Isnin, 22 Disember 2008

Pentadbir parlimen tidak hormati sambutan Hari Raya Haji

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU - Pihak pentadbir Parlimen Malaysia dianggap tidak menghormati perayaan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini apabila mengadakan sidang parlimen pada 12 Zulhijah.

Sedangkan ketika itu umat Islam masih boleh lagi melakukan ibadat korban kerana hari tasyriq belum tamat (13 Zulhijah).

Anggota Parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, tindakan pihak pentadbir Parlimen yang cuba menyamakan cuti Hari Raya Haji dengan cuti perayaan agama lain di negara ini sebagai tidak wajar.

"Persidangan parlimen baru-baru ini disambung semula pada Hari Raya Haji ketiga. Ini bermakna seolah-olah mereka tidak memahami umat Islam boleh menyambut Hari Raya Aidiladha sehingga hari keempat iaitu dikenali sebagai hari tasyriq.

"Pada hari tasyriq umat Islam masih boleh melakukan ibadat korban, jadi apabila persidangan parlimen diadakan menyebabkan wakil rakyat terpaksa meninggalkan banyak program yang diatur di kawasan yang diwakili," katanya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya sekurang-kurangnya parlimen perlu cuti persidangan sehingga habis hari tasyriq bagi mengelakkan berlaku pertembungan dengan program yang telah diatur bersama rakyat.

"Ini seolah-olah mereka mengira Hari Raya Haji itu seakan-akan sama dengan Hari Deepavali di mana hanya perlu cuti dua hari kemudian disambung persidangan pada hari ketiga.

"Jadi dukacitalah, pihak parlimen seolah-olah tidak peka atau tidak ambil maklum sambutan Aidiladha bagi umat Islam sebenarnya empat hari," katanya.

Oleh itu beliau berharap pihak pentadbiran parlimen mengkaji perkara itu supaya tidak berulang pada masa akan datang. - mj _

Tiada ulasan: