Jumaat, 30 Januari 2009

ADUN Bota: "Saya terbuka untuk disiasat"

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI]


PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ahad lalu hari ini menegaskan beliau terbuka untuk disiasat oleh mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Niat saya (keluar Umno dan BN) adalah bersih dan pendirian saya menyertai (Parti Keadilan Rakyat) adalah untuk mencari platform baru untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya dapat platform itu.

"Tidak lebih daripada... saya boleh siasat, saya terbuka untuk siasatan," kata beliau ketika dihubungi mStar Online pagi ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pihaknya akan menyiasat Nasarudin jika wujud elemen rasuah dalam keputusannya menyertai PKR dan Pakatan Rakyat awal minggu ini.

Ketika ditemui di Melaka semalam, Ahmad Said memberitahu, beliau tidak pasti sama ada sudah terhadapat aduan mengenai soal itu.

"Kami akan menyiasat mereka yang melompat parti jika ada elemen rasuah janji (jawatan dan ganjaran)," katanya.

Nasarudin, pemimpin dari Umno, menyertai PKR berkuat kuasa Ahad lalu.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Parit merupakan ADUN pertama dari Barisan Nasional (BN) dan ADUN kedua menyertai PKR sejak 8 Mac lalu.

Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Bota.

Nasarudin, 58, berkata, beliau amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

Ketika menjelaskan keputusannya menyertai PKR, Nasarudin berkata, beliau tidak dijanjikan ataupun ditawarkan sebarang jawatan dan ganjaran oleh PKR dan kerajaan Perak yang dipimpin Pakatan Rakyat.

"Apa yang saya minta pada Menteri Perak (Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaludin) adalah agar membantu menyelesaikan masalah rakyat dan program pembangunan di kawasan saya.

"Saya tidak minta lebih daripada itu dan Menteri Besar berkata bahawa insya-Allah akan membantu saya," katanya.

Nasarudin mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar kelmarin - tiga hari selepas mengumumkan keluar Umno dan BN.

Tiada ulasan: