Ahad, 21 Disember 2008

Tiada rancangan ganti Fairus - Anwar

BERNAMA


PULAU PINANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiada rancangan untuk menggantikan Mohamad Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, seperti mana didakwa oleh beberapa penulis blog, kata Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar memberikan respons terhadap laporan di laman blog yang mendakwa satu delegasi terdiri daripada beberapa orang bekas kakitangan dari pejabat Fairus telah menemui dan menggesa Anwar memecat beliau dari kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu dan menggantikannya dengan seseorang yang lebih cekap.

"Sesiapa saja boleh melahirkan pandangan dan pendapat tetapi bagi saya, tidak akan berlaku sebarang perubahan dalam kerajaan Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertandingan futsal tempatan di Seberang Jaya, di sini.

Difahamkan PKR negeri akan bermesyuarat malam dan ini adalah antara isu yang akan dibincangkan.

Dalam pada itu, ketika menyentuh keputusan kabinet menangguhkan penjualan Institut Jantung Negara (IJN) kepada Sime Darby, Anwar berkata ia satu gimik politik oleh Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Beliau berkata kerajaan pusat pimpinan UMNO akan meneruskan rancangan pengswastaan itu selepas pilihan raya kecil yang genting di negeri pantai timur itu.

"Penangguhan itu satu taktik politik sematamata bagi mengelakkan bantahan pengundi di Kuala Terengganu," kata Anwar.

Tiada ulasan: