Khamis, 29 Januari 2009

Sayap Umno tidak dimansuh - Najib

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Umno tidak bercadang untuk memansuhkan semua sayap partinya walaupun perubahan struktur itu dikatakan boleh membendung gejala politik wang.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata perubahan struktur melalui kaedah pemansuhan sayap parti adalah satu tindakan drastik dan akan memberikan kesan yang begitu besar kepada usaha untuk memupuk pemimpin pelapis.

"Buat masa ini kita tak bercadang mansuhkan.

"Kita tak boleh ketepikan peluang untuk pemimpin Pemuda, Wanita dan Puteri untuk tonjolkan bakat kepimpinan mereka," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas mengenai kenayataan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail bahawa terlalu banyak proses pemilihan dalam struktur Umno hingga boleh menyumbang kepada gejala politik wang, beliau berkata: "Soal kaedah pemilihan boleh difikirkan."

Tambah beliau lagi Umno perlu memantapkan kaedah penguatkuasaan bagi membendung gejala politik wang.

"Kalau masalahnya ialah politik wang, kita mesti memperkukuhkan lagi penguatkuasaan kita untuk membanterasnya iaitu bukan sahaja dari segi tindakan, malah dari segi pengukuhan nilai, budaya dalam umno.

"Maknanya proses pengukuhan mesti berjalan seiring dengan soal penguatkuasaan.

Najib juga berkata perubahan struktur dengan memansuhkan sayap parti belum sampai pada masanya kerana ia akan memberi kesan yang begitu besar kerana selama ini Umno memainkan peranan penting dalam usaha menyediakan generasi muda untuk menerajui parti itu pada masa hadapan.

"Kalau mereka tidak diberi peluang untuk memimpin, maka kita tidak boleh bangunkan pemimpin baru," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata kesemua sayap parti itu merupakan pelengkap kepada struktur kepimpinan dalaman Umno.

"Struktur Umno telah lama wujud dengan sayap Pemuda dan Wanita diwujudkan pada peringkat awal.

"Kedua-dua sayap ini memainkan peranan penting dalam parti dan kemudian Puteri pula diwujudkan beberapa tahun lepas, ini adalah satu struktur yang lengkap," katanya.

Tiada ulasan: