Sabtu, 28 Februari 2009

Bkt Selambau: 8 calon India tawar diri wakili PKR

Abdul Rahim Sabri


Lapan calon keturunan India adalah antara 18 orang yang telah menawarkan diri untuk mewakili PKR dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau 7 April depan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, ahli jawatankuasa PKR Merbok, A. Loganathan berkata, lima daripada lapan calon berkenaan berpotensi dipilih mewakili PKR bertanding di kerusi tersebut.

Katanya, mereka ialah Dr Krishnamurthy (Ketua Penerangan PKR Sungai Petani), S Sritharan (AJK PKR Sungai Petani), K Masilamani (AJK PKR Merbok), B Kalai Vanar (Ketua PKR Jerai) dan N Gobalakrishnan (ahli Parlimen Padang Serai).

Tambahnya, tiga lagi calon yang menawarkan diri untuk bertanding ialah seorang pemimpin daripada Hindraf, iaitu RS Thanenthiran. Manakala, R Muniandi dan Manogaran turut menawarkan diri. Kedua-dua mereka ialah ahli jawatankuasa bahagian Merbok.

Menurut Loganathan, seorang lagi ahli jawatankuasa PKR Merbok yang turut menawarkan diri ialah Kamal Nasir Taufik.

Dilaporkan bekas ketua PKR bahagian Pokok Sena, A Jayagopal turut menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket bebas jika tidak dipilih sebagai calon PKR dalam pilihanraya kecil tersebut.

DUN Bukit Selambau kosong berikut peletakkan jawatan V Arumugam sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan exco Kedah.

Pilihan pucuk pimpinan

Dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, V Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi.

Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, S Krishnan yang mendapat 10,863 undi.

Manakala kertas pencalonan calon PKR, Saiful Izham Ramli ditolak atas sebab-sebab teknikal.

Selasa lalu, Saiful Izham yang juga ketua AMK Kedah, mengesahkan tidak akan bertanding sebaliknya menumpukan kepada tanggungjawabnya sebagai pengarah pilihanraya kecil DUN tersebut.

Menurut Loganathan, penduduk di Bukit Selambau memerlukan calon yang lantang bersuara, ikhlas dan tegas dengan perjuangan parti.

Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir pemilihan calon yang bertanding akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti tersebut.

Polis guna meriam air surai penyokong Uthayakumar

Abdul Rahim Sabri

Polis melepaskan tembakan meriam air untuk menyuraikan kira-kira 300 orang yang berhimpun di luar ibu pejabat polis Brickfields untuk membuat laporan polis beramai-ramai berhubung layanan perubatan terhadap tahanan ISA, P Uthayakumar.

Polis melepaskan tembakan meriam air itu kira-kira jam 11.55 pagi selepas mereka tidak mengendahkan tiga arahan polis supaya bersurai.

Sebelum itu, kira-kira 50 orang dibenarkan masuk untuk membuat laporan polis berhubung layanan terhadap Uthayakumar.

Mereka terdiri daripada lima wakil dari sembilan negeri dan lima anggota keluarga Uthayakumar.

Mereka berkumpul hari ini sebagai membantah kerana Uthayakumar - yang menghidap kencing manis - tidak diberi rawatan perubatan sewajarnya.

Beberapa anak jari kaki kiri Uthayakumar mengalami kecederaan pada 31 Januari lalu ketika berada di Kem Tahanan Kamunting.

Pada 20 Februari lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, jika keadaan itu berterusan, 'beratus-ratus" laporan polis akan dibuat terhadap pihak berkuasa hari ini.

Pada jam 12.15 tengahari, kira-kira 12 orang ditahan termasuk ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan penyelaras badan pemantau polis dan jawatankuasa hak asasi manusia, S Jayathas.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Sing Deo juga kelihatan berada di balai polis untuk memberi sokongan kepada mereka.

Bagaimanapun, pada kira-kira jam 12.45 tengahari, orang ramai sudah beredar dan hanya tinggal polis dan para wartawan di situ.

Gobind persoal tindakan polis

Sementara itu, Gobind yang tiba di balai polis kira-kira jam 12.30 tengahari, mempersoalkan tindakan polis yang didakwanya berbeza 'standard' dalam mengawal keadaan.

"Saya tidak faham, setiap kali masyarakat India buat laporan polis, kena tangkap. Hantar memorandum dan bawa bunga pun kena tangkap, kenapa?" katanya.

Beliau sebaliknya mempersoalkan tindakan Pemuda Umno menyerang dua ahli Parlimen termasuk bapanya, Karpal Singh, tetapi tiada tindakan yang diambil terhadap mereka.

Ekoran itu, beliau kemudiannya memasuki ibu pejabat polis untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya.

Dalam sidang media sejurus mendapatkan penjelasan daripada pihak polis, Gobind berkata, 17 orang telah ditahan oleh polis kerana didakwa engkar mematuhi arahan polis untuk bersurai.

Bagaimanapun beliau berkata, mereka tidak melakukan sebarang kesalahan kerana hadir di situ untuk membuat laporan polis dan tidak berniat untuk melakukan kesalahan atau kekecohan.

Tambahnya, mereka juga ditahan untuk diambil kenyataan dan beliau meminta pihak polis membebaskan mereka yang ditahan.

Menurutnya, beliau memohon penjelasan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung alasan polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan penyokong pemimpin Hindaraf tersebut.

Tiada laporan polis

Gobind berkata, laporan polis tidak dapat dibuat ekoran polis melepas tembakan meriam air ke arah penyokong yang hadir.

Menurutnya, tiga orang telah dihantar ke hospital iaitu seorang perempuan dan dua lelaki.

Sebelum itu, kira-kira jam 10.45 pagi, penyokong Uthayakumar berarak dari deretan kedai di persimpangan Jalan Sultan Abdul Samad, menuju ke Ibu pejabat polis Brickfields yang terletak kira-kira 150 meter dari tempat mereka berkumpul.

Mereka melaung-laungkan "Makkal Sakthi" sambil membawa sepanduk "Justice For Indians", "Treat Uthaya as human. Sent him to hospital" beserta foto wajah pemimpin Hindraf itu.

Turut menyertai dalam perarakan tersebut adalah beberapa pemimpin Hindraf termasuk Koordinator Penyelaras Hindraf, RS Thanenthiran.

Hasil perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Brickfileds, Wan Abdul Bari Wan Khalid, ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran memberitahu kepada penyokong bahawa pihak polis membenarkan 50 orang termasuk ahli keluarga P.Uthayakumar membuat laporan polis.

Turut sama dalam perbincangan tersebut, antaranya, dua ahli Parlimen - Manikavasagam dan M Ravi (PKR-Port Dickson) - serta Thanenthiran dan Jayathas

Katanya, polis juga memberi kerjasama yang baik serta memberi jaminan tidak akan membuat sebarang tangkapan.

Sementara itu, Wan Abdul Bari Wan Khalid ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas jumlah penyokong yang ditahan polis.

Pertandingan foto perpaduan di laman web Najib

BERITA HARIAN ONLINE


KUANTAN: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penganjuran pertandingan foto menerusi laman web peribadinya, www.1Malaysia.com.my.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pertandingan Foto 1Malaysia itu bermula esok hingga 31 Mac dan terbuka kepada rakyat negara ini yang berumur antara 18 hingga 23 tahun.

Katanya, pertandingan itu bertemakan `Perpaduan Melalui Kepelbagaian' dan setiap peserta perlu menghantar foto yang melambangkan perpaduan dan kepelbagaian Malaysia yang unik dan istimewa.

"Pertandingan online itu adalah satu inisiatif saya untuk membabitkan penyertaan rakyat dalam subjek berkaitan perpaduan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi Negara Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini.

Najib berkata, pemenang pertandingan itu akan menerima hadiah kamera digital yang akan disampaikan beliau sendiri dalam satu pertemuan khas.

"Saya akan cuba sedaya upaya untuk memilih gambar terbaik dan dipilih sebagai pemenang pertandingan ini," katanya.

Poster pertandingan sudah diedarkan ke semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta untuk menggalakkan penyertaan pelajar.

Maklumat lanjut berkenaan pertandingan itu boleh didapati di laman web berkenaan.

Kegawatan dijangka berlarutan hingga 2010: Nor Mohamed

BERITA HARIAN ONLINE


PULAU PINANG: Kesan kegawatan ekonomi yang melanda dunia dijangka dirasai Malaysia sehingga 2010, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang begitu terbuka dalam perdagangan, Malaysia kini berada dalam zon tidak selesa dan kerajaan akan mengambil langkah segera bagi mengurangkan kesan dari kegawatan itu.

"Tiap-tiap hari kita dengar jumlah pemberhentian pekerja semakin meningkat, syarikat yang mengalami aliran tunai dan bankrap juga meningkat seolah-olah kegawatan yang melanda dunia ini tiada penghujungnya.

"Kegawatan dunia sudah semakin mencabar dan kita nampak dari petunjuk-petunjuk itu kemungkinan kegawatan berkenaan tidak akan berakhir tahun ini serta dijangka berlarutan sehingga tahun 2010," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kewangan Mikro Bandar cawangan Georgetown di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Nor Mohamed berkata Kementerian Kewangan sedang mengumpul maklumat dengan berjumpa dan bermesyuarat dengan semua pihak, termasuk swasta, untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, juga sedang bekerja keras mengumpul maklumat itu bagi memastikan bajet mini yang akan dibentangkan pada 10 Mac ini adalah menyeluruh dan menyentuh semua bidang yang penting.

"Kita perlu mendapat maklum balas secara langsung serta tidak langsung dari semua pihak bagi membolehkan kerajaan mengambil langkah tertentu mengatasinya dan setakat ini kita telah dapat banyak maklumat berhubung kegawatan yang sedang melanda," katanya.

Beliau juga mengesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman agama dan politik supaya bersatu menghadapi cabaran itu.

"Kita kena terima realiti, negara kini berada dalam zon tidak selesa serta bahaya dan kita (rakyat Malaysia) terdedah kepada krisis itu. Justeru, kita perlu bersatu menghadapinya kerana cabaran yang sedang melanda ini bukan cabaran biasa," katanya. - Bernama

PRK Bukit Gantang, Persiapan Rapi, Calon Tak Pasti

Wartawan Buletin


Bukit Gantang – Calon PAS yang akan bertanding untuk pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang belum di pastikan, namun persiapan menghadapi ‘perang politik’ tersebut telah digerakkan dengan rapi.

Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Mohd Nordin Jaafar berkata jentera pilihanraya pelbagai peringkat telah digerakkan.

Namun, katanya, belum ada, samada Perhubungan negeri Perak atau pihak PAS Pusat yang meminta secara rasmi dari PAS Kawasan Bukit Gantang nama calon-calon utuk pilihanraya tersebut.

Walaupun begitu, beliau tidak menafikan ada pihak Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN) yang meminta pihaknya meminta pihaknya menyenaraikan beberapa nama.

“Perhubungan negeri dan pihak pusat belum minta nama secara rasmi, belum hantar surat, tapi pihak JPN ada hubungi, minta kita (PAS Bukit Gantang) sedia 6 nama, 2 nama dikalangan pimpinan kawasan, 2 nama dikalangan pimpinan negeri dan 2 dikalangan pimpinan pusat,

“saya sudah pun mendapat maklumbalas dari cawangan-cawangan, ada 48 cawangan semuanya,”katanya yang ditemui Buletinonline di Markaz Air Kuning di sini, semalam.

Menurut beliau sebagaimana yang diminta oleh JPN, beliau telah pun menyenaraikan nama-nama tersebut, sebagaiaman maklumbalas yang diberikan oleh cawangan-cawangan.

Katanya seluruh 38 Unit Peti Undi dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang elah pun digerakkan termasuk jentera pemuda. muslimat dan jentera di DUN-DUN.

"Pelancaran jentera pemuda telah dilaksanakan pada 19 Feb lalu, kami sediakan 500 helai T-Shirt, tetapi tidak cukup berbanding para pemuda yang datang,

"jentera parlimen dilancarkan di Markaz Bukit Cempedak oleh Menteri BesarPakatan Rakyat, YAB Dato' Seri Nizar baru-baru ini,"katanya.

Katanya jentera bantuan dari negeri-negeri dan kawasan-kawasan dalam negeri Perak sudah mula datang dan meninjau kawasan dan membuat persiapan perlu terutamanya dari segi penginapan dan penyelarasn dengan peti-peti undi.

Menurutnya beliau yakin PAS akan menang dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang berdasarkan sokongan pada pilihanraua umum ke 12 Mac lalu dan suasana poliitik masakini.

"Peluang.....alhamdulillah, kita yakin menang dan Bukit Gantang (parlimen) akan dapat dikekalkan dibawah PAS dan Pakatan Rakyat,

"kita meletakkan sasaran kemenangan dengan pertambah undi sekali ganda, kalau dulu arwah Ustaz Ruslan mendapat majoriti 1655 undi, kali ini kita sasarkan sehingga 3,000 undi,"katanya.

Laporan Umum SPRM berkaitan judi

Mohd Basir Abdullah


LAPORAN SECARA UMUM

Kepada:
Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk

Saya merayu kepada Datuk, gunakan kuasa yang telah diberi untuk menyiasat laporan saya ini. Saya berikan fakta secara umum:

Bagaimana dan siapa yang telah salah guna kuasa sampaikan Negara Islam ini dilanda tsunami JUDI?

Baagaimana boleh ada tiga syarikat judi di bawah ini diberikan lesen.

- Magnum
- Toto
- Dama Cai

Dalam tujuh hari seminggu ada 9 cabutan empat nombor ekor. Dalam setahun 365 hari ada 480 cabutan. Adakah unsur rasuah dalam cabutan judi?

Saya selaku rakyat yang beragama Islam berasa cemas dengan keadaan ini bukan sahaja kerana negara ini Negara Islam dan judi haram di sisi Islam, tetapi mungkinkah ada unsur tidak sihat dalam kelulusan cabutan yang begitu banyak?

Majoriti rakyat Melayu Islam, Menteri Kewangan yang meluluskan cabutan juga adalah Melayu Islam.

Di sini, tentu ada unsur sogokan kerana terlalu mudah judi empat ekor ini mendapat kelulusan cabutan yang begitu banyak.

Sekian, dan saya minta siasatlah aduan saya ini.

Saya, Mohd Basir Abdullah, Pengerusi D' N.A.B boleh dihubungi di talian 019-6705730 atau melalui e-mel mohamad.basir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _

Sidang tergempar Perak: Tindakan Speaker canggah Perlembagaan

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


TAIPING: Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar memanggil sidang tergempar Selasa ini adalah satu tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan Negeri, kata Menteri Besarnya, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, Speaker DUN tidak boleh memanggil sidang tergempar kerana mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu.

Katanya, sebarang keputusan untuk mengadakan sidang DUN Perak bergantung kepada keputusan mahkamah berhubung kes terbabit.

Selain bertentangan dengan Perlembagaan Negeri, Zambry yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak awal bulan ini berkata, keputusan Sivakumar juga bercanggah dengan undang-undang dan peraturan DUN.

Sehubungan itu tegas beliau, Sivakumar hanya bertindak sebagai demi kepentingan partinya.

Sebaliknya jelas Zambry, Speaker itu seharusnya bertindak secara objektif kerana beliau sewajarnya mengetahui akan peraturan DUN.

Kemungkinan selepas ini, kata beliau, Sivakumar akan melakukan perkara-perkara lain yang bertentangan dengan Perlembagaan.

Zambry menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional di Dewan Melor, Changkat Jering di sini hari ini.

Changkat Jering merupakan salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Bukit Gantang, yang menyaksikan pilihan raya kecil awal April.

Tidak sah, BN Perak persoal Speaker panggil sidang DUN

URUTAN DETIK KRISIS POLITIK DI PERAK

Semalam, V. Sivakumar berkata, beliau akan memanggil sidang tergempar DUN Selasa ini bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Usul pertama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Menurut Sivakumar, sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Katanya, arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua ADUN bagi menghadiri sidang tersebut.

Mengenai penjelasan Sivakumar bahawa keputusan memanggil sidang tergempar tidak memerlukan perkenan Sultan Perak, Zambry menolak tanggap sedemikian.

Tegas beliau, undang-undang negeri dengan jelas menyebut bahawa apa jua sidang DUN memerlukan perkenan Sultan Perak.

Zambry berkata, Sivakumar seharusnya membaca Peraturan 36 dan peruntukan lain Perintah Tetap DUN, bukannya membuat tafsiran mengikut kehendaknya.

Tambah beliau, keputusan itu menunjukkan Sivakumar mahu mengatasi kuasa Sultan.

"Dahulu nampaknya, Singh the King, tetapi kini Siva the King," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan memfailkan perintah injuksi bagi menghalang sidang tergempar itu, Zambry memberitahu, ia tidak diperlukan memandangkan pertemuan minggu depan memang bercanggah dengan perlembagaan.

"Mereka mahu kami menari ikut rentak mereka, tetapi kami tidak akan berbuat demikian.

"Akan ada banyak lagi kejadian selepas ini," katanya.

Oleh itu, Zambry memberitahu, bagi mengadakan sidang DUN yang betul, Sivakumar seharusnya membenarkan penyertaan beliau bersama enam Exco dan tiga ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada 18 Februari lalu, Zambry dan dilarang daripada menghadiri sesi DUN Perak selama 18 bulan manakala Anggota Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri pula digantung selama 12 bulan.

DAP persoal kegagalan polis lindungi Karpal

BERNAMA


PULAU PINANG: Setiausaha Agung, DAP Lim Guan Eng mempersoalkan kegagalan pihak polis melindungi Karpal Singh ketika Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dikerumuni oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno di perkarangan Parlimen Khamis lalu.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata, kumpulan itu telah menghalang pengerusi DAP itu dari memasuki Dewan Rakyat dan melaksanakan tugasnya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

"Insiden itu berlaku di luar Parlimen dan polis harus mengambil tindakan bagi menghalang kumpulan Umno itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa polis tidak mempunyai bidang kuasa untuk memasuki atau campur tangan di Parlimen.

"Dalam kes ini, polis telah gagal dalam tugas mereka untuk melindungi rakyat," kata Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau menghargai Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing yang meminta maaf atas kejadian itu dan berpendapat Pemuda Umno juga harus berbuat demikian.

Dalam kejadian kirakira pukul 2.45 petang itu, perkarangan Bangunan Parlimen kecoh apabila sekumpulan individu berhimpun dan menuntut Karpal memohon maaf atas kenyataannya yang memaki Permuda Umno sebagai celaka dalam sidang Dewan Rakyat.

Gaji: PACC siasat MB baru Perak, lama Khamis

MSTAR ONLINE


IPOH: Jawatankuasa Kira-kira Awam (PACC) Perak dijadual menyoal kedua-dua bekas Menteri Besar dan Menteri Besar yang baru serta Exco masing-masing untuk menentukan pihak yang benar-benar layak menikmati gaji dan elaun-elaun berkaitan.

Sesi siasatan itu akan berlangsung Khamis ini iaitu dua hari selepas sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual diadakan Selasa ini.

Selain itu, jawatankuasa tersebut juga menyiasat 'kesahihan' mewujudkan jawatan bertaraf Exco kepada tiga penasihat Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir iaitu Menteri Besar yang baru dan seorang ketua penerangan.

Kerajaan perlu tarik semula kebenaran guna kalimah Allah

BERNAMA


KEPALA BATAS: Kerajaan perlu menarik balik keputusan membenarkan penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan agama Kristian kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malahan di seluruh dunia.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, kerajaan tidak bertindak secara bijak apabila membenarkan penggunaan kalimah itu oleh penerbitan Kristian kerana ia akan menimbulkan kemarahan umat Islam dan boleh membawa kepada tindakan agresif.

Katanya, kerajaan sepatutnya tidak membuat keputusan sedemikian tetapi menyerahkan kepada mana-mana mahkamah yang berkenaan untuk proses rayuan memandangkan perkara itu telah dibawa ke mahkamah oleh pihak penerbitan Herald The Catholic Weekly.

Kerajaan perlu menanggung risiko kesan daripada keputusan itu iaitu sama ada rakyat bertolak ansur seperti mana yang dilakukan kerajaan atau tidak akan menyokong kerajaan yang ada pada masa akan datang, katanya ketika mengulas laporan akhbar berhubung penggunaan perkataan "Allah" bukan lagi satu larangan seperti yang terkandung dalam warta baru yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri awal tahun ini.

Perintah tersebut berbunyi: "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan 'Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'Solat' adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan "Khusus Untuk Penganut Agama Kristian".

"Pada saya, kerajaan telah melakukan satu kesilapan dan yakin umat Islam di negara ini tidak akan menerimanya kerana pengertian Allah itu adalah berdasarkan kepada tauhid yang berbeza antara Islam dan Kristian dan ini boleh mencetuskan golongan Islam yang ekstrim," kata Nakhaie kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Halal di Dewan Milenium di sini hari iniMohd Nakhaie, yang juga pengerusi Majlis Amal Islamiah Malaysia berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan kebenaran itu juga dilihat tidak menyokong usaha memelihara Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Menteri Kewangan tak tahu adakah Malaysia boleh elak kemelesetan

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop "benar-benar tak tahu" adakah Malaysia boleh mengelak kemelesetan ekonomi dunia sekarang.

Apabila ditanya sama ada Malaysia boleh mengelak kemelesetan, Bernama memetik beliau berkata, "saya benar-benar tak tahu kerana terdapat terlalu banyak keadaan tidak menentu sekarang. Enam bulan lalu, kita tidak menjangka dunia akan berada dalam situasi berlarutan seperti sekarang dan kita tidak tahu daripada sekarang, bagaimana keadaan dunia di masa depan."

Menurut beliau, terdapat keadaan tidak menentu yang ketara yang kita harus akui dari segi senario luar terutamanya dari segi sedalam mana, sejauhmana dan selama mana kegawatan ekonomi antarabangsa akan berlaku.

November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan yakin bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal tahun ini.

Sebelum itu, beliau berkata Malaysia tidak berada di dalam keadaan krisis kewangan dan tidak sepatutnya diperkatakan berada di dalam keadaan sedemikian.

Bagaimanapun, kenyataan Najib itu bertentangan dengan laporan Jabatan Perangkaan yang menunjukkan Malaysia tidak dilindungi dalam suku keempat tahun lalu kerana pertumbuhan ekonomi yang perlahan di semua pasaran utama.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang hanya 0.1 peratus sahaja pada suku keempat 2008 daripada 4.7 peratus pada suku ketiga, yang jelas mencerminkan kesan limpahan keadaan ekonomi global yang kian buruk.

Pengurangan aktiviti pelaburan mendorong kepada pertumbuhan negatif pembentukan modal tetap kasar (-10.2 peratus; suku3: 3.1 peratus) di dalam suku keempat.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan ekonomi yang perlahan dijangka mengekang tekanan bekalan dan permintaan ketara di dalam peningkatan harga domestik.

Trend itu disahkan oleh perangkaan bagi bulan Januari 2009 di mana inflasi berada pada paras 3.9 peratus, kata BNM. - mks._

'Agen Najib tawar RM20 juta untuk lompat'

Johari Jaffar


IPOH - Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh telah mendakwa ditawarkan RM20 juta oleh 'agen-agen' Dato'Seri Najib Tun Razak dengan menggunakan nama Jabatan Perdana Menteri.

Beliau mendakwa setiap hari dihubungi oleh agen Najib dan bertanya berapa bayaran yang beliau mahu sekiranya ia tidak terima RM20 juta itu.

Tawaran itu katanya dibuat sebelum Tahun Baru Cina dan mendakwa sekiranya bersetuju beliau dijanjikan dengan jawatan tertentu.

"Pada mulanya beliau tidak percaya dengan tawaran itu tetapi setiap hari dihubungi barulah saya dapati ada satu usaha untuk saya bersetuju melompat ke BN,"katanya.

Menurut beliau, tawaran ini semakin aggresif mendapati 'agen-agen' menggunakan jiran, kawan dan saudara beliau untuk mempengaruhinya.

"Semua kenalan saya memujuk saya agar menerima tawaran itu tetapi saya tidak buat apa apa keputusan, sebaliknya saya rujuk ke pada Dato' seri Ir Mohamad Nizar," katanya.

Beliau percaya tawaran tersebut daripada agen-agen Najib yang cuba menjatuhkan Pakatan, dan apabila berlakunya krisis politik di negeri ini yang melibatkan tiga Adun melompat parti, beliau rasa bertanggungjawab untuk melaporkan kepada SPRM.

Tindakan ini katanya diambil kerana ia membabitkan masa depan keluarga, anak-anak dan masyarakat.

Beliau turut ditawarkan dengan jawatan dan aset-aset tertentu antaranya seperti rumah ,kereta dan sejumlah wang.

Apabila ditanya oleh wartawan berapa kali agen-agen tersebut menghubunginya, beliau memberitahu secara purata setiap hari dan tawaran pertama ialah RM 10 juta .

"Saya percaya pendekatan yang sama juga ditawarkan kepada Adun Jelapang, Hee Yit, jika bersetuju dengan tawaran itu , saya jadi adun bebas. saya tidak akan setuju dan buat perkara macam itu."

Selanjutnya beliau memberitahu sekiranya tawaran itu diterima , wang tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan bank di luar Negara dengan membawa beliau serta keluarga ke luar negara dengan menaiki "private jet " manakala semua urusan pemergian ke sana tidak akan dicatit atau didokumenkan sama ada masuk atau keluar negara, katanya

Apabila ditanya oleh pemberita adakah beliau akan umumkan nama-nama mereka, Keshinder memberitahu akan beritahu pada masa sesuai.

Apabila didesak oleh pemberita siapakah agen tersebut, beliau memberitahu antaranya wartawan bebas dan beliau difahamkan wartawan itu ada kepentingan dalam konsisi balak.

"Beberapa kali orang itu (agen) kata tawaran tersebut datangya dari Dato' Najib yang akan menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi. Sekiranya beliau bersetuju agen tersebut akan membawanya bertemu dengan Najib.

"Saya beri amaran kepada kumpulan ini jangan memaksa saya, atau saya akan buat laporan."katanya

Pendedahan itu dibuat Keshinder Singh di luar pejabat SPRM Negeri Perak, serentak dengan itu beliau membuat laporan tersebut bersama Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamsari dengan ditemani tujuh Adun pakatan pembangkang yang lain iaitu Ramli Tusin (Semanggol); A. Sivasubramaniam (Buntong); Chan Ming Kai (Simpang Pulai); Chang Lih Kang (Teja); Sum Cheok Leng (Bercham); Leong Mee Meng (Jalong) dan Khalil Idham Lim Abdullah (Titi Serong).- azm _

Ketua paderi mahu bincang dengan pejabat AG

MALAYSIA KINI


Peguam yang mewakili pemohon, Ketua Paderi Datuk Murphy Pakiam memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa mereka akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara berhubung penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Sebelum itu, mahkamah hari ini diberitahu bahawa penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan berkaitan agama Kristian tidak lagi dilarang seperti terkandung dalam warta baru yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri awal tahun ini.

Berikutan perkembangan itu, peguam Porres P Royan memaklumkan kepada Hakim Lau Bee Lan bahawa mereka akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara berhubung implikasi perintah itu, lapor Bernama.

"Jika, selepas perbincangan kami berasa selesa, dengan itu jelas perkara ini mungkin tidak perlu diteruskan dan didengar. Kami akan maklumkan kepada mahkamah jika kami mencapai penyelesaian.

"Masih terlalu awal untuk kami membuat keputusan," katanya sambil memohon kepada mahkamah untuk memberikan masa dua hingga tiga bulan bagi kedua-dua pihak sebelum menetapkan tarikh perbicaraan bagi permohonan semakan penghakiman itu," katanya.

Pada 5 Mei tahun lalu, Datuk Murphy, selaku penerbit The Herald, menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam usahanya bagi diisytiharkan keputusan responden bertarikh 12 Februari 2008, melarangnya menggunakan perkataan "Allah" dalam "Herald-The Catholic Weekly" adalah melanggar undang-undang.

Beliau juga memohon perisytiharan yang beliau berhak menggunakan perkataan "Allah" dan perkataan "Allah" bukan eksklusif untuk agama Islam.

Sebelum itu, Peguam Kanan Persekutuan Nizam Zakaria, yang mewakili Pejabat Peguam Negara, memaklumkan kepada mahkamah bahawa Menteri Dalam Negeri, selaku responden pertama dalam prosiding semakan kehakiman itu yang difailkan oleh Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, telah mewartakan perintah bertarikh 21 Januari 2009, bertajuk ‘Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009'.

Warta itu menyebut "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apa-apa dokumen dan penerbitan yang berhubung dengan agama Kristian yang mengandungi perkataan "Allah", "Kaabah", "Baitullah" dan "Solat" adalah dilarang melainkan jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN".

Perintah itu diwartakan pada 16 Feb, 2009 dan berkuatkuasa pada tarikh itu.

Terdahulu, Porres memberitahu mahkamah yang beliau akan tetap meneruskan permohonan untuk mengenepikan perintah campur tangan yang dipohon pada 21 November tahun lalu oleh tujuh majlis agama Islam negeri - Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka - dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MCMA) untuk campur tangan dan dinamakan sebagai responden dalam prosiding semakan penghakiman itu.

Mahkamah menetapkan 28 Mei untuk mendengar permohonan itu bersama-sama dengan permohonan Majlis Gurdwaras Malaysia untuk turut campur tangan.

Mahkamah juga menetapkan 7 Jun untuk mendengar permohonan tujuh majlis agama Islam negeri dan MCMA, untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan mengenai persoalan perlembagaan.

Usaha terbaru cabar presiden MCA?

Kuek Ser Kuang Keng


Hubungan tegang antara Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dengan Timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sekali lagi menarik perhatian umum - kali ini mengenai spekulasi bahawa Chua merancang untuk menghidup semula Team A dalam parti itu.

Desas-desus mengenai usaha Chua menghidupkan semula Team A yang diterajui oleh bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik sewaktu parti itu dilanda krisis pada 2000, dilihat sebagai langkah pertama dalam usaha menyingkirkan Tee Keat daripada jawatan presiden parti.

Untuk menjayakan rancangannya itu, mereka dikatakan sedang menunggu Tee Keat melakukan satu kesilapan serius, dan kemudian mendesak mesyuarat luar biasa (EGM) diadakan bagi menyingkirkan beliau.

Ketika pertembungan berlaku antara Team A dan Team B dahulu, Chua, Datuk Donald Lim dan Datuk Ong Ka Chuan menyokong Team A. Gabungan mereka berakhir Oktober lalu apabila ketiga-tiganya bertanding sesama sendiri bagi merebut jawatan timbalan presiden yang dimenangi oleh Chua.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk menghidupkan semula Team A. Menurut sumber-sumber kumpulan pro-Chua, Lim dan Ka Chuan tidak bersetuju untuk bersama Chua menentang Tee Keat.

Dalam pemilihan parti Oktober lalu, Lim kalah teruk apabila hanya mendapat 10 peratus daripada keseluruhan undi. Ini menimbulkan persoalan mengenai tahap sokongan ahli umbi terhadapnya.

Satu-satunya jalan bagi Lim bagi mendapat sokongan semula ialah dengan berjuang bersama-sama dengan Chua.

Tidak banyak pilihan

"Lim tidak mempunyai banyak pilihan, kerana adalah jelas bahawa Tee Keat hanya menggunakannya," kata sumber-sumber kumpulan pro-Chua.

Berbanding dengan Lim, Ka Chuan pula mempunyai lebih banyak pilihan kerana beliau memegang jawatan menteri, dan ini memberinya satu sebab kepada beliau untuk tidak menyokong Chua sekarang. Tentunya beliau mahu mengekalkan jawatan menteri.

Satu lagi sumber MCA memberitahu Malaysiakini bahawa kemungkinan Chua dan Ka Chuan bekerjasama, akan bergantung kepada sama ada Chua dapat memaafkan bekas presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting - adik Ka Chuan - yang dipersalahkan oleh penyokong Chua terhadap penyebaran skandal video seks.

"Jika Chua mahu bekerjasama dengan Ong bersaudara, maka beliau harus melupakan isu tersebut - sesuatu yang bukan mudah untuk dilakukannya," kata sumber itu lagi.

Banyak akhbar harian Cina melaporkan bahawa kumpulan yang "Anti-Ong Tee Keat" telah mula mengumpul tandatangan perwakilan sebagai persediaan untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada presiden parti. Fokusnya ialah bilakah masa terbaik untuk mengadakan EGM itu.

Menurut sumber tersebut, cabaran terbesar bagi pasukan "Anti-Ong" ialah mereka tidak ada sebab untuk mengadakan EGM kerana Tee Keat belum melakukan sebarang kesilapan besar.

Dan pendirian presiden MCA itu untuk tidak menyokong timbalannya berhubung skandal video seks itu juga bukanlah satu sebab untuk berbuat demikian, katanya.

'Tunggu Ong buat silap besar'

"Satu-satunya perkara yang mereka boleh buat sekarang ialah menunggu Tee Keat melakukan kesilapan yang 'serius' dan menggunakannya sebagai satu alasan untuk mengadakan EGM," kata sumber itu.

Seterusnya, sumber itu berkata, tumpuan sekarang ialah menunggu selepas Timbalan Perdan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan perdana menteri April depan dan rombakan kabinet selepas itu.

Jika Tee Keat tidak melantik Chua atau pemimpin MCA dari kalangan ahli Parlimen sebagai menteri, maka kumpulan 'Anti-Ong' boleh mengadakan EGM atas alasan Tee Keat tidak menghormati keputusan perwakilan.

Kumpulan pro-Chua juga mengesahkan bahawa tindakan 'Anti-Ong' akan ditentukan oleh rombakan kabinet nanti. Beliau juga menyatakan bahawa mereka sudah mula mengumpul tandatangan perwakilan.

"Kita akan selesai berbuat demikian sebelum rombakan kabinet," tambahnya.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi aliran. Sumber-sumber dalaman MCA berkata, ugutan kumpulan pro-Chua untuk mengadakan EGM itu bertujuan untuk menekan Tee Keat supaya melantik Chua ke jawatan menteri.

Tee Keat juga sedar bahawa bukan mudah bagi penentangnya untuk mendesak EGM diadakan, kerana kesemua jawatan penting parti dipegang oleh orang kuatnya dan oleh itu, tidaklah sukar untuk menolak desakan tersebut.

Mahu DBKL komited bangunkan Kampung Baru, tidak abai penduduk

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali mengharapkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam seminar pembangunan Kampung Baru dan kampung-kampung tradisional di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian sewaktu membawa usul menjunjung kasih titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Jelasnya, cadangan untuk mengadakan seminar tersebut kerana tidak ada satu pelan ataupun satu perancangan yang jelas, bagaimanakah bentuk pembangunan ke atas Kampung Baru dan juga kampung-kampung tradisional Melayu di sekitar Kuala Lumpur sebagaimana yang dinyatakan dalam Draf Kuala Lumpur 2020.

"Secara umumnya penduduk Kuala Lumpur terutama pemilik-pemiliktanah dan aset di Kuala Lumpur tidak menolak pembangunan. Bagaimanapun mereka mahukan pembangunan yang tidak meminggirkan mereka.

"Mereka mahu memastikan agar pemilikan mereka akan kekal dan juga mereka mahu pastikan bahawa mereka terus tinggal di Kuala Lumpur setelah berpuluh-puluh tahun mendiaminya. Juga mereka mahukan pembangunan fizikal yang akan dijalankan di Kuala Lumpur,"katanya.

Jelas Lo'lo' lagi, untuk menjadi 'world class city' mestilah seiring dengan pembangunan kemanusiaan atau pembangunan insan itu sendiri.

"Seminar ini saya kira akan diisi oleh pakar-pakar dan juga mereka yang mempunyai 'interest' yang tinggi untuk memastikan pengekalan Kampung Baru dan juga kampung tradisional sebagai landmark ataupun mercu tanda di Kuala Lumpur ini.

"Tujuan seminar ini adalah untuk mencari penyelesaian kepada banyak persoalan-persoalan yang timbul seperti yang saya katakan tadi. Umpamanya semasa pembangunan kampung-kampung ini di manakah penduduk-penduduk ini akan ditempatkan?

"Bagaimanakah mata pencarian mereka yang mungkin terjejas dengan pemindahan sementara mereka.Jadi saya mengharapkan agar DBKL akan memberi kerjasama sepenuhnya,"katanya yang mengalu-alukan agar seminar tersebut dapat dijalankan atas anjuran bersama dengan DBKL. - azm _

Lulus cabutan judi, dedah tembelang sebenar Najib - Dr Hatta Ramli

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Tindakan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak meluluskan 10 'special draw' judi sebaik sahaja menerajui Kementerian Kewangan menampakan 'tembelang' sebenar bakal Presiden Umno itu.

Demikian kata Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli semasa mengulas jawapan bertulis Kementerian Kewangan mengenai kelulusan 10 cabutan 'special draw' kepada ahli parlimen Rasah, Loke Siew Fook baru-baru ini.

"Jawapan bertulis yang diberai kepada Loke terdapat 10 kali 'special draw' (cabutan khas) yang dibuat selepas Najib menerajui Kementerian Kewangan,

"Dengan cabutan itu kerajaan mendapat hasil cukai itu sebanyak RM77,026,171.04. dan dalam jawapan kementerian itu bahawa cabutan bertujuan untuk dana pendidikan, kesihatan dan sebagainya, "dakwa Hatta.

PAS khuatir tindakan ini sekali lagi menggambarkan bahawa Umno/BN mentadbir negara dengan hasil wang judi, katanya.

Malah paling dikesali, dalam keadaan ketiadaan wang kerajaan Umno/BN begitu mudah menggunakan industri judi untuk mendapatkan sumber kewangan, ujarnya.

"Ini juga menunjukkan kerajaan sebenarnya menggalakkan orang ramai berjudi, sedangkan judi akan mengundang kepada masalah sosial dan sebagainya," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Paling membimbangkan, dalam keadaan ekonomi gawat, tabiat judi ini digalakan dengan kelulusan 'special draw' akan hanya memusnahkan lagi ekonomi dan kantung rakyat, kata Hatta.

Sementara itu Loke mendedahkan Kementerian Kewangan telah meluluskan 10 cabutan 'special draw' (cabutan khas) pada tahun 2008.

Katanya jumlah kutipan cukai yang diperolehi daripada cabutan khas tersebut adalah sebanyak RM77,026,171.04.

Kerajaan membenarkan cabutan khas diadakan berdasarkan kepada keperluan semasa yang bertujuan untuk membiayai pelbagai program dan projek pembangunan yang berbentuk sukan, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kemasyarakatan, dedahnya.- azm _

BN Perak persoal Speaker panggil sidang DUN

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Perak hari ini mempersoalkan sama ada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak , V. Sivakumar telah memperoleh perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk mengadakan sidang tergempar DUN 3 Mac ini.

Petang tadi, Sivakumar berkata beliau akan memanggil satu sidang tergempar DUN pada 3 Mac ini bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Semua ADUN akan menghadiri sidang tersebut kecuali Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, enam Exco yang baru dilantik dan tiga ADUN Bebas.

Enam exco berkenaan ialah Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

Sementara itu, tiga ADUN Bebas adalah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang).

Dalam reaksi segera daripada para Exco, Ramly yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri berkata, ramai ADUN BN yang tidak digantung juga masih belum memperoleh notis tersebut.

"Setakat ini, saya masih belum terima apa-apa notis tentang sidang DUN itu. Jika terima notis itu sekali pun saya tidak boleh buat keputusan untuk hadir atau tidak.

"Kita akan buat keputusan bersama, setelah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Dr Zambry," katanya kepada mStar Online hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Jelas Ramly, tindakan Speaker hari ini adalah bertentangan dengan undang-undang kerana Speaker sepatutnya perlu memberi notis selama 14 hari kepada ADUN sebelum memanggil sidang DUN.

Sementara itu, Dr Mah menyifatkan tindakan Sivakumar itu telah melanggar titah Sultan Perak.

"Dia (Sivakumar) ini macam tidak tahu undang-undang dan membuat keputusan tanpa rujuk kepada Sultan. Mana boleh adakan sidang DUN tanpa dapat perkenan Sultan?

"Oleh itu, keputusan yang Speaker buat pada hari ini adalah tidak sah. Kita kena bertindak ikut undang-undang dan mengenepikan sentimen politik dalam hal perlembagaan," ujarnya.

Beliau turut mengesahkan belum menerima sebarang notis berhubung sidang DUN terbabit.

Bekas teman lelaki Elizabeth sudah pulang?

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Polis hari ini menolak desas-desus yang mengatakan bekas teman lelaki Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong yang dikenali sebagai Hilmi kini berada di Malaysia.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, sehingga kini, pihak polis belum mendapat sebarang maklumat yang lelaki itu telah memasuki negara.

"Polis percaya, dia (Hilmi) masih lagi di Indonesia," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak sebelum ini yang mengatakan Hilmi kini berada di Malaysia dan memasuki negara secara senyap-senyap.

Polis sebelum ini mengesahkan Hilmi, 32, merupakan satu-satunya saksi yang dicari bagi membantu siasatan kes gambar separuh bogel Elizabeth.

Hilmi sebelum ini pernah menjadi pegawai khas kepada salah seorang wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama sembilan bulan.

Menurut Muhammad Sabtu, buat masa ini, polis tidak berhasrat memanggil ahli keluarga Hilmi untuk memberi keterangan kerana mereka tidak terlibat.

"Tetapi kalau keadaan memaksa dan sekiranya difikirkan perlu, kita akan panggil mereka," katanya.

Tambahnya, polis belum meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Hilmi.

Setakat ini, seramai 14 orang termasuk wartawan telah dipanggil memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Jumaat, 27 Februari 2009

Sidang tergempar DUN kusutkan lagi krisis Perak

MALAYSIA KINI
(dikemaskini)


Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar telah memanggil sidang tergempar dewan itu pada Selasa depan untuk membahaskan dua usul yang kelihatan boleh mengusutkan lagi krisis politik negeri tersebut.

Beliau menggunakan kuasanya bawah peraturan tetap 8 dan 11 DUN itu untuk membahaskan isu-isu utama yang menjadi ketegangan pokok antara Pakatan Rakyat dan BN sejak awal bulan ini.

Usul pertama, mengesahkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah sebelum ditumbangkan dalam rampasan kuasa BN.

Kedua, membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya peringkat negeri diadakan seperti hasrat Pakatan Rakyat sebelum ini.

Krisis politik di negeri itu tercetus susulan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat meninggalkan kerajaan campuran itu dan menyatakan sokongan kepada BN.

Speaker membenarkan kesemua Adun hadir di persidangan khas itu kecuali mereka yang telah digantung, iaitu menteri besar kerajaan BN sekarang Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya.

Tiga wakil rakyat bebas - yang dianggap telah mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat peletakan jawatan mereka - juga dilarang menyertai sidang tersebut.

Jika larangan itu dipatuhi, barisan wakil rakyat BN akan tinggal 21 orang, sementara Pakatan Rakyat 27 orang, tidak termasuk Sivakumar.

Sidang tergempar DUN ini akan mencetuskan satu lagi babak tegang dan tidak menentu perebutan kuasa antara BN dan Pakatan.

Rakaman dakwaan Zaki 'rasuah' diserah pada Agong

MALAYSIA KINI


Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pita rakaman ucapan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi yang didakwanya mengaku merasuah kakitangan mahkamah.

Karpal menyerahkan pita tersebut kepada seorang kakitangan Istana Negara pada jam 4.45 petang tadi.

Katanya, dengan bukti tersebut, Seri Paduka harus mengadakan persidangan khas Majlis Raja-Raja untuk memecat Zaki.

Pita tersebut mengandungi rakaman ucapan Zaki di sebuah konvensyen di Kuching November lalu mengenai 'Integriti, pemangkin Pembangunan Mapan'.

Rakaman tersebut, yang berkualiti rendah, dikatakan mengandungi bahagian ucapan di mana Zaki bercakap mengenai merasuah kakitangan mahkamah sewaktu beliau berkhidmat sebagai peguam.

Sejak dilantik sebagai mengetuai badan kehakiman, Zaki menjadi sasaran berterusan ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, yang mendakwa beliau tidak layak menjadi ketua hakim negara ekoran pengakuan terbukanya terbabit dalam amalan rasuah ketika menjadi peguam.

Zaki, bagaimanapun, telah menperjelaskan perkara itu, mendakwa pihak media telah menyalah tafsir komennya di Kuching itu.

Foto bogel: Hilmi saksi, bukan suspek

MALAYSIA KINI


Polis akan memanggil bekas kekasih Elizabeth Wong sebagai "saksi" dan "bukan suspek" kes penyebaran foto bogel exco kerajaan Selangor itu, kata ketua polis Kuala Lumpur.

Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata setakat pengetahuan polis, lelaki itu Hilmi Malek sekarang berada di Jakarta.

Tambahnya, maklumat yang diterima oleh polis bahawa Hilmi berada di Kuala Lumpur tidak dapat disahkan.

Setakat ini polis telah mengambil keterangan 14 orang berhubung kes foto Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan itu, katanya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu-individu terbabit atau latar belakang mereka.

Muhammad Sabtu juga enggan mengulas sama ada polis akan meminta bantuan agensi polis antarabangsa Interpol untuk menjejak Hilmi.

Gelombang Pertama Terengganu Melanda Bukit Gantang

Wartawan Buletin


Bukit Gantang – Gelombang pertama pasukan petugas PAS negeri Terengganu yang akan bertugas pada pilihanraya kecil parlimen P.095 Bukit Gantang sedang melanda kawasan pilihanraya tersebut.

Pasukan gelombang tersebut yang terdiri dari Yang DiPertua, Timbalan Yang DiPertua dan Setiausaha PAS kawasan-kawasan sedang bergerak dari negeri negeri Terengganu menuju ke kawasan peti-peti undi dimana mereka ditugaskan kelak.

Selain pasukan JPN negeri Terengganu yang telah pun mengadakan penyelarasan awal pada minggu lalu, pasukan petugas dari Kemaman merupakan kumpulan pertama yang tiba disini semalam.

Buletinonline yang turut bersama dengan kumpulan tersebut sampai di peti undi Pengkalan Aor sekitar jam 9.00 malam.

Pasukan Kemaman yang diketuai oleh Hj Hanafiah Ramly@Mat berkata beliau dan pasukannya telah pun bermesyuarat dan menyelaraskan beberapa perkara penting seperti kemudahan lojistik, penginapan, bekalan dan rancangan gerakkerja kempen dengan pihak peti undi.

“Sebanyak tiga buah rumah disediakan untuk penginapan para petugas muslimat dan dua buah untuk muslimin, selain beberapa buah surau yang telah dikenalpasti untuk transit serta perbekalan,

“lima belas agenda program gerakkerja kempen telah dirangka yang turut melibatkan program makan besar di sebuah estet getah yang melibatkan 400 pengundi bukan Islam,”katanya kepada Buletinonline.

Menurutnya, penyelarasan penempatan untuk pasukan Kuala Terengganu yang akan ditempatkan bersama-sama Kemaman di Pengkalan Aor juga hampir selesai.

Pengerusi UPU Pengkalan Aor, Ismail Kamarudin , menzahirkan rasa gembira dan berbesar hati menerima kedatangan para petugas dari luar.

Beliau berkata selain negeri Terengganu, para petugas dari negeri Johor dan DUN Sungai Rengas Perak akan bersama-sama para petugas tempatan untuk memastikan DUN Changkat Jering dan Parlimen Bukit Gantang kekal di tangan Pakatan Rakyat.

“Mula-mula saya rasa terkedu apabila menerima berita Parlimen Bukit Gantang yang kosong kerana Ustaz Ruslan meninggal dunia,

“kemudian, UPU kami di sini baru sahaja dibentuk akibat pecahan sempadan yang berlaku pada tahun 2008, dari 3 cawangan kini hanya tinggal 1 cawangan,

“tapi apabila, sahabat-sahabt dari luar yang menefon dan datang untuk membantu, kami disini terus bangkit dan bersemangat,”ujarnya.

Beliau berkata UPU Pengkalan Aor menang dengan majoriti 170 undi pada pilihanraya umum ke 12, Mac 2008, dimana terdapat pertambah seramai 205 pengundi menjadi 3301 orang dari jumlah sebelumnya 3106 orang.

Katanya undi bukan Melayu akan jadi penentu bagi UPU Pengkalan Aor yang terdiri dari Melayu sebanyak 51.17%, Cina 33.99% dan pengundi India sebanyak 14.81%.

Hishammuddin, Khairy mesti buktikan mereka tidak tahu rancangan serang Karpal

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Ketua dan Naib Ketua Pemuda Umno bertanggungjawab membuktikan kepada rakyat bahawa mereka tidak tahu-menahu tentang rancangan ahli mereka bertindak ala-mafia dan menyerang Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut perkara itu dibuktikan kepada rakyat kerana semua pihak tahu bahawa ahli-ahli Umno biasanya tidak akan berani melakukan apa-apa tindakan yang dilihat mewakili parti itu tanpa kebenaran ketua mereka.

"Isunya sekarang bukan sahaja Pemuda Umno bertindak ala-gangster mafia menyerang seorang Ahli Parlimen di dalam bangunan Parlimen, malah ia sekaligus merupakan serangan beramai-ramai ke atas seorang warga emas berumur 69 tahun yang kurang upaya.

"Sukar untuk dipercayai oleh rakyat bahawa tindakan menyerang seorang Ahli Parlimen di dalam bangunan Parlimen boleh dilakukan oleh Pemuda Umno jika tidak diizinkan oleh ketua mereka.

"Sebab itulah Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naibnya Khairy Jamaluddin bertanggungjawab membuktikan kepada rakyat bahawa mereka benar-benar tidak tahu mengenai rancangan ahli-ahli mereka untuk bertindak ala-gangster mafia di dalam bangunan Parlimen," tegas beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mengecam tindakan Pemuda Umno meneruskan budaya gangster dan mafia dalam politik negara ini.

"Kita tidak pernah melupakan dan tidak pernah memaafkan tindakan Pemuda Umno yang ketika itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang membakar emosi para penyokong parti itu sehingga bertindak ganas dan kejam dalam pilihan raya kecil Padang Terap yang mengakibatkan terbunuhnya Asy-Syahid Osman Talib.

"Rakyat negara ini tidak bacul untuk melihat begitu sahaja Pemuda Umno mengulangi apa yang dilakukan di Lubok Merbau itu diulang di tempat yang tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen negara ini iaitu di dalam bangunan Parlimen," tegas beliau.

Dalam tragedi ngeri ketika berlangsungnya pilihan raya kecil Parlimen Padang Terap pada tahun 1985 itu, lebih 200 ahli Umno bersenjata parang, botol pecah, batu-bata telah menyerang, menetak, memukul dan menghentak petugas PAS di Felda Lubuk Merbau.

Keganasan itu mengakibatkan Osman gugur syahid, tujuh petugas PAS cedera parah dan berpuluh yang lain cedera ringan. Kejadian berlaku sehari sebelum hari pembuangan undi pada 19 Januari tahun tersebut.

Sebaik sahaja selepas kejadian itu, tempat tersebut dikawal ketat oleh pihak polis.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Pemuda Umno beramai-ramai menyerang orang kurang upaya berumur 69 tahun di bangunan Parlimen itu, Mahfuz menyifatkan tindakan tersebut berpunca dari kekecewaan akibat kehilangan kuasa dan peluang mencipta kekayaan setelah pemerintahan beberapa negeri terlepas dari tangan parti itu.

"Mustahil Pemuda Umno tidak tahu mereka boleh mengambil tindakan undang-undang kepada Karpal yang mengaitkan dua peluru yang diterimanya dengan mereka malah menyifatkan mereka sebagai celaka walaupun ditarik balik setelah diarahkan oleh (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Haji) Wan Junaidi (Tuanku Jaafar).

"Tetapi mereka sengaja bertindak ala ganster mafia mungkin kerana sudah tidak tahan lagi begitu tertekan dan kecewa akibat kehilangan kuasa dan peluang mencipta kekayaan setelah pemerintahan beberapa negeri terlepas dari tangan parti mereka.

"Tanyalah para pemimpin Umno lebih-lebih lagi di peringkat Pemuda di semua peringkat, berapa projek yang mereka ada sekarang? Mereka miskin projek sekarang dan merasa amat marah ketika kerajaan pusat kelihatan sudah tidak mampu lagi mewujudkan lebih banyak projek seperti projek kelas F yang khabarnya digunakan untuk menternak kroni-kroni," katanya.

Luahan kemarahan itu, kata Mahfuz, sudah jenuh digambarkan oleh ahli-ahli Umno termasuk tunjuk perasaan menentang tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuah politik di dalam parti mereka.

Dalam tunjuk perasaan di pekarangan Menara Dato Onn di mana terletaknya ibu pejabat Umno itu, ahli-ahli Umno yang marah kepada tindakan SPRM itu membawa sepanduk tertera mesej "Jangan ambil hak ahli Umno", "Kami menolak SPRM, boleh blah" dan "Lembaga disiplin sudah nyanyuk".

Mahfuz berharap para pemimpin Umno bertindak segera membendung kemarahan ahli-ahli mereka.

"Jika tidak, kita bimbang lebih banyak pihak akan diserang ala-gangster mafia oleh Pemuda Umno," katanya._

Kerajaan perlu ambil alih konsesi tol, jangan biar rakyat melarat!

WAN NORDIN WAN YAACOB


KUALA LUMPUR - Kenaikan kadar tol yang akan berkuatkuasa 1 Mac di lima konsesi lebuhraya hanya akan menambah beban rakyat tatkala ekonomi negara semakin parah.

Penangguhan kenaikan bukanlah langkah terbaik kerana apapun kerajaan masih terpaksa membayar pampasan sekiranya penangguhan kenaikan dilakukan, kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Akhirnya wang rakyat juga yang terpaksa digunakan bagi membayar pampasan ini yang hanya akan terus memberi keuntungan kepada pemegang konsesi sahaja, katanya.

Walhal pemegang konsesi yang pastinya mendapat keuntungan kerana bilangan kadar penambahan kenderaan setiap tahun, katanya.

Langkah terbaik kata Mahfuz ialah kerajaan secara serius perlu mengambil alih konsesi dengan perbelanjaan yang pernah dianggarkan oleh beberapa NGO hanya pada kadar beberapa bilion sahaja, katanya.

"Langkah ini lebih penting berbanding kerajaan terus menerus menggunakan terma perjanjian dengan pemegang konsesi untuk menaikkan kadar tol dalam tempoh tertentu atau membayar pampasan jika tidak menaikkan kadar tersebut," katanya.

Hal ini penting difikirkan pimpinan kerajaan terutamanya kabinet yang sebelum ini membuat keputusan yang lansung tidak memikirkan keadaan unjuran ekonomi walhal mereka tahu akan senario tersebut, katanya.

"Akibatnya kini (jika naik kadar tol), rakyat yang sudah melarat kerana masalah ekonomi akan terus merempat dan terpaksa mengikat perut," katanya.

Sementara itu beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap berpura-pura pemimpin Umno/BN yang kononnya membantah kenaikan kadar tersebut Mac ini.

Walhal, pemimpin BN lah yang sebenarnya mempertahankan kepentingan pemegang konsesi yang pada hematnya adalah 'funder' kepada Umno/BN termasuk untuk rasuah dan politik wang, dakwanya.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar turut kecewa dengan sikap pemimpin BN yang hanya mengutamakan kepentingan syarikat konsesi tol sahaja.

Beliau yang ditemui baru-baru ini menyelar sikap kepimpinan BN yang tidak mahu menghalang kenaikan harga tol ini, sedangkan mereka sebenarnya tahu rakyat kini tersepit dalam kegawatan ekonomi.

"Di mata pemimpin BN rakyat seakan tidak ada erti, malah mereka hanya leka dengan soal politik sendiri terutama menjelang pemilihan Umno Mac ini," katanya.

Senada dengan pemimpin PAS itu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tidak munasabah kerajaan tersebut dalam kegawatan ekonomi.

Beliau sendiri akan berbincang dengan pimpinan Pakatan Rakyat samada akan membawa usul atau membahaskan isu kenaikan harga tol itu di Parlimen.

Setelah lebih setahun ditangguhkan ,Menteri Kerjaraya Dato' Nohamad Zin Mohamad Khamis umum kenaikan kadar tol di lima lebuhraya.

Ia akan bekuatkuasa 1 Mac di lima lebuhraya antaranya Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kl Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Bestraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

Sementara itu dalam satu jawapan bertulis Kementerian Kerja Raya menyatakan, jumlah kutipan tol yang telah dikutip oleh Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dari tahun 2004 hingga 2007 adalah sebanyak RM6.68 billion.

Walaubagaimanapun jumlah kutipan hasil tol bagi tahun 2008 masih belum disahkan oleh juruaudit bersama di antara Kerajaan dan syarikat konsesi.

Sepanjang tempoh tersebut, hanya pada tahun 2004 jumlah pendapatan yang direkodkan melebihi "threshold toll revenue" yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi PLUS. Untuk itu, kerajaan telah menerima perkongsian hasil tol sebanyak RM4.08 juta./wann _

Yang Dipertua Dewan Negara sifatkan penyerang Karpal tidak bertamadun

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh menyifatkan Pemuda Umno yang melakukan serangan ala-gangster ke atas Ahli Parlimen berkerusi roda dan berusia 69 tahun, Karpal Singh di dalam bangunan Parlimen semalam sebagai orang yang tidak bertamadun kerana menghalang anggota Parlimen daripada menjalankan tugas mereka, lapor mStar Online.

Beliau mengingatkan, Parlimen sepatutnya menjadi tempat yang bebas untuk membahaskan sebarang isu tanpa dihalang oleh mana-mana pihak.

Beliau menyifatkan kejadian itu berpunca dari "kebodohan kumpulan tertentu".

Beliau juga menyifatkan kumpulan tersebut sebagai manusia yang tidak memahami penguatkuasaan undang-undang dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Katanya, insiden semalam bukan hanya memalukan Parlimen malah seluruh rakyat Malaysia.

"Apa yang berlaku semalam adalah sesuatu yang tragis dan tidak patut berlaku di Parlimen tetapi disebabkan kebodohan kumpulan tertentu, sekatan terpaksa dikenakan terhadap sesiapa yang ingin memasuki kawasan Parlimen," katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi anggota Parlimen Eropah di Parlimen di sini, hari ini.

Petang semalam, suasana di bangunan Parlimen kecoh apabila sekumpulan Pemuda Umno berindak ala-gangster mafia mengepung ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh sambil meminta Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang tadi ketika Karpal masuk melalui pintu utama bangunan tersebut.

Kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno terbabit dan mereka dipercayai dari Selangor.

Bagaimanapun, Karpal kemudiannya menelefon ahli parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan yang kemudian tiba bersama beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat lain.

Ekoran itu berlaku kekecohan antara kumpulan penyokong Umno dengan wakil-wakil rakyat pembangkang di situ sebelum pengawal keselamatan tiba untuk meleraikan mereka.

Tiga ketua Pemuda Umno bahagian yang hadir telah bercakap dengan pemberita. Mereka ialah Ungku Salleh Ungku Jamal (ketua Pemuda Umno Serdang), Megat Zulkarnain Omar Din (ketua Pemuda Umno Gombak) dan Lat Sharizal Abdullah (ketua Pemuda Umno PJ Utara).

Sementara itu, ahli Parlimen DAP mengadu bahawa anggota keselamatan Parlimen tidak berbuat apa-apa untuk melindungi Karpal mereka tiba di situ.

Ahli Parlmen DAP, Lim Lip Eng juga mendakwa beliau telah dipukul oleh kumpulan anggota Pemuda Umno itu.

Menurutnya, beliau dipukul beberapa kali di muka dan bahagian badannya.

Lim juga mengadu bahawa pihak polis dan anggota keselamatan Parlimen tidak berbuat apa-apa untuk melindungi Karpal ketika kejadian walaupun beliau memanggil mereka untuk melindunginya dari serangan itu. _

Nizar serah kediaman rasmi, simpan Toyota Camry

MSTAR ONLINE


IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini secara rasminya menyerahkan kunci kediaman Menteri Besar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk terus menyimpan kereta rasmi Toyota Camry walaupun kerajaan negeri telah mengambil semula kesemua kereta 10 bekas Exconya.

Pegawai khas beliau, Amran Harun memberitahu media, Nizar akan menyimpan kereta tersebut sebagai tanda beliau tidak pernah mengalah dalam mempertahankan yang beliau masih Menteri Besar yang sah.

"AJS10 akan disimpan sebagai simbol sementara menunggu keputusan mahkamah.

"Jika mahkamah mendapati Nizar sebagai (Menteri Besar) tidak sah, baru kita akan memulangkan kereta itu," katanya di kediaman rasmi Menteri Besar di sini selepas menyerahkan kunci kediaman itu kepada Ketua Penolong kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Shamshuzaman Sulaiman.

Katanya, Nizar menggunakan Toyota Camry itu untuk menjelajah ke seluruh negeri sejak tiga minggu lalu bagi menerangkan apa yang sebenarnya berlaku apabila Barisan Nasional (BN) mengambil alih kuasa.

"Rakyat tidak mendapat laporan yang betul. Ada yang mengatakan Nizar telah melakukan penderhakaan (terhadap Sultan Perak) tetapi beliau ingin memberitahu bahawa ia bukan sedemikian," katanya.

Ahad lalu, Nizar dan tujuh ahli keluarganya telah mula berpindah daripada kediaman itu ke rumah persendirian yang tidak didedahkan.

Pakatan Rakyat kini sedang menunggu keputusan saman yang difailkan berhubung keputusan Nizar untuk mencabar kesahihan penggantinya, Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan meminta mahkamah untuk mengisytiharkan dirinya sebagai Menteri Besar yang sah.

Berbanding drama yang berlaku di Perak sejak beberapa minggu lalu, acara penyerahan kunci kediaman pada hari ini berlangsung tanpa sebarang kekecohan kira-kira pukul 11.25 pagi tadi.

Shamshuzaman berkata, kerajaan negeri telah mengambil semula 10 Toyota Camry dan lima lagi kereta di kediaman rasmi.

Katanya, kunci itu akan diserahkan kepada Dr Zambry pada bila-bila masa selepas Jabatan Kerja Raya melakukan pemeriksaan di premis tersebut.

Shamshuzaman juga meminta kerjasama Amran untuk mendapatkan semula Toyota Camry itu sambil menambah, surat berhubung hal itu telah pun dihantar kepada Nizar.

Ketika beliau bertanya Amran,"Bagaimana dengan AJS10?"

“AJS10, MB kata tunggu keputusan mahkamah!" jawab Amran.

Nizar memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu bagi mengisytiharkan pelantikan Dr Zambry selaku Menteri Besar Perak 6 Februari lalu sebagai tidak sah.

Kerajaan negeri Perak yang sebelum ini diterajui Pakatan Rakyat jatuh kepada BN selepas tiga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pakatan keluar daripada parti dan menjadi ADUN bebas tetapi menyokong BN.

Khalid: PNSB perlu serah faedah tidak diisytihar kepada LHDN

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Perbadanan Menteri Besar (MBI) semalam mengarahkan Permodalan Negeri Selangor (PNSB) supaya menyerahkan senarai lengkap faedah dan kemudahan yang diberikan kepada kalangan pada tahun-tahun sebelum ini keda Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, arahan tersebut dikeluarkan berikutan PNSB didapati tidak mengisi borang-borang EA bagi mengisytiharkan keuntungan beberapa tahun lalu kepada LHDN.

Khalid yang juga pengerusi MBI dan PNSB berkata, langkah tersebut dilakukan bagi memastikan anak syarikat Kerajaan Negeri tidak mengingkari undang-undang supaya membayar cukai pendapatan.

"Selama beberapa tahun PNSB ada memberikan faedah dan keuntungan kepada para pekerjanya termasuk Pengerusinya dan ahli-ahli Lembaga Pengarah dalam bentuk barangan atau wang tunai atau dua bentuk pemberian tersebut.

"Antaranya kereta dan pemandu di samping percutian di dalam dan luar negara.

"Selain itu, faedah melancong diberikan kepada semua kakitangan manakala kereta berpemandu diberikan hanya kepada Ketua Eksekutif dan Pengarah, di kalangan pengurus kanan dan di kalangan pengurus," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Khalid berkata, sekumpulan penasihat yang dilantik oleh MBI kini sedang melakukan penilaian terhadap prestasi PNSB.

Katanya, dalam proses tersebut, pengerusi PNSB sebelum ini iaitu Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dikatakan pernah diberikan kereta Toyota Harrier pada tahun 2005 dan disediakan seorang pemandu pada tahun 2006.

"Beliau menggunakan kesemua faedah sehingga bersara selaku Pengerusi PNSB pada Mac 2008.

"Bagaimanapun, tiada kemudahan ini yang dinyatakan dalam borang EA yang diserahkan oleh PNSB sebelum ini dan kita juga mendapati kemudahan petrol dan penyelenggaraan kereta Harrier semuanya ditanggung oleh PNSB," katanya.

Khalid berkata, beliau menyedari tentang keprihatinan di kalangan pekerja PNSB sendiri terhadap implikasi kewangan berikutan tindakan pengurusan perbadanan itu yang tidak mengisyhtiharkan pendapatan dalam borang EA.

"Saya meminta agar kakitangan PNSB supaya bersabar kerana mereka kini perlu menunggu tindakan LHDN untuk menaikkan tambahan cukai bagi individu yang berkaitan," katanya.

Polis cari wanita dalam DVD seks Dr Chua

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pihak polis ingin menyoal siasat wanita yang dirakam melakukan seks oral dengan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pilis sedang mencari wanita terbabit berikutan dua laporan yang dibuat di Ampang dan Petaling Jaya, baru-baru ini.

"Kita sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 377A kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan jasmani luar di luar tabii mengikut laporan yang mendakwa berlakunya seks oral dalam rakaman DVD itu.

"Kita harap dia akan tampil dan membantu siasatan supaya kita dapat selesaikan kes ini," katanya.

Dr Chua yang mengaku beliau merupakan individu yang dirakam dalam klip video seks itu telah meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan pada 2 Januari tahun lalu berikutan pendedahan dan penyebaran DVD tersebut.

Beliau bagaimanapun kembali semula ke arena politik dan berjaya menjawat jawatan Timbalan Presiden MCA.

Difahamkan wanita yang dirakam bersama beliau dalam dalam video tersebut kini barada di negara jiran dan polis kini sedang menyoal siasat saksi-saksi yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Musa berkata, selain Seksyen 377A, polis turut menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan pengedaran klip video itu.

Katanya, pihak polis ingin mengetahui pihak di sebalik pengedaran DVD yang mula timbul pada penghujung tahun 2007.

Pada 11 Februari lalu, seorang lelaki berusia 51 tahun dari Kelana Jaya menemui salinan DVD itu dalam sekeping sampul surat di dalam peti surat rumahnya.

Lelaki itu terkejut setelah mendapati kandungan perlakuan lucah dalam DVD tersebut dan membuat laporan di balai polis Kelana Jaya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat semalam melahirkan rasa kecewa kerana timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terus menerus menyalahkan beliau berhubung pembabitannya dalam skandal seks.

"Tahun lepas, dia menyalahkan bekas presiden (Datuk Seri Ong Ka Ting) dan sekarang dia menyalahkan saya," katanya.

Sebaliknya, Dr Chua juga terus menerus menafikan apabila skandal itu dibangkitkan dalam mesyuarat parti.

"Dia (Dr Chua) kata itu media punya kerja. Kalau tak buat, segala-galanya tidak akan timbul," katanya yang juga Menteri Pengangkutan kepada para pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru Cina kementeriannya di Putrajaya.

Ong berkata demikian ketika ditanya sama ada siasatan ke atas Dr Chua berhubung aksi seks itu bermotifkan politik.

Dr Chua, bekas menteri kesihatan, meletakkan semua jawatan politik apabila isu itu pertama kali timbul pada Januari tahun lepas dan sekarang dia disiasat polis kerana didakwa terbabit dalam seks oral selepas polis menerima salinan seks DVD itu.

Dr Chua kembali berpolitik selepas memenangi jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti itu Oktober tahun lepas.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Dr Chua sekarang, beliau berkata:

"Saya berpendapat ia bukan soal hubungan peribadi. Lagipun bila kita menguruskan parti, yang penting pasukan. Pasukan kita dan semangat berpasukan."

Ong percaya masalah itu tidak akan menimbulkan keretakan di dalam parti itu kerana beliau gembira dengan hubungan kerja bersama anggota pasukan yang lain.

Bagaimanapun, katanya, apabila anggota pasukan lain memberikan kerjasama yang baik kepada beliau, mereka akan dilabel sebagai "orang presiden" oleh sesetengah pihak dalam parti.

Tindakan samseng Pemuda Umno di Parlimen memalukan!

HermanSamsudeen


Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (Pemudawilayah) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan anggota pemuda Umno yang menyerang ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen semalam. Ini adalah tindakan anarki yang pertama dilaporkan berlaku dalam kawasan parlimen.

Dalam kejadian itu, ahli Parlimen Pakatan Wilayah Persekutuan dari Parlimen Segambut, YB Lim Lip Eng (DAP) turut dipukul dibahagian muka dan badan setelah cuba melindungi Pengerusi DAP YB Karpal Singh.

Serangan itu diketuai oleh tiga Ketua Pemuda Umno Bahagian iaitu, Ungku Salleh Ungku Jamal (ketua Pemuda Umno Serdang), Megat Zulkarnain Omar Din (ketua Pemuda Umno Gombak) danLat Sharizal Abdullah (ketua Pemuda Umno PJ Utara).

Kami memahami kekalutan dan tekanan yang dialami oleh pemuda Umno setelah Karpal membuat dakwaan di Parlimen bahawa 2 peluru beserta surat ugutan yang diterima beliau baru-baru ini adalah dari Pemuda Umno.

Tetapi itu bukanlah alasan untuk mereka tunjuk perangai samseng dengan memukul ahli Parlimen sesukahati, terutamanya dalam kawasan Parlimen.

Anggota Keselamatan Parlimen Tak Buat Kerja!

Pemudawilayah juga mempersoalkan sikap anggota keselamatan Parlimen yang membiarkan sahaja insiden itu berlaku dihadapan mata dan itu amat memalukan bagi institusi Parlimen dinegara ini. Sewajarnya hukuman tatatertib diambil ke atas mereka kerana gagal menjalankan tugas!

Seandainya perkara yang sama berlaku kepada ahli Parlimen BN, pastinya mereka akan bertindak lebih pantas, malangnya yang diserang itu adalah ahli Parlimen Pakatan yang mana sasaran utama mereka adalah Karpal yang juga seorang OKU yang lumpuh.

Samseng Pemuda Umno Ancam Keselamatan Negara

Tindakan bacul pemuda Umno itu wajar dilihat sebagai satu ancaman kepada kredibiliti sistem keselamatan negara.

Jika semalam mereka berani memukul ahli parlimen di dalam kawasan Parlimen tidak mustahil jika pada masa lain mereka boleh mengulanginya ditempat lain.

Mereka perlu dihukum!


Pemudawilayah mendesak agar pihak Polis mendakwa mereka kerana menyerang anggota Parlimen yang juga penjawat awam itu.

Pemudawilayah mendesak agar Lembaga Displin Umno mengambil tindakkan untuk mengajar ahli-ahli mereka yang biadap itu. Pemudawilayah menuntut agar Pemuda Umno menghormati undang-undang dan Perlembagaan.

Sebagai ahli politik muda seharusnya mereka memahami apa yang harus dilakukan. Pemuda Umno jangan berlagak samseng, gunakan kepala otak untuk bertindak!

Mereka sewajarnya membuat laporan Polis bagi menafikan tuduhan Karpal itu atau mendakwa Karpal jika tidak berpuashati. Menyerang ahli Parlimen di parlimen bukanlah budaya rakyat negara ini dan pemuda Umno sudah menunjukkan belang samseng mereka yang sebenarnya semalam . Sekali lagi kami tegaskan bahawa kejadian itu amat memalukan bagi negara ini!

Berita sekitar perbahasan Dewan Rakyat

SIASAH DAILY


PAS desak perkuatkan institusi parlimen

Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nasharudin Mat Isa mendesak pihak kerajaan melakukan sesuatu penambahbaikan terhadap institusi parlimen yang sewajarnya menjadi tumpuan rakyat untuk mengetahui isu semasa negara.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS menambah, apa yang berlaku sekarang ini parlimen tidak menjadi tempat rujuk oleh masyarakat dan rakyat yang baginya, keadaan ini amat mendukacitakan.

“Kita tidak mahu hanya keindahan fizikal sahaja dititik-beratkan sehingga dihias parlimen seperti hotel sedangkan keperluan untuk rakyat berminat untuk mengambil tahu diabaikan.

“Sedangkan parlimen adalah tempat yang sewajarnya berperanan besar seperti di negara-negara lain yang kemudahan kepada rakyat diutamakan,” katanya dalam ucapan menyokong usul menjunjung kasih.

Mahfuz ‘kilas’ ucapan Ahli Parlimen Kota Belud

Akibat tidak berhati-hati, celahan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berjaya dikilas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sehingga tidak mampu berbuat apa-apa.

Abdul Rahman ketika itu mencelah ucapan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Said berkata, dulu ketika PBS dijatuhkan di Sabah, Anwar Ibrahim yang ketika itu masih di dalam BN berperanan membeli wakil rakyat di sana.

Ismail menjawab, beliau bersetuju dengan apa yang disebutkan oleh Abdul Rahman bahawa Anwarlah yang mengajar mereka dalam isu membeli wakil-wakil rakyat untuk melompat parti.

Ketika inilah, Haji Mahfuz bangun dan meminta persetujuan mereka, “Adakah wakil rakyat dari Sabah bersetuju bahawa ketika itu BNlah yang melakukan kerja-kerja membeli wakil rakyat PBS?

“Mana ahli parlimen Sabah, adakah semua bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Abdul Rahman yang Umno BN membeli wakil-wakil rakyat itu yang kini di dalam BN yang boleh disifatkan sebagai barang dagangan?,” soal Mahfuz menjadikan dewan riuh-rendah.

Ketua Pemuda PAS bangkitkan isu Bahasa Melayu


Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat, Haji Salahudin Ayub membangkitkan lagi isu Bahasa Melayu yang semakin menipis peranannya dalam negara ini.

Katanya, menurut dua ensaiklopedia Times yang ditulis pada 1993 dan New York Almanak (1997) menyatakan Bahasa Melayu mempunyai peluang besar menjadi antara 12 bahasa yang digunakan sebagai bahasa ilmu di dunia.

“Namun kerana BN terlalu tergopoh-gapah ingin juga mengajar pelajaran Sains dan Mathematik dalam Bahasa Inggeris menjadikan Bahasa Melayu surut ke belakang, bukan bergerak ke hadapan,” tegasnya sambil diganggu oleh penyokong BN.

Ketika diganggu Ahli Parlimen Kota Belud yang juga Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang meminta semua pihak bersabar kerana kerajaan perlukan masa untuk membuat keputusan terbaharu.

Salahudin dengan pantas membidas, inilah falsafah mat rempit yang digunakan oleh BN yang tidak berfikir panjang ketika hendak lakukan, kemudian bila sudah terjatuh dan tercedera, barulah meminta agar berhati-hati.

Najib tidak bersifat negarawan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bersifat negarawan berdasarkan tindakannya merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, tegas Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Beliau menimbulkan perkara ini lantaran kebimbangan rakyat terbanyak tidak dapat menerima Najib sebagai perdana menteri pada masa akan datang.

“Sewajarnya beliau mesti bersikap sebagai seorang negarawan yang mampu mewakili senua golongan rakyat dalam negara ini, itulah maknanya menteri yang perdana, perdana kerana mewakili semua kalangan rakyat,” jelasnya.

Gobala cadang Ahli Parlimen BN ditarbiah oleh Tok Guru Nik Aziz

Ahli Parlimen Padang Serai (PKR) Gobalakrishnan mencadangkan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Said, Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Arau, Ismail Kassim agar ditarbiah oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Saya sanggup ambil cuti dan rela memandu membawa tiga orang ini ke kediaman Tok Guru untuk ditarbiah oleh beliau yang sudah 10 tahun saya mengenalinya dan mahir dalam hal mendidik,” tegas Gobala.

Cadangan ini berlaku ketika ketiga-tiga ahli parlimen BN itu mengganggu Gobala yang sedang berucap dalam sesi membahas ucul menjunjung kasih titah diraja.-- IBH

Dewan tubuh jawatan siasat aduan Karpal

MALAYSIA KINI


Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat aduan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai perbuatan menghina dewan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Datuk Dr Ronald Kiandee sebagai timbalan pengerusi.

Ia dianggotai oleh Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), R. Sivarasa (PKR-Subang), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat), katanya semasa membentangkan usul itu di dewan hari ini, lapor Bernama.

Beliau menjelaskan bahawa jawatankuasa berkenaan boleh mengambil tindakan bersesuaian mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

"Penubuhan jawatankuasa itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 80A Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, iaitu majlis mengambil ketetapan untuk menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat aduan dari Yang Berhormat Bukit Gelugor," katanya.

Terdahulu, Pandikar Amin menolak usul Karpal yang meminta Speaker mengeluarkan waran tangkap bagi menahan dua individu yang terlibat menghalang beliau memasuki bangunan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 26(1)(P).

Cetus ketegangan

Karpal memohon supaya waran tangkap itu dikeluarkan terhadap Ketua Pemuda Umno Serdang, Ungku Mat Salleh serta Ketua Pemuda Umno Gombak Megat Zulkarnain Omardin, dan kedua-dua mereka perlu dihadapkan ke dewan bagi memberi tunjuk sebab kenapa mereka tidak patut dipenjarakan menurut Seksyen 11 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Beliau membangkitkan perkara itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 26(1)(P) yang bersabit dengan hak istimewa Ahli Parlimen di mana tiada notis diperlukan, serta Seksyen 9 dan 11 Akta Majlis Parlimen memandangkan kejadian itu berlaku di perkarangan Parlimen di mana beliau diserang oleh sekumpulan anggota Pemuda Umno apabila sampai ke blok menara untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Pada jam 2.30 petang tadi, sekumpulan 15 anggota Pemuda Umno Selangor menghalang Pengerusi DAP itu daripada memasuki bangunan Parlimen dengan menuntut Karpal supaya memohon maaf kerana mendakwa Pemuda Umno menghantar peluru kepadanya.

Peristiwa itu menimbulkan suasana tegang selama 15 minit apabila berlaku cabar mencabar antara anggota Pemuda Umno dengan beberapa ahli Parlimen DAP termasuk anak Karpal, Gobind Singh Deo, yang juga ahli Parlimen Puchong.

Pandikar Amin berkata usul mengikut Peraturan Mesyuarat 80A lebih sesuai dikemukakan dan beliau sudahpun menerima notis dari Mohamed Nazri berhubung perkara itu.

"Saya sebagai Speaker telah memikirkan soal ini dan saya terpaksa ambil tindakan tegas terhadap apa yang berlaku. Keputusan saya ini muktamad. Ruling (ketetapan) yang diminta (menurut Peraturan Mesyuarat 26(1)(P)) adalah tidak berkenaan.

Mesyuarat secepat mungkin


"Ini kerana saya tidak boleh keluarkan waran tangkap terhadap orang yang belum dibicarakan. Bagi saya tidak boleh ikut kerana dalam fikiran saya Peraturan Mesyuarat 80A sesuai, itu pendapat saya dan ia muktamad," katanya.

Mohamed Nazri yang ditemui pemberita di Lobi Parlimen berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin sebelum persidangan Parlimen berakhir.

"Mereka akan bermesyuarat secepat mungkin, (dan) apabila mereka bermesyuarat, mereka akan membuat keputusan yang akan dibentangkan dalam persidangan Dewan sekali lagi," katanya.

Ketika ditanya sama ada jawatankuasa itu akan berbincang seperti inkuiri awam, Mohamed Nazri berkata: "Mereka akan melakukan apa jua yang perlu dilakukan, termasuk memanggil pihak yang terbabit (termasuk) polis. Selepas itu, mereka perlu membuat keputusan."

Beliau berkata jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memberi hukuman denda maksimum RM1,000 jika inidividu yang terbabit didapati bersalah.

Peluru: Karpal dikepung Pemuda Umno

MALAYSIA KINI


Pengerusi DAP Karpal Singh dikepung sekumpulan anggota Pemuda Umno di bangunan Parlimen petang tadi, menuntutnya meminta maaf kepada pergerakan tersebut kerana mendakwa mereka menghantar peluru kepadannya.

Ini ekoran tindakan Karpal menggunakan perkataan 'celaka' yang ditujukannya kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam, serta mendakwa pergerakan itu menghantar peluru kepadanya.

Karpal bagaimanapun menarik balik perkataan "celaka" itu setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang tadi ketika ahli parlimen Bukit Gelugor itu masuk melalui pintu utama bangunan tersebut.

Kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno terbabit dan mereka dipercayai dari Selangor.
Bagaimanapun, Karpal kemudiannya menelefon ahli parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan yang kemudian tiba bersama beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat lain.

Berlaku kekecohan

Ekoran itu berlaku kekecohan antara kumpulan penyokong Umno dengan wakil-wakil rakyat pembangkang di situ sebelum pengawal keselamatan tiba untuk meleraikan mereka.

Tiga ketua Pemuda Umno bahagian yang hadir telah bercakap dengan pemberita. Mereka ialah Ungku Salleh Ungku Jamal (ketua Pemuda Umno Serdang), Megat Zulkarnain Omar Din (ketua Pemuda Umno Gombak) dan Lat Sharizal Abdullah (ketua Pemuda Umno PJ Utara).

Mereka juga kemudiannya memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Sementara itu, ahli Parlimen DAP mengadu bahawa anggota keselamatan Parlimen tidak berbuat apa-apa untuk melindungi Karpal mereka tiba di situ.

Ahli Parlmen DAP, Lim Lip Eng juga mendakwa beliau telah dipukuL oleh kumpulan anggot Pemuda Umno itu. Menurutnya, beliau dipukul beberapa kali di muka dan bahagian badannya.

Sidang akhbar Khairy

Bagaimanapun, kumpulan itu bukan kumpulan yang sama yang menghadiri sidang akhbar Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin di bangunan Parlimen pagi tadi.

Dalam sidang akhbar tersebut, pergerakan Pemuda Umno memberi tempoh 24 jam untuk pengerusi DAP itu mengemukakan bukti Pemuda Umno bertanggungjawab atas kiriman peluru dari Ipoh baru-baru ini.

Khairy berkata tuduhan yang dilemparkan anggota parlimen satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang ahli parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran.

"Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," Khairy.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia kesal dengan kejadian tersebut, yang menurutnya, pertamakali berlaku di Parlimen.

Katanya, beliau akan meminta Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat perkara itu dan berjanji akan memastikan parkara itu tidak berulang.

Manakala Karpal pula dengan tegas berkata: "Saya mungkin kurang upaya, tetai saya tidak tunduk kepada ugutan mana-mana pihak."

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Tiong King Sing memberitahu pemberita bahawa kesemua 22 anggota Pemuda Umno yang terbabit, telah ditahan oleh polis Bukit Aman.

Bagaimanapun, ini dapat disahkan dengan pihak polis.

Beliau juga turut memohon maaf kepada Karpal atas kejadian tersebut dan berkata akan meminta Speaker menghad jumlah penyokong parti politik yang dibenar masuk ke Parlimen.

MB S'gor gali lagi 'kesalahan' Khir

Jimadie Shah Othman


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini menggali satu persatu 'kesalahan' menteri besar terdahulu Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Kali ini, Dr Mohd Khir didakwa mendapat faedah dan imbuhan selaku pengerusi PNSB sebelum itu – termasuk kemudahan kereta berjenama Toyota Harrier, bersama pemandu – tetapi perkara itu didakwa gagal diisytiharkan kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).

“Sekumpulan penasihat lantikan Perbadanan Menteri Besar (MBI) kini sedang melakukan penilaian terhadap prestasi PNSB. Dalam proses tersebut, didapati pengerusi sebelum ini, Dr Mohd Khir pernah diberikan kereta Toyota Harrier pada tahun 2005 dan disediakan seorang pemandu pada tahun 2006.

“Beliau menggunakan kesemua faedah sehingga bersara selaku pengerusi PNSB pada Mac 2008. Walau bagaimanapun, tiada kemudahan ini yang dinyatakan dalam borang taksiran (EA) yang diserahkan oleh PNSB sebelum ini,” kata kenyataan sekretariat akhbar pejabat menteri besar Selangor hari ini.

Kenyataan itu juga mendakwa, PNSB turut menanggung penggunaan petrol dan penyenggaraan kereta Toyota tersebut.

“Sehubungan itu, MBI hari ini mengarahkan PNSB menyerahkan senarai lengkap faedah dan kemudahan yang diberikan kepada kalangan pekerjanya pada tahun-tahun lepas kepada LHDN,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, Abdul Khalid, yang juga pengerusi MBI dan PNSB berpendapat, langkah tersebut dilakukan bagi memastikan GLC Selangor tidak mengingkari undang-undang supaya membayar cukai pendapatan.

Implikasi kewangan

Pejabat menteri besar juga mendedahkan, selama beberapa tahun, PNSB memberikan kemudahan kepada kakitangannya – termasuk pengerusi dan ahli lembaga pengarah – dalam bentuk barangan atau wang tunai, atau dua bentuk pemberian tersebut.

Kemudahan itu termasuk kereta dan pemandu serta percutian dalam dan luar negara, tambah kenyataan itu.

“Menteri besar menyedari keprihatinan kakitangan PNSB terhadap implikasi kewangan akibat pengurusannya gagal mengisyhtiharkan pendapatan dalam borang EA.

“Beliau meminta kakitangan PNSB bersabar sementara menunggu tindakan LHDN mengenakan tambahan cukai bagi individu yang berkaitan,” kata kenyataan tersebut.

Semalam, Abdul Khalid berkata, lembaga pengarah PNSB sekarang mendapati terdapat kepincangan dalam pembelian hartanah 'Al Marwa Tower Makkah' di bawah nama menteri besar ketika itu, Dr Mohd Khir - yang dibangkitkan oleh auditor luar.

Abdul Khalid juga mendakwa pembelian 12 unit pangsapuri itu melibatkan transaksi RM25 juta, sedangkan lembaga pengarah didakwa hanya meluluskan kira-kira RM8 juta untuk membeli lima unit tersebut.

Angkatan Muda PKR petang semalam – diringi seekor lembu – turut memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) di Shah Alam di samping menyerahkan semula 20 aduan lama terhadap Dr Mohd Khir yang didakwa tidak disiasat secara profesional oleh suruhanjaya itu.

Pemuda Umno cabar Karpal kemuka bukti dalam tempoh 24 jam

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno hari ini memberi tempoh 24 jam untuk Pengerusi DAP Karpal Singh mengemukakan bukti yang mendakwa Pemuda Umno bertanggungjawab atas kiriman peluru terhadapnya baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata tuduhan yang dilemparkan Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu merupakan satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang Ahli Parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran. Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, ketika membahaskan usul menjunjung kasih bagi titah ucapan Yang diPertuan Agong, wakil rakyat Bukit Gelugor itu mendakwa Pemuda Umno yang mengirimkan dua butir peluru yang ditemui dalam satu sampul surat di kediamannya di Pulau Pinang barubaru ini.

Dalam sidang media itu, Khairy turut menyifatkan Karpal yang juga seorang peguam veteran sebagai seorang yang angkuh serta berlagak seolah-olah tahu segala undang-undang.

"Sebab itu Pemuda Umno hari ini mendesak kerajaan untuk bertindak cepat, manusia macam Karpal ini memang angkuh, memang ingat dia selalu betul dan dia tahu segalagalanya.

"Saya takut kalau kerajaan tidak ambil tindakan mengikut undang-undang kita tak dapat bendung kemarahan rakyat, kemarahan sebilangan besar daripada rakyat masyarakat Melayu terutamanya, dan seluruh ahli pergerakan Pemuda Umno Malaysia," tegasnya.

Ditanya adakah pemuda Umno ingin meminta Karpal memohon maaaf secara terbuka, Khairy menjelaskan bahawa Pemuda Umno tidak akan membuang masa untuk meminta permohonan maaf Karpal.

"Manusia seperti beliau tidak mengerti makna taubat dan pengakuan salah. Pemuda UMNO cuma mencabar beliau membawa bukti kukuh dan sekiranya beliau gagal, semua rakyat boleh menyimpulkan bahawa Karpal Singh adalah penipu yang ketandusan modal," katanya.

"Kami mahu mengingatkan Karpal bahawa bukan Pemuda Umno yang mainmain. Sebenarnya Karpal yang mainmain dengan sentimen rakyat dan bermain dengan api. Sekiranya beliau tidak bertaubat dan berhenti, kemarahan yang masih membara ini akan menjadi lebih dahsyat,"ujarnya.

Katanya, Pemuda Umno tidak akan berhenti untuk menentang Karpal, di mana sahaja demi kesejahteraan rakyat, prinsip Rukun Negara dan institusi raja berperlembagaan.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau mengecam sikap celupar Karpal yang menggunakan kata-kata kesat terhadap pergerakan itu.

"Beliau bukan sahaja telah melanggar peruntukan 36(4) Peraturan Mesyuarat yang tidak membenarkan katakata kesat digunakan sewaktu perbahasan di dalam Dewan, malah ianya berunsur fitnah dan pembohongan apabila menuduh Pergerakan Pemuda Umno sebagai membuat ancaman jenayah dengan menghantar dua butir peluru kepadanya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mukhriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun berkata Karpal dengan sengaja cuba mengalih perhatian rakyat berhubung penderhakaan beliau kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan mendesak Karpal untuk mengakui kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menyanjung Sistem Raja Berperlembagaan.

"Kegagalan berbuat demikian membuktikan bahawa Karpal mengkhianati Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Justeru saya menggesa pihak berkuasa agar segera menahan dan mendakwa Karpal di bawah Akta Hasutan 1948 jika beliau terus enggan berganjak daripada sikap penderhakaan ini," katanya.

Beliau berkata kenyataan bahawa "Singh is King" menunjukkan bahawa beliau sudah terlalu takbur sehingga menganggap dirinya seorang Raja mengatasi kedaulatan Raja-Raja Melayu yang sudah bertakhta sejak turun-temurun.

"Karpal nyata tidak langsung menghormati mahupun mengendahkan tatasusila mesyuarat dan kesopanan Dewan Rakyat.

"Meskipun akhirnya Karpal menarik balik kenyataan yang telah dibuat, saya menggesa beliau digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk suatu tempoh yang dianggap wajar sebagai sempadan yang mesti diawasi oleh ahliahli Yang Berhormat di dalam Dewan Rakyat," katanya.

Khamis, 26 Februari 2009

Kalabakan kecam BN menipu

Anis Nazri


KUALA LUMPUR - Ekoran terpinggir dari arus kemajuan, Dato' Seri Abdul Ghapur Saleh (BN-Kalabakan) sekali lagi mengecam kerajaan BN kerana gagal menyalurkan peruntukan seperti yang dijanjikan di Sabah bagi tujuan pembangunan negeri itu.

Ketika bangkit membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong, di Dewan Rakyat, 23 Feb lalu, Ghapur mengecam BN yang disifatkannya sebagai 'tipu helah BN' apabila kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM 1 bilion kepada Sabah, namun tidak sampai di Sabah.

Katanya, biarpun Pengarah Pembangunan Sabah dilantik di kalangan rakyat Sabah sendiri, namun 'tali' masih dipegang di Kuala Lumpur sehingga menyukarkan segala bentuk bantuan disalurkan ke negeri bawah bayu itu.

Dengan menyifatkan semua itu sebagai tipu helah BN, beliau meminta satu kajian semula dibuat bagi memastikan segala peruntukan yang dikhaskan bagi pembangunan Sabah dilakukan bagi kebaikan rakyat Sabah.

"Dilaporkan sebanyak RM 1 bilion diperuntukan untuk Sabah. Namun di mana ia? Jika Terengganu diberi wang ehsan sebanyak RM400 juta, Sabah juga mahu. RMK-9 tidak ada, RMK-10 nanti langsung tidak ada," tegas beliau.

Ketika ini, Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Kuala Terengganu) bangkit menyatakan bahawa kerajaan tidak ikhlas kerana wang royalti yang diterima Terengganu 'hangus' dan dirompak, tanpa diterima rakyat Terengganu.

Ketika itu, Ghapur berkata beliau tidak tahu menahu mengenai wang royalti Terengganu, tetapi mahu Sabah mendapat hak yang sepatutnya.

Selain mengecam BN yang dilihatnya tidak serius membantu rakyat Sabah, beliau turut mengecam menteri-menteri yang menurutnya tiada di parlimen untuk mendengar segala keluhan yang dikemukakan wakil rakyat.

"Menteri tidak tahu jaga apa. Tidak pernah datang lawat Sabah. Tidak tahu apa yang diperlukan rakyat Sabah. Menteri perlu buat kerja, jika hendak datang parlimen dengar keluhan rakyat, susahlah," tegas beliau.

Ketika itu, Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin mencelah dengan mengingatkan Ghapur bahawa kemungkinan menteri mempunyai kerja lain yang lebih penting ekoran kegagalan mereka di dewan.

Kenyataan tersebut disanggah Ghapur dengan menyatakan tidak mungkin semua menteri mempunyai kerja serentak, sehingga kesemuanya tidak dapat hadir ke parlimen.

"Ini bukan sangkaan jahat. Mungkin mereka ada kerja, tapi takkan semua sibuk serentak. Kalau begitu, semua orang mahu jadi menteri," kecam beliau. _

Peruntukan PRK Permatang Pauh, Kuala Terengganu lebih RM989,000.00

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR -Perbelanjaan dan peruntukan pilihan raya kecil Permatang Pauh melebihi RM409 ribu dan pilihan raya kecil Kuala Terengganu melebihi RM580 ribu daripada yang dinyatakan pihak kerajaan.

Azan Ismail (KeADILan-Indera Mahkota) menyatakan berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh National Institute Electro Integrity perbelanjaan di kedua-dua kawasan itu melebihi daripada angka yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz.

Azan berkata demikian sewaktu bangkit mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

"Rakan-rakan saya daripada bahagian dan cawangan di Kuala Terengganu di kalangan rakan-rakan Umno memberitahu pembahagian wang RM 300 ringgit kepada 2011 orang telah dikeluarkan. Manakala RM 250 dikeluarkan untuk golongan muda seramai 1265 orang.

"Untuk pengundi cina sempena tahun baru cina seramai 720 orang dengan kadar RM 300 seorang serta kepada pengamal media di pusat media Barisan Nasional pada 16 Januari yang lalu berjumlah RM 300 kepada 32 orang. Jumlah ini melebihi RM 200 ribu yang disyaratkan,"katanya.

Jelas Azan, Seksyen 23 dan 27 Akta Kesalahan Pilihan raya mesnyaratkan kepada calon dan parti yang bertanding mesti mengemukakan laporan penyata perbelanjaan untuk sesuatu pilihan raya.

Sementara itu Nazri dalam jawapannya menyatakan kerajaan hanya mengawal perbelanjaan yang dibuat oleh calon pilihan raya tidak melebihi RM200,000 dan sebarang perbelanjaan yang dibuat oleh rakan-rakan calon tidak boleh diambil kira sebagai perbelanjaan calon.

Jelas Nazri sekiranya ada perbelanjaan yang dilakukan oleh rakan-rakan calon dalam pilihan raya, ia tidak boleh diambil kira sebagai sebahagian daripada perbelanjaan calon.

Dalam pada itu, Azan juga mengemukakan pertanyaan adakah SPR dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) bertekad untuk melaksanakan atau menguat kuasa atau Seksyen 27 memandangkan mempunyai dua pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau.

"Kalau sekiranya perkara ini dianggap kurang penting adakah cadangan pihak kerajaan untuk membatalkan terus sekatan ini dan biarlah semua parti yang bertanding tidak ada sekatan dan boleh berbelanja sebanyak yang mampu,"katanya.

Bagaimanapun Nazri tidak menjawab soalan tambahan yang dikemukakannya itu. _

'Kami tidak layan walaupun 1,000 surat wakil rakyat Pakatan Rakyat'

Azamin Amin


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menyelar sikap diskriminasi sesetengah pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang hanya melayan dan meluluskan surat permohonan bantuan kebajikan yang ditandatangani oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sahaja berbanding Pakatan Rakyat.

BN secara tidak langsung menggunakan 'kuasa' yang ada di Kementerian terbabit untuk menafikan hak orang lain khususnya yang kurang upaya daripada menerima bantuan sekaligus menggambarkan BN masih lagi tidak dapat menerima keputusan rakyat yang telah diberi hak memilih wakil rakyat dan pemimpin daripada kalangan Pakatan Rakyat.

Fuziah memberi contoh kes seorang Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Kuantan yang telah dinasihatkan oleh pegawai kementerian untuk mendapatkan tandatangan surat sokongan dan permohonan daripada seoarang wakil rakyat BN berbanding beliau sendiri selaku Ahli Parlimen Kuantan.

Katanya, pegawai tersebut mengherdik dan memberitahu sekalipun 1,000 surat yang ditandatangani oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat yang diserahkan kepada Kementerian, ianya tidak akan dilayan sama sekali.

"Ini bukan insiden pertama, sudah banyak aduan diterima. Ianya berlaku di mana-mana. Saya minta Menteri jawab dan jangan ada lagi 'denial syndrome' (menafikan).

"Minta maaf cakaplah...BN ingat boleh buat ikut suka 'bapa' dia," katanya berang dan disambut sorakan ahli parlimen BN yang tidak puas hati dengan ayat sinisnya itu.

Beliau berkata demikian, ketika bangkit membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat jam 12.30 tengah hari tadi.

Fuziah menyelar sikap tidak profesional Kementerian Wanita dan Kebajikan Masyarakat dalam menangani masalah-masalah kebajikan rakyat, yang mana hanya tertumpu dan berlegar kepada 'survival' politik mereka dan meminggirkan yang lain sehinggakan khidmat beliau selaku Ahli Parlimen tidak langsung diiktiraf.

"BN tidak dapat menerima kekalahan pilihan raya umum lalu...akibatnya pelbagai cara digunakan untuk menafikan hak rakyat yang telah pilih wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengkritik, laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang masih tidak dikemaskini hampir setahun, terbukti bila mana masih tertera lagi nama Dato' Sharizat Jalil sebagai Menteri kementerian terbabit sedangkan beliau kini adalah Penasihat Perdana Menteri yang bertaraf Menteri.

"Saya kira, oarang-orang di belakang laman web ini adalah yang bijak pandai tetapi apa agenda masih kekalkan nama Sharizat lagi?" katanya. - mks. _