulan elaun kepada mangsa kekejaman Yahudi, ia tidak menjadi masalah.

"Bagi saya, tak dak masalah. Saya setuju gaji saya dipotong, yang lain tu kena bincang dululah," ujar beliau.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob ketika menyokong usul tersebut berkata, kekejaman dilakukan Yahudi bermula pada 1948, di mana penduduk Palestin telah ditindas.

Katanya juga orang Yahudi juga merupakan bangsa yang mengasaskan perniagaan secara riba seperti diamalkan bank di negara-negara barat sekarang.

"Kelalaian umat Islam di bumi Arab juga menjadi faktor penting Yahudi bertindak sewenang-wenangnya menindas bangsa Palestin," katanya pada persidangan kali pertama bagi tempoh penggal kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan yang ke-12 hari ini.

Usul tersebut juga disokong pembangkang yang diwakili Abdul Aziz Derasid (BN - Kuala Balah) yang turut mengutuk keras serangan Yahudi terhadap bumi Palestin.

Beliau turut mencadangkan wakil rakyat di Kelantan memberi sumbangan sebulan elaun mereka untuk didermakan kepada kerajaan Hamas di Palestin.

"Kita akan beri sumbangan itu kepada Hamas kerana ia merupakan kerajaan yang dipilih rakyat Palestin dan bukannya kumpulan Fatah yang diketuai Mahmood Abbas," katanya ketika menjawab soalan dibangkitkan Ustaz Hassan Mohamood (PAS - Tawang) yang mahu memastikan kepada pihak mana bantuan akan disalurkan.

Ramai anggota Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) bangkit mencelah ketika Aziz berucap menyokong usul tersebut.

Dr Muhammad Md Daud (PAS - Tendong) berkata, Yahudi bukan sahaja memusuhi umat Islam, malah ia menjadi musuh kepada seluruh bangsa di dunia.

"Yahudi beranggapan mereka adalah bangsa yang mulia di bumi ini dan kaum lain dianggap sebagai setaraf dengan haiwan, justeru itu mereka sanggup membuat apa saja untuk menegakkan negara Yahudi," ujar.

Menurutnya bangsa Yahudi merupakan golongan penakut di mana tenteranya akan berundur sekiranya ada di kalangan mereka mati dalam peperangan.

Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS - Mengkebang) mencadangkan kerajaan mengemukakan teori '8 D' bagi mengutuk kekejaman rejim Yahudi ke atas umat Islam di Palestin.

8 D yang dimaksudkan iaitu demontrasi, dana, desak, dedah, delegasi, dakwah, didik dan doa.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri melalui Tabung Cakna Palestin yang bersedia menaja pelajar-pelajar dari Palestin meneruskan pengajian di negara ini.

Ustaz Abdullah Ya'kub (PAS - Air Lanas) pula mengimbau sejarah permulaan kekejaman kaum Yahudi bermula pada 1898 berdasarkan kepada ketetapan di Geneva yang ingin menjatuh kerajaan Othmaniah di Turki.

Katanya, Yahudi telah bertindak awal mencari seorang anak tempatan yang pintar, Mustafa Kamal Atartuk yang dididik sehingga berjaya melanjut pelajaran ke Harvard, kemudian diangkat menjadi pemimpin di Turki dengan menjatuhkan kerajaan Othmaniah.

Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS - Pasir Tumbuh) berkata terdapat perbezaan dalam menggunakan nama Israel dan Yahudi, di mana Israel adalah merupakan satu kaum yang terdiri daripada nabi iaitu keturunan Nabi Yaakub a.s.

Sedangkan Yahudi ialah mereka yang lahir dari keturunan Israel yang terlalu jahat sehinggakan sanggup membunuh nabi-nabi.

"Oleh itu saya berharap kita menggunakan nama Yahudi dalam apa jua perkara yang menggambarkan kekejaman mereka di Palestin sekarang," ujar.

Ustaz Muhammad Mustapha (PAS - Demit) meminta kerajaan pusat mengiktiraf kerajaan Hamas di Palestin kerana kemenangannya mengikut demokrasi melalui cara yang sah.

Beliau berkata, Malaysia juga seharusnya menyalurkan sumbangan yang khusus terhadap kerajaan Hamas bagi membantu umat Islam di Gaza.

Katanya, kerajaan juga perlu memberi penerangan yang jelas berhubung kerajaan Hamas yang dipilih rakyat Palestin secara sah.

"Kita tidak mahu sumbangan disalurkan kepada kumpulan Fattah yang langsung tidak ada hubung kait dengan peperangan dengan Yahudi baru-baru ini," ujarnya.

Beliau juga menyarankan Malaysia turut mengambil sikap menyokong untuk mendakwa rejim Zionis di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana telah menceroboh hak asasi manusia sejagat.

Beliau turut menyarankan kerajaan Kelantan memberi ruang kepada kanak-kanak Palestin meneruskan pengajian di negeri ini iaitu di kolej-kolej swasta atau awam sebagai aset bagi masa depan mereka.

"Yahudi akan melekakan umat Islam bagi mengikis rasa kecintaan yang kental terhadap perjuangan Islam agar ia semakin terhakis," ujarnya.

Sementara itu, badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyerah memorandum bantahan terhadap kekejaman Yahudi kepada Menteri Besar di lobi Dewan Undangan Negeri, ketika persidangan berhenti rehat.

Memorandum itu diserahkan Ketua Sekretariat Misi Cakna Palestin, Nazri Deraman.

Nazri berkata, penyerahan memorandum itu sebagai melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Kelantan yang turut sama mengutuk kekejaman Yahudi.

Sekretariat terbabit menggabungkan 30 NGO dari seluruh negeri berganding bahu menganjurkan program-program bagi membantu meringankan beban kesengsaraan rakyat di Gaza.

"Kami mewakili pelbagai golongan dan lapisan masyarakat turut sama menyatakan sokongan ke atas langkah pihak kerajaan Kelantan yang amat prihatin terhadap isu ini," ujar beliau. - mj _

Tiada ulasan: