Sabtu, 28 Februari 2009

Bekas teman lelaki Elizabeth sudah pulang?

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Polis hari ini menolak desas-desus yang mengatakan bekas teman lelaki Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong yang dikenali sebagai Hilmi kini berada di Malaysia.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, sehingga kini, pihak polis belum mendapat sebarang maklumat yang lelaki itu telah memasuki negara.

"Polis percaya, dia (Hilmi) masih lagi di Indonesia," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak sebelum ini yang mengatakan Hilmi kini berada di Malaysia dan memasuki negara secara senyap-senyap.

Polis sebelum ini mengesahkan Hilmi, 32, merupakan satu-satunya saksi yang dicari bagi membantu siasatan kes gambar separuh bogel Elizabeth.

Hilmi sebelum ini pernah menjadi pegawai khas kepada salah seorang wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama sembilan bulan.

Menurut Muhammad Sabtu, buat masa ini, polis tidak berhasrat memanggil ahli keluarga Hilmi untuk memberi keterangan kerana mereka tidak terlibat.

"Tetapi kalau keadaan memaksa dan sekiranya difikirkan perlu, kita akan panggil mereka," katanya.

Tambahnya, polis belum meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Hilmi.

Setakat ini, seramai 14 orang termasuk wartawan telah dipanggil memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Tiada ulasan: