Sabtu, 31 Januari 2009

Watan berbohong, tidak professional - Wahid

Khairul Azlam Mohamad


KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut menyifatkan laporan akhbar mingguan Watan menyalahi etika kewartawanan dan tidak profesional.

Ini berikutan, laporan akhbar berkenaan di muka hadapan Bilangan 22 Ahad 25-31 Januari lalu bersifat 'bohong' serta sengaja diada-adakan tanpa merujuk kepada mana-mana pihak terbabit.

"Saya tidak pernah berjumpa dihubungi oleh wartawan akhbar itu (Watan) dan tidak pernah jumpa dengan dia (wartawan) sepanjang tempoh berkempen ini.

"Akhbar itu siar berita 'bohong' dan tidak benar sama sekali kononnya saya akan meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam," tegasnya kepada Harakahdaily, semalam.

Katanya, laporan berita itu sengaja diada-adakan kononnya pilihan raya kecil sekali lagi bakal diadakan bagi tujuan memalukan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, semua laporan berkenaan tidak benar kerana beliau dipilih oleh rakyat dan tidak akan mengkhianati amanah tersebut.

Justeru, beliau bersedia mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar berkenaan kecuali pihak terbabit memperbetulkan semula laporan berkenaan dalam masa terdekat ini.

"Saya sudah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengambil tindakan susulan (terhadap akhbar Watan)," ujarnya.

Menurutnya, laporan berita bertajuk 'Wahid Lepas Adun' yang disiarkan akhbar berkenaan telah menjatuhkan maruah dan imej beliau sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat.

Berikutan itu katanya, beliau rasa terganggu akibat banyak menerima panggilan telefon dan sms dari pelbagai pihak yang bertanyakan perkara tersebut.

Menurutnya, akhbar tersebut telah melanggar etika kewartawanan kerana mengeluarkan berita yang tidak tepat serta bersifat spekulasi.

Kata Wahid, pihaknya sedia memaafkan pihak terbabit jika permohonan maaf dibuat serta diperbetulkan semula melalui akhbar berkenaan. - mns_

Tiada ulasan: