Jumaat, 30 Januari 2009

Ramlang saman Jakim jika rayuan ditolak

Jimadie Shah Othman
(kemaskini 2:06pm)


Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - yang dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas alasan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim - akan mengambil tindakan saman.

"Saya akan merayu (kepada Jakim). Jika tidak terima, saya akan tuntut hak-hak saya melalui (proses) undang-undang," kata Ramlang Porigi.

Beliau merancang mengemukakan rayuan kepada jabatan tersebut pada Selasa atau Rabu depan.

Anak kelahiran Sabah itu kini sedang berehat di kampung halamannya di Sandakan dan dijadual kembali ke Kuala Lumpur awal minggu depan.

Ramlang - yang berceramah di tiga tempat dan kemudian mengadakan sidang media bersama PKR ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh tahun lepas - diberhentikan perkhidmatannya minggu lepas.

Dalam surat bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja."

Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim yang dipengerusikan oleh Wan Mohamad mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Ramlang mendakwa penyingkirannya tidak melalui prosedur dan amalan biasa.

"Saya dibuang tanpa amaran, tanpa notis," katanya.

Beliau juga mendakwa hanya dipanggil sekali sahaja bertemu Wan Mohamad - sehari sebelum dipindahkan dari Masjid Wilayah Persekutuan ke bahagian pentadbiran dan kewangan Jakim di Putrajaya pada 9 September lalu.

Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu juga, Ramlang mendakwa tidak dimaklumkan berhubung tindakan pembuangan itu tetapi hanya dipersalahkan ekoran kemunculan beliau di pentas PKR pada 24 Ogos, kira-kira 48 jam sebelum pengundian dalam pilihanraya tersengit itu.

Tambahnya, kehadiran beliau ke pentas PKR dipersoalkan oleh majikannya kerana kelihatan "senang hati" sewaktu berucap tetapi sebab beliau berada di situ tidak diambil perhatian.

"Mereka kata, gambar saya (berucap) yang disiarkan di (laman perkongsian video) Youtube nampak gembira," kata Ramlang.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau reda dengan takdir tuhan walaupun pemecatannya itu tidak diduga sama sekali.

"Waktu saya cakap dengan kawan-kawan, mereka kata, mustahil sampai kena buang. Ada orang (kakitangan awam) lawan kerajaan betul-betul tetapi (mereka) tidak kena buang (kerja) pun.

"Ada (kakitangan) yang ada rekod jenayah pun tidak kena buang pun."

"Saya hanya ingin membebaskan nama saya daripada pelbagai fitnah yang diterima sejak seminggu menjadi saksi sumpah itu.

"Alhamdulillah sekarang, ke mana saya pergi, orang tidak marah pada saya," katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Ramlang termasuk antara empat imam Masjid Wilayah Persekutuan yang menghadiri majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan di masjid tersebut yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR itu dua bulan sebelumnya.

Ramlang kemudian muncul di tiga majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat dengan mendakwa beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Menceritakan pengalaman beliau bertugas empat bulan di Jakim sejak ditukarkan secara mendadak, beliau tidak menerima sebarang tekanan daripada pegawai atasannya.

Bagaimanapun, tambah Ramlang, beliau tidak diberikan sebarang kerja dengan harapan beliau akan melepaskan jawatan sebagai kakitangan Gred 17 secara sukarela.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.

Tiada ulasan: