Jumaat, 23 Januari 2009

Tuduhan rasuah: Umno ambil langkah susulan politik wang

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Lembaga Disiplin Umno akan mengambil tindakan susulan berhubung tiga ahlinya termasuk seorang Naib Ketua Bahagian yang didakwa semalam kerana dipercayai terlibat dalam politik wang, selepas mendapat laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penasihat undang-undang Umno, Datuk Mohd. Harafizam Harun berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan di bawah tata etika Umno atau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk membuat keputusan.

"Kita boleh ambil tindakan di bawah tata etika atau kedua, memaklumkan perkara itu kepada MT untuk mereka buat keputusan dalam mesyuarat mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Semalam, tiga individu didakwa termasuk Naib Ketua Umno Beruas, Azman Noh, 42 di Ipoh dan seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Junaidi Abdul Hamid, 46, di Kuala Lumpur.

Manakala, seorang lagi adalah Ketua Umno cawangan Kampung Panchor yang juga seorang kontraktor, Johari Ibrahim, 46, didakwa di Melaka.

Kesemua mereka didakwa kerana dipercayai memberi wang rasuah ketika pemilihan Umno Bahagian baru-baru ini.

Sementara itu, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno turut menyerah diri di SPRM cawangan Temerloh semalam bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menyogok beberapa perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno Mac ini.

Mohd Hafarizam berkata, dakwaan tersebut adalah yang kedua melibatkan ahli Umno yang dibuat SPRM di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Dakwaan pertama dibuat oleh badan itu (yang dahulunya Badan Pencegah Rasuah (BPR)) pada September lalu melibatkan Naib Ketua Umno Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang.

Mohd Nor, seorang ahli perniagaan dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban atas dua tuduhan memberi rasuah berbentuk suapan wang ringgit bagi membolehkannya dicalonkan sebagai Ketua Umno bahagian itu bagi sesi 2008 hingga 2011.

Beliau berkata, memandangkan kes ini melibatkan rasuah dan bukan lagi jatuh di bawah isu tata etika, SPRM mempunyai kuasa penuh terhadap kes ini.

Katanya, kerjasama dengan SPRM akan tetap diteruskan bagi menghapuskan gejala politik wang dalam Umno terutamanya menjelang pemilihan parti Mac ini.

"Selain itu, dengan pertambahan 12 ahli Lembaga termasuk lapan bekas pegawai BPR, kita yakin, usaha kita untuk menghapuskan gejala itu akan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif," katanya.

Ditanya sama ada akan lebih ramai lagi ahli Umno yang akan didakwa selepas ini, Mohd Hafarizam berkata, perkara itu terlalu awal untuk diramalkan.

"Dalam hal ini, jika ada laporan terus kepada SPRM, mereka akan siasat dan jika didapati tidak ada kes, mereka akan kembalikan kepada kita untuk tindakan susulan.

"Jika laporan itu dirujuk kepada Lembaga Disiplin, kita akan teliti dan jika ia berkaitan politik wang, kita akan rujuk kepada SPRM," katanya.

Tiada ulasan: