Rabu, 24 Disember 2008

Umno enggan akui ramai pelancong kunjungi Kelantan

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Pemimpin Umno enggan menerima realiti kedatangan pelancong ke Kelantan sehingga 30 Oktober lalu berjumlah 4.57 juta orang menghampiri sasaran ditetapkan.

Sedangkan Adun Kuala Balah, Dato' Abdul Aziz Derashid yang juga pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan mendakwa jumlah pelancong yang datang ke Kelantan seramai tiga juta orang sempena Tahun Melawat Kelantan 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, ekoran kejayaan program Tahun Melawat Kelantan, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempohnya sehingga pertengahan tahun hadapan.

"Tahun Melawat Kelantan 2008 akan dilanjutkan sehingga Jun 2009 tahun hadapan setelah kita mengambil kira sasaran yang ditarget hampir tercapai," katanya di sini semalam.

Menurutnya kerajaan negeri mensasarkan seramai lima juta pelancong melawat negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2008.

Beliau juga yakin sehingga akhir tahun ini sasaran untuk mencapai sejumlah 4.8 juta pelancong akan menjadi kenyataan.

"Kita hanya perlu menunggu rekod bulan November dan Disember untuk mengetahui jumlah sebenar kedatangan pelancong tahun ini.

"Atas sebab itu, kerajaan negeri melanjutkan tempoh Tahun Melawat Kelantan sehingga pertengahan tahun hadapan bagi memberi ruang kepada pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke sini," ujarnya.

Sebelum ini Abdul Aziz mendakwa jumlah kedatangan pelancong ke Kelantan tidak menepati sasaran ketika berucap pada pelancaran promosi pelancongan 'Jom Ke Melaka' yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam di sini, 14 Disember lalu.

Takiyuddin melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan pemimpin Umno terbabit kerana tidak mendapat maklumat rasmi daripada pihak berkenaan sebelum mengeluarkan kenyataan. - mj_

Tiada ulasan: