Ahad, 25 Januari 2009

Bedah siasat kedua dikendali, MP Kapar disoal 'ceroboh' bilik mayat

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI, 4 PETANG]


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam memberi keterangan kepada Polis Selangor hari ini berhubung insiden 'menceroboh' bilik mayat Hospital Serdang dalam kes kematian suspek semasa dalam tahanan.

Sementara itu, mayat suspek berkenaan, A. Kugan pula sedang dibedah siasat buat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya - bermula pukul 11 pagi tadi.

Proses itu dijangka hanya akan berakhir 11 jam kemudian.

"Bedah siasat kedua ini akan mengambil masa kira-kira 11 jam," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau telah berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang selama 45 minit untuk memberikan kenyataannya.

"Mereka mahu mendapatkan keterangan saya tentang apa yang berlaku di milik mayat di Hospital Serdang, yang dikatakan diceroboh oleh kami," katanya.

Jelas beliau, polis mengambil keterangan bermula pukul 11.45 pagi.

"Saya menjelaskan bahawa kami tidak ceroboh sebaliknya pegawai perubatan yang membenarkan kami masuk selepas diminta oleh ahli keluarga.

"Saya juga telah menyatakan kesediaan untuk membekalkan polis dengan rakaman video jika perlu," kata beliau sambil menambah, pihaknya turut hairan dengan tindakan pegawai perubatan Hospital Serdang yang mengambil masa tujuh jam untuk membuat laporan polis kononnya ada berlaku pencerobohan.

Manikavasagam ditemani oleh peguamnya, M. Manogaran ketika memberikan keterangan.

Turut memberikan kenyataan ialah seorang peguam N. Surendran yang turut berada di kawasan bilik mayat itu.

"Saya difahamkan penyelaras Pemuda MIC, T. Mohan dan dua wartawan dari akhbar Tamil juga dipanggil untuk memberikan kenyataan hari ini," katanya lagi.

Pada Khamis lalu, Ketua Polis Selangor, Khalid Abu Bakar berkata, dua timbalan menteri akan dipanggil kerana dipercayai telah 'berada' dalam bilik mayat Hospital Serdang berhubung kematian Kugan semasa dalam tahanan.

Menurut beliau, tindakan mereka memasuki bilik mayat Hospital Serdang dipercayai telah menjejaskan bukti yang boleh membantu siasatan kes berkenaan.

Kedua-dua mereka ialah K. Devamany dari MIC dan T. Murugaiyah dari Parti Progresif Rakyat (PPP) - kedua-duanya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Penolong pegawai perubatan Hospital Serdang, Mohamed Azharuddin Abdul Ghani membuat laporan mengenai insiden itu dengan mendakwa dia dan dua kakitangan lain telah dipaksa keluar dari bilik mayat oleh sekumpulan mereka yang datang kira-kira pukul 11.30 malam.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi jenayah intimidasi.

Suspek Kugan, 23, mati di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya dan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai.

Kugan, yang ditahan bagi membantu siasatan kes curi kereta mewah mati secara tiba-tiba ketika sedang disoal siasat.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 11 pagi ketika lelaki itu disoal siasat berhubung kes samun dan curi kereta mewah membabitkan kumpulan yang bergerak aktif di sekitar Lembah Klang.

Tiada ulasan: