Selasa, 27 Januari 2009

Nafi lepas jawatan Adun, akan saman akhbar

Suhaimi Taib


KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Abdul Wahid Endut menafikan beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam sebagaimana didakwa Akhbar Mingguan WATAN Bilangan 22 Ahad 25-31 Januari.

Beliau mengakui tidak pernah dihubungi akhbar berkenaan untuk mendapat penjelasan berhubung dengan kenyataan tersebut.

"Mungkin wartawan akhbar berkenaan hubungi saya dari jauh-jauh, saya tidak pasti sama ada saya bertemu dengan wartawan akhbar berkenaan atau tidak," jelasnya ketika dihubungi.

Bagaimanapun katanya, terdapat satu SMS dihantar ke talian telefon mudah alih beliau meminta supaya melepaskan jawatan tersebut untuk kononnya menumpukan perhatian kepada tugas baru di Parlimen Kuala Terengganu.

Tetapi beliau tidak dapat pastikan siapa yang mengirimkan SMS tersebut.

"Saya menyifatkan kenyataan semacam ini dikeluarkan oleh orang yang 'desperado' dan cuba menfitnah diri saya," jelasnya lagi.

Justeru beliau meminta akhbar berkenaan membuat pembetulan atau menarik balik kenyataan tidak benar itu dengan menafikan beliau melepaskan jawatan sebagai ADUN Wakaf Mempelam.

Abdul Wahid kini dalam proses mendapatkan nasihat peguam bagi menyaman akhbar berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung dengan dirinya jika laporan itu tidak ditarik balik.

Baru-baru ini sebuah akhbar Mingguan WATAN Bilangan 22 Ahad 25-31 Januari mendakwa Abdul Wahid Endut dijangka melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam sekaligus satu lagi pilihanraya kecil di Terengganu akan diadakan.

Akhbar itu yang meletakkan tajuk utama muka depan 'Wahid Lepas Adun' dan tajuk kecilnya 'Satu lagi pilihanraya kecil di Terengganu untuk malukan BN' melaporkan dalam intro beritanya bahawa satu lagi pilihanraya kecil dijangka berlaku di Terengganu berikutan kemenangan ahli parlimen Kuala Terengganu yang baru, Abdul Wahid Endut

Dalam perenggan ketiga di muka yang sama akhbar itu menyebut Wahid dijangka melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam kerana mahu memberi tumpuan sebagai ahli parlimen Kuala Terengganu.

Akhbar itu seterusnya menyebut beliau kini memiliki dua kerusi, parlimen dan DUN setaraf dengan Presiden PAS, Dato' Seri Haji Hadi Awang yang juga ahli parlimen Marang dan ADUN Ru Rendang sedangkan Wahid adalah Bendahari PAS Terengganu.

Abdul Wahid berkata beliau tidak ada hasrat untuk berbuat demikian dan akan mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan. - azm _

Tiada ulasan: