Ahad, 28 Disember 2008

Timbalan Menteri dilantik Bendahari Agung MIC

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K. Devamany telah dilantik sebagai Bendahari Agung MIC, kata Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.

Pelantikan Devamany, Ahli Parlimen Cameron Highlands bagi dua penggal, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam keputusan mengejut Selasa lepas, Samy Vellu memecat sekutu lamanya Tan Sri M. Mahalingam, 73, dari jawatan itu, dengan alasan ia merupakan sebahagian program penjenamaan semula dan satu perubahan biasa dan sudah tiba masanya beliau melantik orang yang lebih muda.

Devamany, 51, dalam reaksi segera memberitahu Bernama beliau merasa bangga di atas pelantikan itu dan berterima kasih kepada Samy Vellu kerana melantiknya ke jawatan itu.

"Saya tahu ia merupakan tanggungjawab yang berat dan saya berikrar untuk melaksanakannya sebaik mungkin. Saya akan meneruskan khidmat saya kepada parti dan masyarakat kaum India dengan lebih bertenaga. "Khidmat saya kepada masyarakat akan diteruskan seperti biasa walaupun jawatan itu perlu berkorban masa. Tapi, itu adalah sebab kita berada di sini dan saya berjanji untuk melaksanakannya dengan lebih cemerlang," katanya.

Devamany menjadi Ahli Parlimen selepas memenangi kerusi Cameron Highlands pada pilihan raya umum 2004 dan mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum pada Mac 2008.

Beliau dilantik sebagai timbalan menteri selepas pilihan raya itu.

Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Taiping dan mengikuti kursus di Institut Perguruan Ilmu Khas Cheras pada 1977. Beliau juga mempunyai ijazah sarjana muda dalam Kesusasteraan Melayu dari Universiti Malaya.

Devamany juga menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dan juga Anggota Jawatankuasa Integriti Nasional.

Beliau dianugerahkan gelaran Datuk oleh Sultan Pahang pada Oktober tahun ini.

Tiada ulasan: