Isnin, 26 Januari 2009

Syed Hamid: Umno perlu berubah sebelum 'dihukum mati'

BERNAMA


KOTA TINGGI: Umno mesti berubah sebelum rakyat mengeluarkan "hukuman mati" terhadapnya, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, masanya sudah tiba untuk Umno berubah kerana imejnya kini terjejas teruk ekoran terdapat kes di mana ahlinya ditahan berhubung dakwaan rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat beberapa ahli Umno yang didakwa mengamalkan politik wang semasa berkempen bagi pemilihan bahagian parti barubaru ini.

"Perkara untuk melakukan perubahan dan pembersihan parti mesti dibincangkan di peringkat tertinggi parti yang melibatkan setiap orang, termasuk presiden dan ahli Majlis Tertinggi yang mesti mengambil tanggungjawab agar parti tidak dihukum oleh rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Rakan Muda Kota Tinggi di Felda Bukit Aping Barat, di sini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kota Tinggi berkata perubahan adalah perlu termasuk menjadikan parti lebih mesra kepada rakyat.

Katanya kedudukan Umno sebagai tulang belakang kerajaan boleh terjejas sekiranya ahlinya terbabit dengan amalan rasuah.

"Rakyat mahukan parti yang boleh dipercayai, yang mempunyai integriti dan kredibiliti," tegasnya.

Syed Hamid berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mewujudkan minat dan agenda baru kepada parti apabila beliau menjadi perdana menteri kelak.

"Agenda baru itu tidak boleh menggambarkan Umno hanya untuk golongan elit yang sombong dan menjauhi rakyat," katanya.

Tiada ulasan: