Jumaat, 30 Januari 2009

MB nafi wakil rakyat NS keluar BN

MALAYSIA KINI


Menteri besar Negeri Sembilan menafikan desas-desus beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional akan menyertai pembangkang.

"Kalau ada dakwaan, suruh dia bagi nama. Yang DAP Perak risau sangat pasal apa, jagalah negeri Perak itu," Datuk Seri Mohamad Hasan dipetik berkata hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan DAP Perak yang tersiar dalam laporan muka depan akhbar China Press yang menyebut tiga atau empat wakil rakyat negeri akan menyertai Pakatan Rakyat.

Menurut Bernama, Mohamad berkata wakil rakyat BN bawah pimpinannya mempunyai integriti dan jati diri yang kuat serta sayangkan parti.

"Saya tidak nampak mereka ini senang dipujuk dan mudah melompat keluar dari Umno walaupun ada antara mereka telah tewas dalam pemilihan peringkat bahagian masing-masing.

"Semangat mereka kepada parti masih kuat," katanya.

Pada pilihanraya umum lalu, BN negeri memperoleh majoriti mudah dengan meraih 21 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala 15 lagi kerusi dimenangi pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS.

Tiada ulasan: