Khamis, 29 Januari 2009

MB dedah penyelewengan BN Selangor di sidang Dun Mac ini

Saidah Hairan


KUALA SELANGOR - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mendedahkan penyelewengan kerajaan BN Selangor di bawah pimpinan Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Mac nanti.

Ini dilakukan selepas Khir Toyo mendedahkan dokumen kononnya Khalid mengarahkan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd membiayai pembelian 46 ekor lembu untuk dikorbankan dan diagih-agihkan di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

"Saya belajar daripada dia (Khir), tapi saya hanya dedahkan dalam Dun dan bukan boleh kita dedahkan macam ini.Saya percaya dia setuju sebab kita dalam proses keterbukaan," katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian projek Laman Dapur di Dun Ijok.

Beliau mengingatkan Khir yang juga bekas Menteri Besar ketika memegang jawatan itu telah mengangkat sumpah dan menghormati Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Tindakan Khir itu telah memberi kesempatan kepada beliau untuk membuat pendedahan tentang penyelewengan pada ketika pentadbirannya, tegas Khalid.

"Saya akan buka surat pemberian tanah dan kontrak kepada semua yang telah dibahagi," katanya.

Khalid menegaskan sejak awal lagi beliau menyokong OSA perlu dimansuhkan dan hanya pada perkara untuk keselamatan negara saja perlu dirahsiakan.

Tetapi tambah beliau, bagi penjualan lembu dan sebagainya tidak menjadi masalah untuk didedahkan dan OSA tidak boleh digunakan hanya untuk menjaga kepentingan satu-satu pihak sahaja.

Khalid yang menjadi Adun Ijok dan ahli Parlimen Bandar Tun Razak akan bekerja keras untuk membetulkan penyelewengan selama ini.

Katanya, dalam usaha membetulkan penyelewengan mesti ada keterbukaan kerana dengan cara itu baru dapat menyelesaikan segala permasalahan.

"Saya bekas CEO dan masuk politik kerana hendak membuat perubahan dan saya akan sentiasa membuat perubahan," tegasnya. - lanh _

Tiada ulasan: