Rabu, 28 Januari 2009

"Biarkan saya tanding tentukan kebenaran" - Muthu gesa MIC

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]


Sambil menyifatkan kenyataan terbaru Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu semalam sebagai "satu lagi langkah mengelabui mata" semata-mata, Datuk M. Muthuppalaniappan, yang dipecat minggu lalu berkata, beliau wajar dibenarkan bertanding untuk menentukan kebenaran.

"Biarkan saya bertanding dan serahkan kepada ahli parti menentukan sama ada kenyataan-kenyataan media saya (sebelum ini) telah memudaratkan parti ataupun sebaliknya.

"Biar anggota parti yang menentukan perkara ini, bukan CWC (kerana didakwa tidak bebas).

"Kalau benar kenyataan saya telah menjejaskan parti, biar saya (diundi) ditewaskan," kata beliau ketika dihubungi.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Samy Vellu semalam bahawa beliau tidak akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sekiranya ia dijadual mendengar rayuan Muthuppalaniappan kelak.

Muthuppalaniappan mempunyai masa 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada CWC berhubung keputusan Jawatankuasa Disiplin memecatnya.

Beliau berharap anggota CWC akan bertindak secara adil dan tanpa rasa bimbang jika ia membincangkan rayuannya.

"Beberapa anggota CWC yang menghubungi saya berpendapat tindakan memecat saya adalah tidak wajar, tetapi mereka tidak boleh meluahkan pendirian ini dalam CWC... mereka bimbang," katanya.

Presiden MIC: Samy tetap pertahan tidak kisah siapa pencabar

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu tetap akan mempertahankan jawatan itu tidak kira siapa bakal pencabarnya dalam pemilihan Presiden kali ini.

Bekas anggota Kabinet itu berkata, beliau tidak kisah sama ada akan terdapat lagi calon yang mahu merebut kerusi itu selepas bakal pencabarnya, Datuk M. Muthuppalaniappan telah pun dipecat dari parti minggu lalu.

"Kami akan biarkan apa yang akan berlaku dan lihat apa yang akan berlaku," kata beliau di sini semalam sambil menambah, pemilihan bagi jawatan-jawatan lain akan diadakan September ini.

Muthuppalaniappan, bekas Naib Presiden MIC telah dipecat dari parti oleh Jawatankuasa Disiplin MIC berkuat kuasa minggu lalu.

Ia diumumkan dalam sepucuk surat bertarikh 21 Januari lalu.

Bagaimanapun beliau akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.

Katanya, majoriti pemimpin akar umbi parti itu telah menghubunginya untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejas imej parti.

Pada November lepas, Muthuppalaniappan mengumumkan akan mencabar Samy Vellu untuk jawatan Presiden MIC pada pemilihan presiden yang dijangka April atau Mei ini.

Jawatankuasa Disiplin memberi tempoh 14 hari kepada bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan itu untuk membuat rayuan kepada CWC.

"Jawatankuasa itu dibawah telunjuk Samy Vellu. Dia semakin takut bahawa saya akan mencabar dan menang. Jika ia tidak benar, kenapa ambil tindakan untuk sesuatu yang saya tidak lakukan.

"Saya juga tidak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama," kata Muthuppalaniappan.

Muthuppalaniappan mendakwa CWC parti itu akan mengekalkan keputusan Jawatankuasa Disiplin itu kerana anggota CWC adalah pak turut Samy Vellu.

Samy Vellu, yang menerajui MIC sejak 1979, pernah berkata bahawa beliau akan mempertahankan jawatan presiden bagi penggal ke11 dan akan menyerahkan kepimpinannya kepada timbalannya selepas pemilihan jawatan lain parti pada perhimpunan agung parti yang dijadual September ini.

Sehubungan itu, Samy Vellu berkata, beliau tidak akan mempengerusikan CWC jika ia dijadual mendengar rayuan Muthuppalaniappan.

"Saya tidak akan mengulas pemecatannya memandangkan ia diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin," kata beliau.

Tiada ulasan: