Jumaat, 30 Januari 2009

SPRM Kedah panggil 10 ahli Umno untuk disiasat

Siti Fatimah Mohamed Anwar dan Nahar Tajri


ALOR STAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, memanggil lebih 10 ahli Umno sebuah bahagian, termasuk tiga pemimpin kanannya untuk diambil keterangan berhubung dakwaan politik wang bagi melobi seorang calon jawatan kanan dalam Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Sumber berkata, tiga pemimpin itu, termasuk Ketua Bahagian, Timbalan dan Naib serta perwakilan bahagian itu, diambil keterangan di sebuah hotel di sini, bermula pagi semalam.

Beliau berkata, setiap individu berkenaan disoal siasat sejam dalam sebuah bilik hotel terbabit bagi membantu siasatan.

"Individu itu disiasat kerana didakwa terbabit mengagihkan sejumlah wang kepada ketua cawangan bagi meraih undi menyokong calon terbabit," katanya.

Sumber itu berkata, siasatan dilakukan secara berperingkat dan kemungkinan dua lagi bahagian Umno di negeri ini akan disiasat dalam tempoh terdekat.

"SPRM mendapatkan maklumat daripada individu yang dipercayai menerima sogokan sebelum menyoal siasat tiga individu berkenaan yang dipercayai menjadi ejen calon itu," katanya.

Pesuruhjaya SPRM Kedah, Nooraziah Abdul Manaf ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Akhbar sebelum ini melaporkan pihak berkuasa itu membuka kertas siasatan membabitkan sembilan kes rasuah politik sepanjang pemilihan peringkat bahagian Umno pada Oktober dan November tahun lalu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Umno Pendang, Datuk Md Rozai Shafian mengaku dipanggil membantu siasatan dakwaan salah laku etika pada mesyuarat pemilihan Umno bahagian itu, Oktober tahun lalu.

“Saya dipanggil sebuah panel di Alor Star pagi tadi dan mereka bertanya beberapa soalan,” katanya.

Tiada ulasan: