Khamis, 26 Februari 2009

ADUN diekori

Pakatan Rakyat


KULIM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Lim Soo Nee membuat laporan polis semalam apabila mendakwa dirinya diekori dua lelaki bermotosikal sejak dua hari di sini.

Soo Nee berkata, perkara itu mula disedarinya sejak kelmarin apabila dua lelaki yang tidak diketahui identitinya mengekori keretanya pada waktu petang antara jam 3 hingga 5 petang.

Katanya, penunggang motosikal berkenaan hanya mengekorinya dari jauh sahaja tetapi beliau dapat mengagak bahawa dirinya diekori apabila dua lelaki tersebut mengekorinya menggunakan motosikal yang sama berwarna biru.

“Ini berlaku setelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar di Parlimen pada 19 Februari lalu dan mendedahkan isu pita rakaman bekas pemimpin negeri yang dikatakan cuba merasuah saya.

“Jadi ada kemungkinan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pendedahan tersebut dan cuba menggunakan cara ini untuk mengancam saya,” katanya.

Menurutnya, beliau begitu pasti dirinya sedang diekori sejak dua hari lalu apabila lelaki berkenaan turut memberhentikan motosikal yang dinaiki mereka sebaik beliau berhenti di tepi jalan.

Katanya, apabila dia menggerakkan semula kenderaannya, dua lelaki bermotosikal itu terus mengekorinya pada waktu berkenaan menjadikan beliau agak risau dengan keselamatannya.

“Perkara ini berlaku selama dua hari berturut-turut hingga menyebabkan saya berasa risau mengenai keselamatan diri dan keluarga saya yang sentiasa bergerak di sekitar bandar ini.

“Oleh itu saya membuat laporan kepada polis supaya mereka dapat memantau keselamatan saya dan keluarga dengan memohon rondaan yang kerap di kediaman saya,” katanya.

Beliau turut ditemani peguamnya yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Keadilan, Cheah Kah Peng membuat laporan di Balai Polis Kulim petang semalam.

Terdahulu, Ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media di Parlimen mendedahkan kewujudan pita rakaman bekas pemimpin negeri ini yang dikatakan cuba merasuah ADUN itu untuk melompat ke parti Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ghuzlan Salleh mengesahkan menerima laporan tersebut.

Tiada ulasan: